Monday, August 31, 2015

MASALAH DALAM PENGAJARAN BILIK DARJAH DAN BAGAIMANA KOMPUTER MEMBANTU DALAM PENGAJARAN

Ini pula assignment masalah dalam pengajaran bilik darjah dan bantuan pengajaran menggunakan komputer.. harap sedikit sebanyak boleh membantu adik-adik dan rakan-rakan di luar sana yang masih lagi bergelar seorang pelajar...Sharing is caring :)


PENDAHULUAN
            Sistem pendidikan telah mengalami perubahan ekoran daripada perubahan taraf sosial masyarakat daripada era agrarian hinggalah ke era industri dan kini memasuki era teknologi maklumat. Penggunaan teknologi komputer dalam pendidikan telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal tahun 60-an lagi. Bagi mencapai wawasan dan inspirasi negara, Malaysia tidak ketinggalan dalam mengecapi arus perdana pembangunan berasaskan teknologi computer. Pembelajaran berbantukan computer juga mula berkembang dengan wujudnya sekolah bestari dan terkini Kementerian Pelajaran telah melaksanakan projek Pembestarian Sekolah.
            Dari perspektif harian, komputer bukan sahaja mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi sebagai alat untuk menjayakan lagi aspek persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran. Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar.
            Dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, media teknologi digunakan sebagai satu wahana untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran. Antara contoh media teknologi yang digunakan ialah televisyen, radio, video, perisian komputer, perisian kursus, dan internet. Memandangkan adalah penting penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, kemahiran komputer oleh guru-guru juga menjadi aspek penting kerana tanpa kemahiran mengendali dan memanipulasi sesuatu alat, betapa penting dan berguna pun peralatan tersebut tidak akan memberi kesan atau faedah. Komputer juga membantu pengajar mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan sistematik.




MASALAH PENGAJARAN DALAM BILIK DARJAH
            Terdapat pelbagai masalah yang timbul sebelum, semasa dan selepas pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Masalah tidak hanya melibatkan murid sahaja tetapi aspek kebersihan, ketelitian, kelas yang kondusif, masalah disiplin dan sebagainya. Kesemua masalah ini mendorong kepada terjadinya ganguan semasa pengajaran didalam kelas sedang dijalankan. Masalah disiplin contohnya selalu berlaku samada di dalam sekolah atau dalam bilik darjah. Semua ini kerana pelajar-pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang, mempunyai sahsiah, intelek, jasmani, rohani dan sosioekonomi yang berbeza. Seperti yang kita sedia maklum, apabila tingkah laku bermasalah atau disiplin berlaku dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas. Contoh masalah disiplin yang kerap berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran ialah melawan dan tidak menghormati guru, membaca bahan-bahan lain, mengeluarkan kata-kata kesat, makan, membuat bising atau bergerak bebas di dalam bilik darjah, mengganggu pengajaran dan pembelajaran,tidak membuat kerja seperti yang diarahkan, ponteng kelas dan lewat masuk ke kelas.
            Selain itu, faktor masalah dalam bilik darjah ini juga berlaku daripada guru itu sendiri di mana pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan tidak menarik atau tidak sesuai. Sesetengah guru gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan kaedah pengajaran yang dapat menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang disampaikan oleh guru. Hasilnya, murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan menimbulkan masalah disiplin. Sebaliknya, jika seseorang guru itu bijak,kreatif dan inovatif ,maka dia akan dapat menggunakan kaedah pengajaran pembelajaran yang berkesan dan melibatkan pelajar secara aktif dan terkawal. Kaedah berkesan yang digunakan akan dapat mengurangkan masalah yang tidak dikehendaki. Kepelbagaian kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi pelajar aktif, seronok dan mudah menerima apa yang diajar oleh guru.   
            Selain itu, hubungan guru dengan pelajar kurang baik dan kurang mesra juga merupakan salah satu faktornya. Menurut Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Yusmini Md. Yusoff 2006, menyatakan bahawa tugas guru bukan bersifat statik dan hanya tertumpu kepada objektif akademik sahaja. Tetapi guru berperanan dan mempunyai pengaruh yang besar kepada pembetukan kehidupan sosial pelajar. Sehubungan itu, pembinaan hubungan berkesan antara guru dan murid adalah pendekatan terbaik bagi mencapai hasrat ini. Antara kelebihan apabila wujud hubungan baik antara guru dan pelajar ialah akan melahirkan persahaman yang baik antara mereka serta wujud rasa percaya mempercayai dan ini dapat memberi kesan positif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab itu,sudah pasti masalah disiplin akan dapat dikawal dan dikurangkan.
            Seterusnya ialah suasana bilik darjah yang kurang selesa. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus seperti kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar ,menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu,mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, bilangan murid yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada masalah ini. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan murid terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang tertinggal atau atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran.
            Masalah dalam aspek komunikasi juga mendorong kepada ganguan sewaktu pengajaran di dalam bilik darjah. Komunikasi yang berkesan antara guru dan murid juga amat penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif. Setiap orang guru perlu mahir dalam berkomunikasi, khususnya didalam bilik darjah. Sekiranya guru tidak faham serta mahir dalam berkomunikasi dengan murid-murid semasa mengajar sudah pasti sukar bagi seseorang guru itu untuk menjadikan pengajarannya berkesan dan bermutu. Dengan komunikasi yang berkesan guru akan dapat menyampaikan isi pelajaran, ilmu pengetahuan, idea, maklumat, tunjuk ajar serta nasihat kepada murid-murid dengan baik dan tepat tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan, kekaburan dan salah faham. Kegagalan guru berkomunikasi dengan berkesan bukan sahaja akan menyebabkan murid-murid menjadi kecewa, malah lebih buruk lagi ialah objektif yang dirancang bagi sesuatu sesi pengajaran itu tidak akan tercapai, serta sesi pengajaran pembelajaran menjadi hambar dan membosankan.  

BAGAIMANA TEKNOLOGI KOMPUTER MEMBANTU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
            Pengajaran yang disertakan dengan alat bantu mengajar terkini akan dapat menambah minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Di samping itu, jika komputer dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru, ia mampu menyelesaikan sebarang masalah pengajaran dan pembelajaran. Menurut Yacop (1985), kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ini boleh digunakan untuk mengatasi masalah pelajar yang mempunyai kebolehan dan potensi yang berbeza.
            Pelajar-pelajar yang cerdas boleh belajar dan menyelesaikan masalah dan latihan dengan secepat mungkin mengikut tahap pemahaman mereka. Pelajar yang lemah pula dapat mempelajari topik yang sukar berulang-ulang kali sehingga mereka faham. Ini dapat memotivasikan pelajar yang lemah untuk meningkatkan prestasi mereka. Walau bagaimanapun, Rashidi (1986) menyatakan sebenarnya komputer tidak boleh menggantikan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Peranan guru sebgai pembimbing dan fasilitator yang bertanggungjawab untuk menghidupkan dan menggerakkan perbincangan dan penerokaan ilmu di kalangan pelajar.pelajar dikehendaki mentafsir sendiri melalui garis panduan yang diberikan oleh guru.
            Dalam konteks bilik darjah, waktu untuk guru berinteraksi dengan murid-murid begitu terhad. Oleh itu segala maklum balas yang berlaku di antara kedua belah pihak bukan sahaja terjadi secara spontan dan perlu segera, malah ianya seolah-olah tidak langsung memberi kesempatan untuk merancang dan berfikir. Oleh kerana itu, apabila berhadapan dengan murid-murid, guru bukan sahaja perlu kreatif dan inovatif, tetapi mesti sabar, bijaksana, cekap dan optimis dalam menghadapi sesuatu situasi serta cabaran. Oleh itu, penggunaan computer sewaktu pengajaran amat membantu seorang guru untuk memaksimumkan waktu mengajar yang terhad untuk memberi input yang lebih kepada pelajar.
            Menurut Tun Dr Mahathir, Negara Malaysia sedang menuju ke arah Wawasan 2020 dan Negara yang maju. Oleh itu, penggunaan teknologi perlu seiring dengan hasrat kerajaan untuk memastikan Negara dapat mencapai matlamat seperti yang disasarkan. Oleh itu, saranan kerajaan supaya satu komputer untuk setiap rumah perlu disahut oleh semua rakyat Malaysia bagi memastikan anak – anak bangsa Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang Informasi Teknologi (IT). Sebagai contoh, negeri Terengganu telah memulakan program pemberian E-Book kepada semua pelajar sekolah rendah di seluruh negeri Terengganu apabila mereka berada di tahap 2 (E- Book diberikan kepada pelajar tahun 4 setiap tahun). Ini menunjukkan kerajaan negeri Terengganu menyahut saranan kerajaan Malaysia untuk memastikan pelajar di negeri Terengganu celik IT dan mampu menguasai bahasa komputer dengan baik.
            Guru juga mampu menghasilkan Alat Bantu Mengajar yang hebat dengan menggunakan perisian yang terdapat di dalam komputer. Jika sebelum ini guru perlu melukis gambar atau mencari didalam majalah,surat khabar atau bahan – bahan bacaan yang lain dan menampal di papan hitam, namun kini guru hanya perlu memaparkan gambar atau apa pun bahan dengan menggunakan powerpoint dan gambar – gambar boleh dicari menggunakan internet sahaja. Ini menunjukkan kemajuan dalam bidang IT yang mampu mengurangkan bebanan kepada guru. Selain itu, computer juga mengurangkan bebanan murid untuk membawa buku teks yang tebal ke sekolah. Ini kerana di masa kini terdapat masalah murid-murid meninggalkan buku teks di rumah kerana tidak mampu membawanya ke sekolah. Terdapat juga segelintir murid yang sengaja meninggalkan buku mereka di dalam kelas kerana tidak perlu membawanya untuk jadual keesokannya.
            Hal ini menimbulkan masalah pembelajaran kepada pelajar kerana tidak mempunyai rujukan yang cukup ketika membuat latihan. Oleh sebab itu, dengan penggunaan computer, para pelajar hanya perlu membawa netbook ke sekolah kerana segala maklumat boleh di simpan hanya dengan sekadar menekan perkataan simpan. Selain itu, para guru juga boleh memantau para pelajar hanya dengan menggunakan internet. Para pelajar boleh menanya secara langsung kepada guru tentang apa sahaja permasalahan mereka di dalam pembelajaran. Contohnya penggunaan E-Learning dimana kaedah ini sangat terkenal di kalangan pelajar-pelajar university dan seterusnya kaedah ini juga boleh di gunakan di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Dengan penggunaan laman web ini para guru boleh meletakkan segala maklumat pembelajaran dan ini memudahkan para pelajar kerana mereka hanya perlu memuat turun dari laman web tersebut. Penggunaan multimedia dapat menjadikan proses pencarian maklumat sesuatu yang menyeronokkan dan menghiburkan. Interaktiviti dalam sistem multimedia membolehkan sesuatu proses latihan atau pengajaran dijalankan mengikut kesesuaian, keperluan dan cita rasa pelajar. Penggunaan elemen-elemen multimedia dalam proses P&P di dapati mampu menarik minat pelajar supaya mereka tidak berasa bosan dan dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran  

PENUTUP
            Bidang IT semakin meluas dan menjadi tonggak kepada kemajuan sesebuah negara. Dengan adanya kemajuan dalam telekomunikasi, komputer yang dihubungkan dengan jaringan internet telah membolehkan banyak maklumat diperolehi dengan cepat. Inovasi dalam teknologi maklumat ini dapat menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Menyedari hakikat ini, kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk terus memperkembangkan teknologi komunikasi dan maklumat ini dengan menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Sejajar dengan teknologi ICT juga, kerajaan telah menubuhkan sekolah bestari yang telah memperlihatkan kesungguhan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mentransformasikan pendidikan agar bangsa Malaysia abad ke-21 ini bukan sahaja menguasai teknologi maklumat malah berupaya merealisasikan Wawasan 2020. Transformasi ini telah mengubah anjakan paradikma pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidkan negara khususnya dalam meningkatkan minat pelajar, meningkatkan kreativiti dan pengetahuan pelajar melalui penggunaan teknologi multimedia dan jaringan seluruh dunia.
            Walaupun terdapat masalah yang timbul ianya bukan satu isu yang tidak boleh diatasi malah kerajaan telah membuat pelbagai perancangan dan perlaksanaan seperti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010 dalam memartabatkan ICT di Malaysia. Antara program yang dilaksanakan adalah program latihan dan pendidikan ICT diperluaskan lagi di peringkat sekolah, prauniversiti dan IPT adalah pembangunan kemahiran teras dalam pelbagai bidang seperti pembangunan perisian dalam sains hayat dan aplikasi pengetahuan juga kelonggaran prakelulusan kurikulum kepada IPT supaya selaras dengan kehendak dan keperluan industri. Sistem pendidikan yang berkembang pesat selaras dengan kehendak dan aspirasi negara ini perlulah mengaplikasikan ICT khususnya dalam penggunaan teknologi internet supaya system pendidikan tidak ketinggalan jauh berbanding dengan negara maju.

RUJUKAN
1.      Yahya (2008) Aplikasi computer dalam pengajaran bahasa : penguasaan guru dan kekakngan dalam perlaksanaan. Retrieved from http://eprints.utm.my/5968/1/08-yahya.pdf
2.      Faktor yang menyumbang kepada masalah. Retrieved from http://linusppdpendang.blogspot.com/2011/10/faktor-yang-menyumbang-kepada-masalah.html
3.      Pendidikan sebagai suatu proses pengajaran. Retrieved from http://sarjana.tripod.com/komunikasi3.html

4.      Peranan ICT dalam pendidikan. Retrieved from http://www.scrib.com/doc/62752/PERANAN-ICT-DALAM-PENDIDIKAN

AKU BUKAN SEORANG PENULIS....

Menjadi seorang penulis bukanlah suatu yang enteng. Tidak kiralah penulis novel, majalah, surat khabar hatta hanya seorang penulis diarinya sendiri. Tanpa idea yang menjengah di minda, semuanya ibarat tin kosong tidak bermakna. Meskipun aku bukanlah seorang penulis, tapi aku cinta dengan bidang penulisan. Dari tulisan berbentuk ilmiah hinggalah coretan biasa saja, semuanya memberi aku satu kepuasan. Aku sering kali membaca nukilan, coretan dan karya ciptaan yang bisa membawa aku menghayati setiap bait-bait yang ditulis oleh penulis. Semuanya mengagumkan aku kerana hanya dari tulisan sudah bisa menyentuh jiwa dan perasaanku. Malahan, minda aku sibuk mencerna setiap yang disampaikan oleh penulis. Itulah hebatnya jari jemari yang setiap detik bergerak menekan keyboard mengikuti apa yang dilahirkan dari minda.

Meskipun aku bukan seorang penulis, namun pengalaman yang aku kutip dari kerjaya lapangku banyak membuka ruang mindaku mengenai banyak perkara yang tidak kuketahui sebelum ini. setipa masa jari jemariku seolah - olah ingin terus menerus bekerja namun mindaku semakin penat dan tenat... tidak mampu mengikuti rentak jari jemariku memerah idea yang tak kunjung tiba. Benarlah seperti apa yang aku baca dari majalah-majalah, otak mempunyai peranan yang besar dalam tubuh badan manusia. Terlebih guna, boleh menyebabkan manusia menjadi mudah tertekan dan akhirnya menjadi dalam depression.. sesuatu yang tidak enak untuk ditelan... mungkin boleh menjadi sakit jiwa.

Jika hati terluka tetapi otak masih bertindak waras, kita akan selamat. Akan tetapi andai hati terluka dan otak tidak lagi mempu membuat pertimbangan yang wajar, maka berbagai-bagai perilaku tidak bermoral yang berlaku. Pembunuhan, bunuh diri, delusi dan pelbagai lagi jenis penyakit yang bisa membawa keburukan kepada manusia. 

Akhirnya, otak aku pun sudah berhenti untuk mencoret. kekeringan idea dan kepenatan. Apa pun, cinta aku pada bidang penulisan tidak akan pudar. Inshaa Allah, satu hari nanti aku mampu untuk menjadi seorang penulis yang berbakat dan mampu membawa manfaat kepada masyarakat.

Sekian, selamat pagi.
T.Bed

KAPITALISME DALAM POLITIK MALAYSIA

ini assignment mengenai kapitalisme dalam politik tanah air iaitu UMNO, PAS..hopefully boleh mmebantu diluar sana. sharing is caring :)

1.0 Pengenalan
            Senario politik di Malaysia dilihat menunjukkan perubahan yang ketara di antara pertembungan parti – parti di Malaysia apabila menginjak sekitar tahun 2008. Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dalam politik tanahair yang mana suara rakyat menjadi pemangkin kepada tampuk pemerintahan negara. Ini adalah pengaruh dari kebanyakan negara koloni British yang lain yang mana ketika British menjajah Tanah Melayu, pihak British telah meninggalkan sistem pemerintahan bercorak koloni British. Justeru, Malaysia telah mengadaptasi sistem demokrasi model Britain, iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai sistem pemerintahan setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Menurut M. Nadzri M. Noor & Ghazali Mayudin (2008), struktur pemerintahan demokratik dimanifestasikan dan diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi persekutuan (Artikel 4: 1). Menurut mereka lagi, dalam Perlembagaan Persekutuan, dapat dilihat penerapan konsep pengasingan kuasa di antara badan kerajaan terutamanya peruntukan kebebasan kehakiman di sebalik percantuman kuasa badan eksekutif dan badan perundangan, peruntukan kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, peruntukan kuasa badan perundangan dan peruntukan kebebasan asasi masyarakat Malaysia. Maka, sejak memperolehi kemerdekaan, wujud parti – parti politik yang berjuang menawan hati rakyat untuk menjadi pemerintah negara.
Dalam konsep demokrasi berpolitik di Malaysia, setiap penggal (4 tahun sekali) akan diadakan pilihanraya umum untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara. Berdasarkan analisis politik yang telah dilakukan oleh para analisis politik tanahair menunjukkan rakyat Malaysia sering dikaitkan dengan budaya politik feudalisme dengan ciri – ciri submisif, pasif, subjek, taat dan setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah (Chandra 1971; Syed Husin Ali 2004; Nidzam 2002; Muhamad Nadzri 2007; 136). Ciri – ciri feudalisme ini terbentuk apabila rakyat memilih BN sebagai tampuk pemerintahan Malaysia sejak merdeka sehingga kini. Kini sudah setengah abad BN (yang dahulunya adalah parti perikatan antara UMNO, MCA dan MIC) memerintah negara disebabkan oleh sokongan yang padu dari rakyat yang mempercayai perubahan yang boleh dibawa oleh BN kepada rakyat. Menurut penganalisis politik, budaya berpolitik di Malaysia secara demokrasi gagal dihasilkan sebaliknya corak dan budaya politik lebih kepada budaya politik feudal dan kerana itu BN mampu bertahan memerintah Malaysia sehingga 50 tahun lamanya.
Sekitar Pilihanraya Umum tahun 1986, parti – parti di pihak pembangkang seperti DAP menunjukkan peningkatan dalam jumlah kerusi yang diperolehi apabila menang 6 kerusi di Pulau Pinang, 4 kerusi di Perak dan 3 kerusi di Sabah yang menunjukkan calon DAP mampu mengalahkan calon BN di negeri berkenaan. Ini menunjukkan gelombang penguasaan DAP yang menyerap secara halus dan tersembunyi kerana pada masa itu BN menghadapi pelbagai dilema dalaman politik itu sendiri dan menjadi tempoh yang amat kritikal kepada BN. Disebalik kemelut dalaman yang dihadapi BN, DAP menggunakan peluang ini untuk membuat pelbagai kecaman, tuduhan, kritikan dan tohmahan yang menyebabkan rakyat menjadi keliru dengan masalah yang terjadi dibawah pemerintahan BN sama ada disebabkan oleh kegagalan pihak pemerintah (BN) dalam mengendalikan pentadbiran pemerintahan (Zakry Abadi, 1986 : 20). Gelombang parti PAS dilihat seakan – akan kehilangan arah dan dan mengalami zaman kejatuhan yang serius sekitar pilihanraya umum ’86.
Namun, disebabkan kemelut yang melanda ekonomi negara terutamanya disebabkan Krisis Kewangan yang terjadi pada tahun 1997 menunjukkan pola pemilihan rakyat yang mula bangkit untuk menuntut hak mereka berbanding bergantung kepada amalan budaya politik feudal. Tekanan dan kos sara hidup, masalah sosial seperti penyelewengan, rasuah dan sebagainya serta masalah dalaman parti UMNO melihat kepada kepincangan yang terjadi dalam pentadbiran BN menjadikan pengundi orang Melayu mula beralih arah dan menyokong PAS sehingga membawa kemenangan PAS pada pilihanraya umum ’99 untuk menakluki negeri Terengganu selama sepenggal sebelum dirampas semula oleh BN pada pilihanraya umum ’04. Pemecatan Anwar Ibrahim dari keahlian UMNO pada tahun 1998 juga telah membawa kepada pembentukan parti baharu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipengerusikan oleh isteri Anwar sendiri iaitu Wan Azizah dan Anwar sebagai penaung kepada parti PKR. PKR telah bergabung dengan DAP dan PAS untuk membentuk Barisan Alternatif (Kemudiannya dikenali Pakatan Rakyat).
Apa yang lebih hebat, pada tahun 2008, menunjukkan pertembungan politik yang mencipta sejarah tsunami politik di antara dua sayap utama iaitu pro-kerajaan (Barisan Nasional) yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dan pro-pembangkang (Pakatan Rakyat) yang terbentuk daripada gabungan PAS, DAP dan PKR. PRU ke 12 menyaksikan BN semakin hilang sokongan rakyat apabila menang tipis kepada PR. Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila Selangor dan Kedah berjaya ditawan oleh parti penbangkang yang menyaksikan 5 buah negeri berjaya ditawan oleh PR iaitu Pulau Pinang (DAP), Perak (PAS), Selangor (PKR), Kelantan (PAS) dan Kedah (PAS). Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Datuk Najib untuk menarik semula undi ke atas BN namun kelihatan gelombang budaya politik feudal sudah tidak relevan lagi dan rakyat telah bangkit bersuara untuk menuntut hak mereka memandangkan krisis ekonomi yang kian meruncing sehingga menekan kehidupan rakyat di Malaysia.
  

Maksud Kapitalisme Dalam Politik Di Malaysia
Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan. Takrif individu di sini tidak semestinya merujuk kepada orang perseorangan tetapi juga merujuk kepada sekumpulan individu seperti sebuah syarikat. Dalam kapitalisme, kita berhak menjual atau meminjamkan barang atau perkhidmatan dan orang lain juga berhak membeli atau meminjam barang atau perkhidmatan tersebut. Masyarakat dalam ekonomi kapitalis yang tulen tidak perlu mendapat izin daripada raja atau kumpulan tertentu. Konsep ekonomi kapitalis diperkenalkan oleh Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations. Berdasarkan kepada maksud kapitalisme ini, wujud elit kapitalis yang mempengaruhi transformasi politik dalaman dan luaran sesebuah parti sehingga memberi kesan kepada perubahan yang ketara dalam corak pentadbiran sesebuah parti dan kepada masyarakat khususnya.
Berasaskan sistem quasi kapitalisme yang didokong oleh Malaysia, maka wujud dua perkara asas yang memberi impak kepada rakyat di negara ini. Hal ini demikian kerana pengaruh ekonomi dalam memotivasi tindakan sesebuah masyarakat adalah sukar untuk dielakkan kerana keberlangsungan kehidupan mereka bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Selain itu, disebabkan campurtangan kerajaan dalam sistem seumpama ini adalah tinggi, maka sekiranya berlaku masalah ekonomi yang mendesak keberlangsungan hidup mereka, kebergantungan dan pengharapan yang tinggi kepada kerajan tidak dapat dielakkan. Justeru, pada ketika ini mereka cenderung memerhatikan langkah, tindakan dan keputusan kerajaan untuk memperbaiki atau menyelesaikan keadaan yang dialami.
Pengalaman politik di Malaysia menunjukkan bahawa sekiranya keadaan ekonomi tidak mendesak rakyat, sokongan padu mereka cenderung diberikan kepada pemerintah sedia ada meskipun wujud isu dominan lain seperti rasuah, salahguna kuasa dan ketidakadilan sebagaimana yang dikritik dalam PRU 1990, 1995 dan 2004 (Ghazali 2006). Namun begitu, jika keadaan ekonomi ketika ini menekan kehidupan rakyat, maka wujud kecenderungan untuk politik baru muncul dan membela nasib rakyat. Seperti yang diketahui umum, gelombang politik baru yang pertama muncul pada PRU 1999 selepas berlaku Krisis Matawang Asia Pasifik 1997 yang membuatkan Malaysia hampir terpaksa meminjam wang dari badan kewangan antarabangsa. Walau bagaimanapun, kewujudan fenomena ini diperkukuhkan lagi oleh faktor pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998 dan terjadinya pembentukan pakatan pembangkang iaitu Barisan Alternatif. Namun begitu, disebabkan oleh keberkesanan kepimpinan Dr Mahathir dalam menangani krisis kewangan telah membuatkan sebahagian besar rakyat masih lagi menyokong kepimpinannya pada PRU ‘99.
Namun begitu, disebalik kemenangan BN dalam PRU’99, PAS berjaya menakluki negeri Terengganu sekali lagi disebabkan kepincangan dalam pentadbiran BN di Terengganu yang tidak banyak berusaha untuk membangunkan negeri Terengganu setanding negeri – negeri yang lain memandangkan Terengganu adalah negeri kedua terkaya di Malaysia. Rakyat mula bersuara mencari hak mereka. Gelombang politik sayap kiri iaitu PR terus cemerlang apabila pada PRU’04 menyaksikan Pulau Pinang diterajui oleh parti DAP dengan kemenangan yang amat cemerlang apabila menguasai hampir kesemua kerusi parlimen di Pulau Pinang manakala Selangor pula diterajui oleh PKR dengan kemenangan yang gemilang bagi Pakatan Rakyat apabila berjaya menidakkan calon BN meskipun ada calon BN yang berkaliber kerana rakyat kini mengundi kerana parti dan bukan kerana calon dan mereka tidak lagi ingin dikuasai oleh BN.
Pengaruh Elit Kapitalis Dalam Transformasi Dalaman dan Luaran Parti Politik
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ditubuhkan pada tahun 1973 di mana gabungan dari Parti Bumiputera (terdiri dari orang Melayu-Melanau) dan Parti Pesaka (orang Dayak). PBB boleh dianggap sebagai parti yang mewakili kaum peribumi Sarawak kerana ia adalah dari kaum pribumi itu sendiri yang mewakili masyarakat di Sarawak. Bagaimana pun, secara realitinya PBB sebenarnya didominasi oleh orang Melayu-Melanau terutama dalam menentukan dasar parti, calon anggota kabinet dan Ketua Menteri mereka (Sulaiman, 1994:14). Sejak penubuhan parti itu 32 tahun lalu, ia telah dipimpin oleh Abdul Rahman Yaakub dan anak saudaranya iaitu Abdul Taib Mahmud.
Namun begitu, penyatuan di bawah payung PPB telah diuji semasa zaman pemerintahan Abdul Rahman Yaakub apabila beliau yang bertindak selaku Ketua Menteri sejak tahun 1970 telah melantik ramai orang Melanau untuk memegang jawatan pegawai kanan dalam pentadbiran di ketujuh-tujuh bahagian di Sarawak menyebabkan ramai orang Melayu tidak berpuas hati dan menganggap beliau sebagai cauvinisme Melanau (Said 1985:126). Disebabkan itu, ramai pemimpin Melayu telah keluar dari parti dan membentuk Parti Rakyat Jati Sarawak (PAJAR) pada bulan Febuari 1978 di bawah pimpinan Haji Alli Kawi, bekas Timbalan Persuruhjaya Polis Sarawak. Namun begitu, pada PRU 1979, PAJAR mengalami kekalahan yang teruk dan 7 orang calonnya kehilangan wang pertaruhan mereka.
Seterusnya, Sekali lagi penyatuan orang Melayu-Melanau diuji melalui peristiwa Ming Court (Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Ming Court kerana pakatan penggulingan diadakan di Hotel Ming Court Kuala Lumpur) di mana 27 orang ADUN (16 Dayak) mendesak supaya Abdul Taib Mahmud meletakkan jawatan Ketua Menteri atau menghadapi undi tidak percaya (Sulaiman, 1994:106). Akibat dari desakan yang kuat dari pelbagai pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan pada 13 Mac 1987dan diadakan pilihanraya. Abdul Taib Mahmud ditentang hebat pemimpin Melayu-Melanau seperti Abdul Rahman Yaakub, Haji Noor Tahir, Hajah Hafsah Harun, Wan Habib Syed Mahmud dan Zainuddin Satem (Ahmad Nizar Yaakub, 2004). Namun keputusan pilihanraya memeihak kepada BN3 dibawah pimpinan Abdul Taib Mahmud dengan kemenangan 28 kerusi.
Ramai pemimpin Melayu dalam PBB beranggapan orang Melayu sepatutnya diberi ruang untuk menjadi presiden PBB dan Ketua Menteri. Sentimen ini adalah bersandarkan kepada kemampuan orang Melayu melalui Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di dalam BN yang mampu memegang tampuk pemerintahan negara. Menurut Chin (1999:214) terdapat usaha di kalangan pemimpin politik Melayu (termasuk beberapa orang dari parti PBB) cuba membawa UMNO ke Sarawak. Para pemimpin yang cuba membawa masuk UMNO ke Sarawak adalah dari Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak dan dari parti PERMAS yang telah dibubarkan. Walau bagaimana pun Abdul Taib Mahmud telah menyatakan bahawa PBB dan UMNO telah menandatangai satu perjanjian persafahaman bahawa UMNO tidak akan menubuhkan cawangannya di Sarawak (Chin, 1999: 215).
Kewujudan parti KeADILan (sekarang dikenali keadilan rakyat) yang membawa sentimen keMelayuan iaitu dominasi Melanau dalam politik Sarawak perlu ditamatkan, diskriminasi ke atas pemimpin Melayu perlu dihapuskan dan melantik orang Melayu menjadi Ketua Menteri (Chin, 1999: 222). Namun begitu, pada PRU 1999, parti KeADILan tidak berjaya memenangi sebarang kerusi tetapi kejayaan mereka meraih peratusan undi di beberapa kawasan amat memberangsangkan dan menunjukkan sokongan masyarakat Sarawak terhadap parti KeADILan. Walaubagaimanapun, masyarakat Sarawak tetap memilih PPB apabila parti KeADILan tidak berjaya dalam Pilihan Raya Negeri pada 2001.
Justeru, ramai pemimpin Melayu-Melanau sedar akan kepentingan mereka untuk bersatu padu bagi mengimbangi kekuatan politik kaum Dayak dan Cina di Sarawak agar PBB terus menerajui kepimpinan di Sarawak. Kesilapan dari segi permainan politik dalaman PBB boleh memberi ruang kepada parti kaum Dayak dan Cina untuk menawan Sarawak sekiranya masyarakat Melayu-Melanau tidak bersatu hati untuk membangunkan Sarawak. Abdul Mahmud Taib sendiri sentiasa berjuang mengurangkan jurang sentimen perkauman sepanjang 24 tahun beliau memegang tampuk pememrintahan Sarawak.
Senario politik PBB di Sarawak dipengaruhi oleh elit kapitalis yang dibawa oleh BN untuk memastikan PBB bertahan di Sarawak dengan memenuhi bebrapa syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat. Justeru, selepas Pilihan Raya Umum 1970, kerajaan pusat telah merancang pelan yang membolehkan Abdul Rahman Yaakub diterima oleh parti komponen BN Sarawak (dikenali sebagai Perikatan pada waktu itu) sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu. Berdasarkan ''pakatan'' ini, beliau (iaitu Abdul Rahman Yaakub) dikehendaki memenuhi lima tuntutan utama kerajaan pusat iaitu; (1) mengutamakan kepentingan nasional daripada kepentingan negeri, (2) mengekalkan dominasi Melayu dalam politik dan pentadbiran negeri, (3) memastikan penguasaan berterusan BN dalam pilihan raya negeri dan paling penting pilihan raya parlimen, (4) menyerahkan hak untuk mengekstrak sumber asli negeri, terutamanya minyak dan gas kepada kerajaan pusat, dan (5) memastikan wujudnya kestabilan politik di negeri ini (Faisal, 2009a). Sekiranya beliau enggan memenuhi kesemua tuntutan ini, kerajaan pusat akan menarik balik sokongan terhadap beliau dan kepimpinannya. Abdul Rahman Yaakub sedar bahawa tanpa sokongan kerajaan pusat, beliau tidak akan dapat mengekalkan kerusi Ketua Menterinya. Justeru setiap tuntutan ini dipenuhi oleh beliau tanpa sebarang keraguan. Sebagai balasan apabila tuntutan ini dipenuhi, kerajaan pusat telah memberikan ''kebebasan'' (bukan mutlak) kepada Abdul Rahman Yaakub untuk mendominasi bukan sahaja masyarakat di Sarawak tetapi juga pelbagai sumber negeri yang bernilai tinggi seperti balak dan tanah. ''Pakatan'' politik ini telah dipanjangkan kepada pengganti beliau iaitu Abdul Taib Mahmud (juga merupakan anak saudara kepada Abdul Mahmud Yaakub), yang turut mentaati setiap satu tuntutan kerajaan pusat sepanjang lebih tiga dekad pemerintahannya (Mohd Faisal Syam, 2008: 236).
Apabila Tun Abdul Taib Mahmud menyerahkan jawatan KM kepada Tan Sri Adenan Satem, ia dilihat membawa nafas baharu kepada PBB apabila Adenan menyatakan beliau akan memerangi dan menghalang ekstremis agama dan kaum seperti yang dilakukan Datuk Ibrahim Ali (Sharidan Mahavera & Desmond Davidson, 2014). Golongan pertengahan di Sarawak menerima baik apa yang dibawa oleh Adenan kepada Sarawak seperti tuntutan royalti minyak kepada Sarawak dari 5% kepada 20%. Dibawah pentadbiran Adenan, beliau amat menitikberatkan masyarakat di Sarawak apabila wakil yang ditugaskan di kawasan luar bandar tidak senang duduk kerana Adenan mahu semua pemimpin setiausaha politik melakukan kerja dengan telus meskipun masalah yang kecil berdasarkan slogan rakyat didahulukan demi kesejahteraan masyarakat di negeri Sarawak. Bagi Adenan, beliau mahu setiap janji yang ditaburkan kepada rakyat di Sarawak ditunaikan oleh pemimpin kawasan masing – masing.  Selain itu, tugas berat Adenan juga adalah untuk menarik kembali sokongan masyarakat Cina di Sarawak yang memilih PR dan menolak BN yang dirasakan oleh mereka sebagai berat sebelah dan meminggirkan masyarakat Cina di Sarawak. Untuk melakukan ini, Adenan perlu membuat perubahan dalaman Sarawak dengan menamatkan kroni kapitalisme yang menyebabkan sebahagian besar rakyatnya berada di bawah paras kemiskinan. Tahun-tahun kroni kapitalisme pentadbiran sebelum ini yang dipegang oleh pemimpin PBB sebelum ini menyaksikan lebih banyak kekayaan negeri dibolot oleh beberapa golongan elit (Sharidan Mahavera & Desmond Davidson, 2014). Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan pusat ketika itu sepatutnya menjadikan Sarawak sebagai sebuah masyarakat yang lebih adil dengan pembahagian kekayaannya agar dinikmati sama rata oleh masyarakat di Sarawak. Namun begitu, disebabkan dasar itu telah dirampas oleh kroni kapitalis, pembangunan di Sarawak menjadi pincang. Golongan kaya menjadi lebih kaya dan golongan miskin menjadi lebih miskin (Sharidan Mahavera & Desmond Davidson, 2014). Namun, Adenan mempunyai bekas ahli politik berkuasa yang mengawasinya dalam pemerintahan beliau di Sarawak dan masih belum dapat dilihat sama ada beliau boleh menggubal dasar untuk menamatkan kroni kapitalis yang tercipta di bumi Sarawak sejak berdekad dulu.
Melihat kepada senario politik PBB di Sarawak yang dipimpin oleh pemimpin dari kalangan Melanau Islam menunjukkan dominasi kaum ini dalam kepimpinan tertinggi (MT) PBB di Sarawak dengan menidakkan pimpinan dari kalangan Melayu Islam. Oleh yang demikian, pengaruh – pengaruh dalaman dan luaran telah memberi kesan kepada pemerintahan parti ke atas negeri Sarawak. Permainan potilik yang dimainkan oleh pemimpin parti memperlihatkan kuasa dominasi yang dipertahankan demi kepentingan diri sendiri dan orang bawahannya yang menyokong pucuk pimpinan PBB di Sarawak dan corak kapitalis yang masih menguasai pentadbiran di Sarawak, maka diharap Tan Sri Adenan Satem mampu membawa perubahan kepada parti PBB dari pengaruh kapitalis. 


Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Sabah
Kedatangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ke Sabah melalui pelbagai rintangan melalui beberapa cubaan sebelum UMNO betul – betul melebarkan sayapnya ke bumi di negeri bawah bayu itu. Hasrat presiden UMNO melebarkan sayap ke Sabah dilihat memberi kebimbangan kepada ahli UMNO yang lain kerana ditakuti wadah perjuangan UMNO untuk mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam akan beralih arah apabila ada penglibatan Bumiputea bukan Islam di Sabah yang menyertai UMNO. Menurut Chamil Wariya (1992), kebimbangan ahli UMNO adalah apabila Bumiputera bukan Islam menyertai UMNO secara beramai – ramai dan menggunakan kekuatan mereka sebagai ‘broker kuasa’ baru dalam parti untuk mempengaruhi perjuangan UMNO. Namun hakikatnya, wadah penubuhan UMNO di Sabah itu sendiri dilihat tidak begitu jelas.
Hasrat kedatangan UMNO di Sabah bemula sejak awal 1960-an tercetus apabila beberapa pemimpin utama UMNO mengutarakan persoalan kewajaran menubuhkan cawangan di Sabah dan Sarawak. Parti pertama yang ditubuhkan di Sabah adalah United National Kadazan Organization (UNKO) pada Ogos 1961 diikuti penubuhan United Sabah National Organization(USNO) pada Disember 1961. UNKO ditubuhkan untuk melindungi kepentingan kaum Kadazan Kristian di Sabah dan menentang pembentukan Malaysia yang mana Tanah Melayu digabungkan dengan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 yang diketuai oleh Donald Stephens. Barisan kepimpinan USNO pula terdiri dari tokoh – tokoh seperti Datu Mustapha Datu Harun, Mohd Said Keruak dan Sakaran Dandai.
Sabah dilihat sudah mempunyai parti yang mewakili rakyat Sabah iaitu USNO yang jika diteliti adalah seperti acuan UMNO kerana dari segi perjuangan, struktur parti dan sebagainya saling tidak tumpah seperti UMNO di Semenanjung Tanah Melayu (Chamil Wiraya, 1992). Maka kerana itu, lembaran sayap UMNO ke Sabah dilihat tidak relevan tambahan penduduk di sana terdiri dari golongan Islam dan bukan Islam. Sepanjang Sabah menjadi sebahagian dari Malaysia, parti politik yang mentadbir Sabah silih berganti. UNKO berkuasa sehingga 1965 manakala USNO berkuasa selama 10 tahun dan pada tahun 1976, ia ditumbangkan oleh parti Berjaya dibawah pimpinan Datuk Harris Salleh namun pada tahun 1985, Berjaya ditumbangkan dan Sabah ditadbir oleh PBS sehinggalah UMNO (BN) menguasai Sabah hingga sekarang.
UMNO secara rasminya telah ditubuhkan di Sabah pada 21 Februari 1991 oleh presidennya, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Kota Kinabalu (Chamil Wiraya, 1992). Keputusan mengembangkan sayap UMNO ke Sabah adalah kerana keputusan Presiden PBS (Datuk Joseph Pairin) membawa PBS keluar dari BN. Dalam tempoh 24 jam Datuk Joseph Pairin mengeluarkan PBS dari UMNO, UMNO terus membuat keputusan ke Sabah yang dianggap oleh sesetengah pemerhati politik sebagai terburu – buru. Namun disebalik perbuatan PBS keluar dari UMNO sebernarnya telah membuka laluan kepada UMNO untuk bertapak di Sabah sehingga ke hari ini. Pada masa itu pimpinan USNO telah membuat keputusan menyertai UMNO setelah USNO dibubarkan meskipun pada mulanya kepimpinan USNO tidak mahu UMNO ke Sabah.
Hasil dari kerjasama ini, UMNO menang besar di Sabah dan sekaligus menjadikan parti BN sebagai pemerintah di Sabah. Presiden UMNO telah memilih Tan Sri Ghafar Baba sebagai Ketua Menteri di Sabah dan Datu Mustapha Datu Harun sebagai timbalannya. Dengan kemenangan ini, bermulalah era politik UMNO di Sabah. Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan ke atas politik Sabah, pemerintahan UMNO dilihat adalah lebih bersifat ‘hegemoni’. Hegemoni adalah merujuk kepada suatu kuasa besar seperti negara ataupun "kelas masyarakat pemerintah" (ruling class) yang amat berpengaruh dalam mengawal segala tindak-tanduk negara-negara lain ataupun masyarakat dalam sesebuah negara (Evans dan Newnham, 1998 : 221–222). Kemenangan BN di Sabah menunjukkan kelangsungan yang bersifat hegemoni di mana BN masih lagi menguasai Sabah sehingga ke hari ini kerana mendapat mandat daripada rakyat di Sabah. Bagi BN pula sebagai kelas pemerintah, federalisme dijadikan sebagai mekanisme pujukan agar rakyat Sabah terus mengangkat parti ini sebagai pembela rakyat dan pemangkin pembangunan sosio-ekonomi. Dalam masa yang sama, pelbagai konsesi juga diberikan khasnya hak autonomi kepada Sabah dalam Perjanjian Fasal Perkara 20 supaya hak dan kepentingan rakyat negeri ini dapat dipelihara dari masa ke semasa (Asmady Idris & Suzalie Mohamad, 2014). Berlandaskan kepada ini, konteks pemahaman federalisme di Malaysia adalah merupakan suatu interaksi saling bergantung antara satu dengan yang lain iaitu antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang akhirnya membawa kepada kelangsungan dominasi hegemoni BN di Sabah (Asmady Idris & Suzalie Mohamad, 2014).
UMNO-BN di Sabah telah membuka banyak peluang kepada masyarakat tempatan Sabah untuk berkembang dalam perniagaan. Kebijakan UMNO untuk terus mengusai Sabah adalah dengan melantik golongan elit – elit dalam sesuatu kaum bagi mewakili kaum masing – masing dan terus mendapat mandat dari masyarakat di Sabah. Kewujudan elit – elit kapitalis ini memperlihatkan wujud jurang antara golongan pemimpin dan msyarakat biasa. Sebelum kedatangan UMNO ke Sabah, golongan emit ini dilihat sukar memperolehi kekayaan yang sepatutnya semasa pemerintahan mereka. Namun begitu, apabila UMNO bertapak di Sabah, wujud golongan elit kapitalis yang mana sesiapa yang mempunyai hubungan dengan golongan elit kapitalis ini akan turut merasai tempias kekayaan yang akan diterima oleh mereka.
Pengaruh kepimpinan UMNO-BN yang lebih bersifat dominan ke atas negeri Sabah menunjukkan UMNO cuba mempertahankan pengaruh elit kapitalis dalam pentadbiran di Sabah. Golongan elit kapitalis ke atas pentadbiran UMNO-BN di Sabah amat perlu untuk menonjolkan dominasi mereka ke atas negeri Sabah. Kerana itu, para pemimpin parti UMNO-BN di Sabah adalah tergolong dari kalangan elit yang mewakili pelbagai kaum di Sabah. UMNO-BN terus bertahan di Sabah dalam PRU12 dan PRU13 meskipun terdapat peningkatan jumlah kerusi bagi pihak pembangkang (PR). Manifesto pembangunan yang dibawa oleh UMNO-BN masih relevan kepada masyarakat di Sabah kerana masyarakat amat memerlukan kepada pembangunan dan keyakinan ini mereka salurkan kepada pimpinan UMNO-BN kerana kedudukan dan kuasa dominasi yang diperolehi oleh BN sejak lebih 50 tahun.
Namun begitu, peningkatan jmlah kerusi kepada pihak pembangkang juga menunjukkan trend terbaru yang cuba dimainkan oleh masyarakat di Sabah kepada pihak UMNO-BN supaya berusaha untuk meningkatkan pembangunan di Sabah. 20 perkara yang sering digunakan oleh pihak pembangkang untuk melawan UMNO-BN di Sabah menunjukkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada jumlah undi untuk UMNO. Masyarakat telah membuka mata pada dominasi-federalisme yang ditunjukkan oleh BN semasa pemerintahan Mahathir Mohamad yang bersifat autokratik yang mana segala pembangunan dan pentadbiran pada zaman Mahathir Mohamad mengikut acuan beliau sendiri dan lebih dikenali sebagai ‘Mahathirism’(Chamil Wariya, 1992). Sifat tekanan yang dihadapi semasa zaman pmerintahan Mahathir sejak sekian lama telah melonjakkan satu frasa yang baru dalam pola pengundian yang terjadi pada PRU 12 dan PRU 13 di bahagian semenanjung terhadap BN. Walau bagaimanapun, masyarakat di Sabah masih memilih UMNO-BN untuk meneruskan legasi membangunkan negeri Sabah namun sedikit kesukaran dihadapi oleh UMNO-BN untuk meraih sokongan dan undi masyarakat Cina kepada UMNO-BN.

Parti Islam Sa-Malaysia (PAS) Terengganu
Kepimpinan PAS adalah serpihan dari UMNO itu sendiri apabila ada ahli UMNO yang tidak berpuas hati apabila UMNO bergabung dengan parti bukan Islam untuk membentuk Perikatan memandangkan wadah perjuangan adalah untuk mempertahankan orang Melayu dan agama Islam. Maka, ahli – ahli UMNO yang beraliran agama dan nasionalisme telah keluar dari UMNO dan membentuk Parti Islam Sa-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada tahun 1951 telah membawa wadah perjuangan untuk mempertahankan kesucian agama Islam agar agama Islam dan hukum Islam dilaksanakan dalam undang – undang dan pentadbiran negara. Sepanjang penubuhan PAS menunjukkan jatuh bangun PAS dalam mempertahankan wadah perjuangan parti tersebut. Para pemimpin PAS terdiri dari pemimpin pelbagai latar belakang dan sehingga kini ia diterajui oleh golongan ulama dan profesional. Namun begitu, adakalanya, kepimpinan parti itu sendiri menjadi keliru dan tiada halatuju yang meyakinkan tentang apa yang diperjuangkan PAS dan kemana hendak dibawa perjuangan ini sehingga PAS mengalami kemerosotan semasa pilihanraya umum (PRU ’86) berbanding dengan kebangkitan parti DAP yang meraih sokongan penuh dari orang Cina yang menolok Gerakan.
            Namun pada PRU ’99 merupakan satu kejutan kepada BN apabila PAS berjaya menakluki negeri Terengganu sekali lagi selepas menakluki Terengganu pada tahun 1959. PAS telah berjaya bangkit dari zaman kemerosotan dan mencari peluang untuk mengalahkan musuh tradisi PAS iaitu UMNO. Dengan kemenangan itu, PAS telah berjaya menempah tapak di Terengganu. Masyarakat telah mencari para ulama, tok guru dan ustaz – ustaz untuk menerajui kepimpinan sesebuah negeri dan negara. Kemenangan PAS pada tahun 1959 dan PRU ’99 menunjukkan rakyat Terengganu mahukan suatu perubahan kerana terasa teraniaya dengan pembangunan yang terlalu perlahan di Terengganu sedangkan Terengganu mempunyai aset yang mampu digunakan oleh MB yang mentadbir Terengganu untuk memajukan negeri Terengganu untuk kemaslahatan masyarakat. BN yang sebelum ini ‘tidur’ dan bersenang lenang dengan corak pemerintahan lama seperti terkena kejutan elektrik apabila Terengganu terlepas ke tangan PAS. Tn. Guru Hj. Abdul Hadi Awang telah dipilih sebagai MB Terengganu yang baru pada tahun 1999 apabila beliau menang besar di Parlimen Marang mengalahkan calon BN ketika itu. Maka, bermulalah era kepimpinan ulama di negeri Terengganu seperti apa yang diperjuangkan oleh Tn. Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan dan mampu mempertahankan kerusi beliau sehingga beliau bersara pada PRU 13 (2008) dari menjadi MB Kelantan.
            Sekitar tahun 1959, PAS telah berjaya menawan Terengganu dan menjadi sebuah parti politik arus perdana dalam waqi’ politik zamannya manakala pada tahun 1999, PAS telah berjaya menempatkan diri sebagai sebuah pakatan politik arus perdana, iaitu Barisan Alternatif (BA) yang kini dikenali Pakatan Rakyat (PR) (Shaari Sungib, 2006). Kemenangan PAS selepas 40 tahun kemudian masih mempunyai ciri yang sama walaupun kemenangan pada tahun 1999 adalah disebabkan oleh fenomena yang berbeza kerana PAS menyertai BA. Parti arus perdana adalah sebuah parti yang dilihat rakyat sebagai membawa agenda yang memperjuangkan kepentingan rakyat segenap lapisan. Agenda perubahan ini adalah berorientasikan pembentukan nasional dan tidak dilihat sempit dengan semata-mata bertujuan untuk memajukan kepentingan suatu lapisan atau kelompok yang tertentu (Shaari Sungib, 2006). Parti arus perdana juga bererti ia berjalan seiring dalam memenuhi gelombang kebangkitan rakyat semasa untuk keberlangsungan hidup mereka. Ia menjadi parti arus perdana kerana telah mendapat sokongan padu rakyat yang diberikan kepada parti.
            Justeru, PAS pada tahun 1959 telah menepati ciri-ciri di atas dalam konteks dan realiti politik pada masanya sehingga membawa kepada kemenangan mutlak ke atas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu. PAS telah membawa wadah dan agenda kemerdekaan tulen yang mahu membebaskan negara yang baru diberikan kemerdekaan oleh penjajah British pada tahun 1957 daripada ancaman koncu – koncu penajajah British itu sendiri. Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang menerajui PAS pada masa itu, memberi amaran kepada rakyat bahawa ancaman koncu-koncu penjajah masih kuat bertapak dalam prasarana sosio-ekonomi Malaya. Menurutnya lagi, ia berlaku melalui kuasa kapitalis tempatan di kalangan elit-elit Melayu, Cina dan India yang menjadi proksi British pada masa itu (Shaari Sungib, 2006). Mereka ini telah ditanamkan dengan pemikiran kapitalis oleh penjajah British. Menurut Dr. Burhanuddin lagi, elit kapitalis inilah yang bakal mengukuhkan cengkaman penjajah ke atas rakyat dengan meneruskan dasar penindasan.
Agenda “nation-building” atau pembentukan nasional oleh PAS adalah untuk memastikan Malaya ditadbir sepenuhnya menurut dasar dan sistem tempatan yang bebas daripada sebarang pengaruh dan kawalan British. PAS telah memperjuangkan negara yang bebas daripada segala bentuk penjajahan, sama ada dari Barat mahupun dari Timur. Dari segi tokoh-tokoh barisan kepimpinan PAS pula, PAS menampilkan gandingan mantap antara Dr. Burhanuddin dan Prof Zulkifli Muhammad. Dr. Burhanuddin melalui penglibatannya dalam PKMM, KMM, PRM, Putera-AMCJA dan banyak lagi pertubuhan yang lain dilihat sebagai seorang yang memperjuangkan kemerdekaan seiring dengan Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Ahmad Boestamam, Pak Sako dan lain-lain yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang unggul dan lebih berkaliber.
Ciri-ciri politik arus perdana ini dilihat berulang kembali pada tahun 1999 bagi PAS apabila memenangi kerusi DUN Terengganu. Melalui pakatan BA, PAS dilihat sebagai sebuah parti politik yang amat relevan dan signifikan dengan kehendak rakyat pada masa kini. PAS secara langsung telah terlibat dalam penggubalan agenda BA “Ke Arah Malaysia Baru” dan “Agenda Menawan Putrajaya”. PAS juga telah melonjakkan imej pemimpin - pemimpin utamanya apabila berganding dengan tokoh-tokoh alternatif besar negara seperti Anwar Ibrahim dan Kit Siang.
Pada tahun 1959, fenomena PAS menjadi parti arus perdana adalah bersumberkan daripada kekuatan dalaman PAS itu sendiri. Pada tahun 1959, PAS bergerak secara solo dan kekuatan dalaman parti itu sendiri telah menyumbang kepada kekuatan parti untuk memenangi DUN Kelantan dan Terengganu. Gandingan Dr. Burhanuddin dan Prof Zulkifli serta barisan pemimpin-pemimpin muda yang dinamik dalam PAS dilihat rakyat sebagai fenomena baru yang memangkin dan memungkinkan perubahan besar dalam politik PAS.
Pada tahun 1999 pula, dengan faktor luaran politik membantu PAS untuk menang di Terengganu apabila PAS membentuk pakatan bersama dengan BA. Pada masa ini, kepercayaan orang Melayu di Terengganu telah beralih arah ke arah pembentukan negara Islam seperti yang diuar – uarkan oleh PAS. Pengaruh Anwar Ibrahim yang menjadi satu revolusi kepada BA, telah memungkinkan kemenangan kepada PAS. Reformasi untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan membantu rakyat telah membuatkan rakyat mula mengalih undi kepada PAS selain pengaruh tokoh dan golongan ulama dan profesional yang dilihat lebih mencerminkan mesra rakyat berbanding BN. Hal ini dapat dilihat apabila MB Terengganu yang dipilih pada 1999 iaitu Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang merupakan seorang pemimpin yang beraliran agama dan seorang tokoh ulama yang terkenal. Kepimpinan ulama dalam PAS amat signifikan memandangkan PAS adalah sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan (Badlihisham Mohd Nasir & Napisah Karimah Ismail, 2011).  
Dalam kepimpinan PAS di Terengganu, transformasi dalaman dan luaran politik telah membawa perubahan yang besar kepada negeri Terengganu semasa pemerintahan PAS. Meskipun PAS hanya mampu mentadbir Terengganu selama sepenggal, namun ia telah banyak merubah corak politik PAS yang lebih ke arah sosio-politik yang baharu namun masih mengekalkan bentuk perjuangan yang berteraskan Islam. Pembawaan PAS kepada negeri berkebajikan rakyat dapat dilihat sebagai pengaruh dari pentadbiran golongan ulama yang amat mementingkan keserataan dalam pengagihan hasil negeri yang merupakan milik rakyat negeri Terengganu.

Kesimpulan
            Lanskap politik di Malaysia pada hari ini menunjukkan peralihan dalam kuasa yang semakin mendesak. Perebutan yang hebat di antara parti – parti politik di Malaysia menunjukkan satu fenomena yang baharu dan telah mengurangkan pengaruh dominasi sesebuah parti atau sistem feudalisme yang dipraktis sejak sekian lamanya. Pembangunan sesebuah parti sejak dari zaman kemerdekaan pada tahun 1957 dan PRU yang telah diadakan sehingga PRU 13 telah menunjukkan satu pola pengundian masyarakat ke atas sesebuah parti.
            Ciri elit kapitalis yang dibawa oleh sesebuah parti ke dalam arena politik dilihat memberi pengaruh yang hebat kepada sesebuah parti seperti yang terjadi dalam kancah politik Parti Pesaka Bumiputea (PBB) Sarawak yang memperlihatkan kewujudan elit kapitalis yang mengaut keuntungan dan berlaku penindasan ke atas masyarakat biasa. Sekiranya berlarutan, keterbukaan masyarakat pada hari ini untuk menuntut hak – hak mereka akan membawa kepada peralihan kuasa tampuk pemerintahan andai perkara ini tidak diperbetulkan. Bagi UMNO pula, demi memastikan keberlangsungan pengaruh UMNO di Sabah, UMNO telah menggunakan golongan elit dari kaum di Sabah itu sendri untuk berada dalam barisan kepimpinan bagi meraih sokongan padu masyarakat di Sabah. Keberhasilan acuan UMNO di Sabah memperlihatkan penguasaan UMNO betambah untuk terus kekal memerintah negara kerana Sabah dan Sarawak menawarkan jumlah kerusi parlimen yang tinggi.
            Pemerintahan PAS di Terengganu pula lebih bersifat kebajikan rakyat memandangkan tampuk pemerintahan ini lebih mengutamakan pendekatan Islam dan kemaslahatan rakyat Terengganu dan ia tepat apabila semas zaman pemerintahan PAS di Terengganu, ia dikenali sebagai negeri berkebajikan rakyat. Justeru, transformasi politik PAS di Terengganu lebih bersifat kemaslahatan rakyat dan pengaruh elit kapitais cuba dihapuskan PAS untuk kepentingan rakyat dan kesamarataan dalam pembahagian hasil negeri Terengganu kepada rakyat. Justeru, peredaran zaman menunjukkan pelbagai transformasi dilakukan oleh semua parti untuk meraih kejayaan sehingga terbentuk BA dari pihak pembangkang (kini dikenali PR) untuk menentang BN meskipun mempunyai aliran dan wadah perjuangan yang jauh berbeza.

            Perjuangan PR adalah untuk menghapuskan elit kapitalis dalam politik di Malaysia yang dikuasai BN demi untuk rakyat namun sekiranya diteliti dengan sebaiknya, di dalam PR itu sendiri wujud elit kapitalis yang memonopoli sesuatu keadaan dan menjatuhkan pihak lain demi kepentingan diri sendiri. Oleh itu, demi ekonomi rakyat dan pembelaan ke atas penindasan terhadap rakyat, diharap senario politik di Malaysia lebih mementingkan kemaslahatan rakyat memandangkan keadaan ekonomi yang mendesak hidup rakyat untuk meneruskan keberlangsungan hidup mereka.

Saturday, August 29, 2015

ULASAN KARYA TOK GURU (A. SAMAD SAID)

Ini adalah contoh ulasan karya sastera tok guru by A Samad Said. hopefuly my sharing bermanfaat to all of you yang sedang membuat assignment ulasan karya sastera. sharing is caring :)

1.0 PENGENALAN
            Karya sastera sama ada traditional atau pun moden, kedua – duanya memainkan peranan yang penting dalam  menyampaikan  mesej kepada masyarakat melalui sajak, pantun, puisi, cerpen, novel dan sebagainya. Sesebuah karya satera yang indah susur galurnya, kepelbagaian gaya bahasanya seta penuh dengan elemen estetika amat penting untuk melahirkan sebuah karya yang dapat diselami maksud penyampaiannya sama ada secara tersurat ataupun tersirat.
Tiga persoalan utama untuk mengangkat dan meletakkan sastera pada kedudukannya yang hak serta memperlihatkan perkembangannya yang sihat ialah yang pertama, fenomena seni itu sendiri, kedua fenomena sosial dan ketiga, keterampilan kesusasteraan. Ia juga dapat memartabatkan diri sasterawan dan karyanya sekaligus(Shahnon Ahmad, 2006).
            Fenomena seni merupakan intipati untuk menjadikan sesebuah karya itu kreatif. Keremehan dalam menerapkan elemen estetika dalam sesebuah karya, menjadikannya hambar, koosng, hilang seninya dan tidak bermakna kerana mesej yang ingin disampaikan oleh penulis tidak dapat diselami oleh pembaca dengan baik. Penyampaian terbaik bagi sesebuah karya yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan,, penulis perlu melalui pelbagai kepayahan, ketelitian, penyelidikan yang berterusan, pengalaman yang dikutip di setiap penjuru alam serta daya keupayaan berimaginasi dan kreativiti yang tinggi. Keunikan sesebuah karya sastera terletak pada nilai estetika ini kerana tanpanya didalam diri seorang sasterawan,  karya tersebut tidak membawa apa – apa makna signifikan. Martabat karya itu juga tidak wujud dan  menyebabkan ianya dipandang enteng dan remeh oleh masyarakat.
            Seperti fenomena seni, fenomena sosial juga memerlukan ilmu yang mendalam, pengalaman yang diterokai, keperitan akal yang gemar berhujah dalam mencari kebenaran serta keyakinan diri yang tinggi. Ini kerana karya yang dihasilkan bukanlah  karya tiruan  atau diciplak tetapi karya – karya ini memepunyai ketulenannya dari segi gaya bahasa yang pelbagai, kecanggihan dalam penyusunan jalan cerita, liku – liku serta cabaran yang dilalui bagi menghasilkan sebuah karya sastera yang menyampaikan mesej kebenaran melalui kesusasteraan.
            Penghasilan karya yang terbaik juga melalui keterampilan kesasterawanan. Jati diri sasterawan memainkan peranan yang penting kerana identitinya itu sendiri menonjolkan keperibadiannya, gaya hidup serta pembawaannya dalam berkarya. Kita dapat melihat kelemahan serta kekuatan daya kreativiti, imaginasi serta daya sensitiviti seseorang penulis dalam menentukan sejauh mana penulis dapat menjiwai karyanya. Pembaca yang bijak menyelami sesebuah karya, tidak hanya menerima ia sebagai sebuah teks semata – mata, tetapi berada bersama – sama dengan penulis didalam liku – liku perjalanan cerita tersebut.
            Setiap karya mempunyai kelemahan dan kekuatannya. Namun begitu, kepentingan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis melalui karyanya tidak boleh dipandang remeh kerana kadang kala mereka membawa kita selami realiti kehidupan yang cuba kita selindungi. Walaupun terdapat karya- karya yang menggunakan gaya bahasa yang begitu sinis sekali dan mendapat kritikan yang hebat dari pelbagai pihak, tetapi itulah realiti yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kita semua.
           

2.0 PEMILIHAN KARYA SASTERA
Saya telah memilih sebuah karya sastera moden dalam bentuk sebuah novel iaitu Tok Guru karya Shahnon Ahmad (1988) untuk digunakan dalam analisis mengenai pemikiran yang cuba digarapkan oleh pengarang ini didalam novelnya. Novel ini sering dijadikan kajian kerana bersangkut paut dengan pengalaman sasterawan negara, Shahnon Ahmad sepanjang penglibatan beliau dalam al – Arqam sehingga beliau keluar dari pertubuhan tersebut dan mengarang novel ini sebagai meluahkan perasaan serta pengalaman beliau dalam bentuk coretan.

2.1 SINOPSIS “TOK GURU”
Novel Tok Guru mengisahkan kehidupan sebuah keluarga yang terdiri daripada Mamak Merican, Mami Yam, Mumdas, Cumbi dan Mirasa yang menjadikan agama Islam sebagai tunggak dalam kehidupan mereka sekeluarga. Mereka ini berguru dengan seorang alim yang bergelar Tok Guru. Kelazimannya, Tok Guru akan menghadirkan diri di rumah Mamak sekeluarga setiap malam Jumaat untuk mengajar mereka mengenai ilmu agama Islam dengan lebih mendalam dari segi ilmu – ilmu tasawwuf, fardu ain, fiqh dan Usuluddin.
Sejak kehadiran Tok Guru, kehidupan Mamak sekeluarga telah berubah jauh sekali dan mereka menghayati ajaran Tok Guru dengan mendalam sekali sehingga Mamak menjadi begitu taksub dengan Tok Guru. Beliau  memasang niat dan angan – angan untuk menjadi pendakwah dengan menjejaki kehidupan seperti Tok Guru,  kehidupan Nabi dan Kehidupan para Ulama dengan meramaikan zuriat kerana menurut Tok Guru meramaikan zuriat juga merupakan  satu  ibadah. Mami pula mula menyedari bagaimana peranannya untuk menjadi seorang isteri yang soleha manakala Cumbi mula memasang angan – angan untuk menjadi seorang isteri yang soleha kepada kekasih hatinya, Mubarak.
Oleh kerana ketaksubannya itu, Mamak telah menyampaikan hasratnya untuk berkahwin lagi satu dan menyuruh Mami supaya mencari calon isteri untuknya. Namun begitu, Mami tidak sanggup dan terus bertemu dengan Tok Guru. Tok Guru begitu bijak memainkan peranan memujuk Mami dan akhirnya tercapai juga hasrat Mamak untuk berkahwin lagi satu. Dia berkahwin dengan adik Tok Guru sendiri, Rabiatunadawiyyah iaitu seorang janda yang mempunyai seorang anak.
Namun kerakusan Mamak tidak berhenti setakat itu dimana beliau menyatakan hasratnya untuk berkahwin dua orang lagi sekaligus. Segala urusan mencari diserahkan kepada Mami dengan alasannya yang biasa didengar oleh Mami iaitu untuk meramaikan zuriat. Akhirnya beliau berkahwin dengan dua orang janda iaitu Zeenab Bibi dan Chumchum. Maka berlakulah ketidakadilan dalam sistem giliran bermalam apabila isteri yang lebih muda menerima giliran yang lebih dari isteri – isteri yang tua.
Cumbi yang menyimpan  hasrat untuk berkahwin dengan kekasih hatinya mendapat halangan yang keras dari ayahnya. Mamak tidak berkenan dengan Mubarak kerana keluarganya yang tidak berlatarbelakangkan agama. Malah Mamak menyarankan agar Cumbi berkahwin dengan Tok Guru dan menjadi isterinya yang keempat kerana bagi Mamak, sekiranya Cumbi berkahwin dengan Tok Guru, dia akan masuk ke syurga. Cumbi yang pada mulanya membantah, akhirnya berkahwin juga dengan Tok Guru. Malahan sistem giliran bermalam Tok Guru juga memberatkan kepada isterinya yang lebih muda iaitu Cumbi.













3.0 PENDEKATAN KRITIKAN SASTERA
Kritikan amat penting bagi sesebuah karya sastera kerana dari kritikan kita dapat lihat apa yang disampaikan oleh pengarang didalam karya sasteranya itu mampu membuka mata masyarakat ataupun tidak. Karya yang baik mampu memberi impak yang besar kepada pembaca dan sedikit sebanyak memberi ruang kepada masyarakat untuk menilai apa yang cuba disampaikan oleh pengarang. Ketajaman pena seorang pengarang terletak pada ketajaman imaginasi dan kreativitinya yang bersandarkan pada pengalaman, penyelidikan serta ketelitiannya dalam menghasilkan sebuah karya yang berkualiti.
Terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan oleh para kritikawan untuk menilai hasil karya pengarang – pengarang. Antaranya ialah pendekatan formalistikas, pendekatan struktural, prinsip dan kaedah pendekatan moral/agama dan pendekatan sosiologi. Bagi tujuan menganalisis karya Shahnon Ahmad ini, saya memilih pendekatan sosiologi kerana sasterawan negara ini banyak melahirkan karya – karyanya berdasarkan pengalaman serta sesuatu yang berhubung kait dengan kehidupan beliau. Sebagai contoh, karya Tok Guru ini dihasilkan setelah beliau keluar dari pertubuhan al –Arqam dan beliau meluahkan apa yang dirasainya sepanjang bersama dengan jemaah didalam novel ini.
W.S Hudson menjelaskan bahawa sastera tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat kerana sastera tidak akan menjadi agung sekiranya tidak menjelajah alam masyarakat serta alam kehidupan manusia sedalam – dalamnya (Harun Jaafar, 2009).
Pendekatan sosiologi menekankan tiga aspek iaitu yang pertama, melihat secara luas sosiologi sasterawan yang menghasilkan sesebuah karya. Kehidupan yang dilalui serta pengalaman yang diperolehi oleh sasterawan menjadi tunjang kepada terhasilnya sesebuah karya kerana dirinya lebih hampir dengan masyarakat disekelilingnya. Aspek yang kedua, melihat pada pengaruh dan sifat yang terdapat dalam diri seorang pengarang kerana pengarang akan melahirkannya menggunakan mata penanya untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat. Ketiga, pendekatan sosiologi melihat pada pengaruh institusi kesusasteraan terhadap perkembangan sastera. Pada tahun 40an dan 50an, ramai penulis yang memilih untuk meluahkan coretan mereka dalam bentuk cerpen kerana lebih mudah berbanding karangan – karangan yang berat kerana untuk menyesuaikan dengan kehendsak pembaca yang rata – ratanya tidak ramai yang berpelajaran.

4.0 ANALISIS NOVEL TOK GURU
Shahnon Ahmad didalam “Perjalananku Sejauh Ini : Sebuah Autobiografi” ada menyatakan bahawa kedua – dua novelnya iaitu Tok Guru dan Ummi & Abang Syeikhul memaparkan konsep poligami yang selaras dengan tuntutan Islam (Shahnon Ahmad, 2000). Beliau juga ada menyatakannya didalam “Setitis Embun Semarak Api” dimana novel Tok Guru mencerminkan kebahagian didalam berpoligami kerana Tok Guru mampu memberi kebahagian dan kesejahteraan kepada isteri – isteri beliau terutama Cumbi yang pada mulanya keberatan untuk berkahwin dengan Tok Guru tetapi akhirnya hidup bahagia bersama (Shahnon Ahmad, 2006).
Namun begitu, setelah dikaji dan dibuat analisis, didapati novel ini lebih mencerminkan penyelewengan yang berlaku dalam poligami. Analisis ini dilakukan mengikut empat aspek utama yang terdapat didalam novel ini. Aspek yang pertama adalah mengenai konsep keadilan dalam berpoligami, yang kedua penyelewengan dan diskriminasi, ketiga agama Islam digunakan sebagai penyelindung maksud tersembunyi untuk memenuhi kehendak diri dan yang keempat, ketaksuban seseorang itu terhadap orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi tanpa melihat ketulusan hatinya dalam berdakwah.

4.1. Konsep Keadilan dalam berpoligami
Didalam karya ini, kita dapat lihat ketidakadilan yang berlaku dalam sistem poligami Tok Guru dan juga Mamak melalui penyusunan jadual giliran bermalam bersama – sama dengan isteri – isteri mereka. Dalam berdakwah dan memberi nasihat, Tok Guru menasihati supaya Mamak berlaku adil kepada isteri – isterinya kelak. Namun begitu, Tok Guru sendiri mengatur jadual giliran bermalam yang sama sekali tidak adil kepada isteri – isterinya. Giliran bermalam mengikut hak yang sepatutnya hanya berjalan untuk beberapa ketika sahaja dan kemudiannya isteri yang tua mula dipinggirkan dan isteri yang muda mendapat keutamaan.
Jadual Giliran Bermalam Tok Guru
Jadual Giliran Bermalam Mamak
Musalmah ( 3 )
MamiYam ( 2 )
Mariyah ( 3 )
Rabiatunadawiyyah ( 3 )
Romlah ( 7 )
Zeenab Bibi ( 10 )
Cumbi ( 15 )
Chumchum ( 11 )
“Percayalah Mami kepada Nana ini. Nana pun bukan larat sangat, tapi bila teringatkan sunnah Nabi dan ingin beribadat dalam semua jurusan, termasuk jurusan kahwin empat, Nana pun hendak kahwin empatlah. Nana sudah tua juga. Biarlah Nana kumpul pahala banyak-banyak dengan apa cara sekali pun. Cara kahwin empat dan memberi giliran yang adil adalah diantara keadilan yang sebaik-baiknya. Itu adalah satu ujian kepada Nana. Kalau Nana tak jaga giliran, Nana berdosa. Kalau Nana jaga giliran , nah, Nana dapat pahala.”

[ Shahnon Ahmad, 1988 : 179]
            Dialog di atas adalah seperti yang diucapkan oleh Mamak kepada isterinya, Mami. Kata – kata Mamak itu jauh sekali dengan apa yang dipraktisnya setiap malam berhubung dengan soal giliran bermalam dimana isteri yang paling muda mendapat giliran yang lebih berbanding isteri yang lebih tua. Ini menunjukkan Mamak tidak mempraktikkan sistem poligami sepetimana yang dituntut dalam Islam.
Ooi Eng Lye (2005:184) berpendapat bahawa “......Wanita dalam Tok Guru....sebenarnya mereka menentang ketidakadilan di kalangan pengamal poligami....”
            Namun begitu, pendapat ini sukar diterima kerana pada akhirnya wanita tetap menjadi mangsa penindasan dan menguntungkan kaum lelaki (Mohd Zariat, 2008:10). Seperti watak Cumbi yang menyatakan hasrat kepada ayahnya untuk berkahwin dengan kekasih hatinya, Mubarak. Namun begitu, Mamak menentang keras niat anaknya itu. Isterinya, Mami pula seorang yang patuh pada suaminya dan walaupun dia kasihan dengan anaknya tetapi dia tidak mampu untuk melawan kata – kata Mamak dan menenangkan hati anaknya setelah dipaksa oleh Mamak supaya berkahwin dengan Tok Guru. Akhirnya dengan kerelaan, Cumbi pun berkahwin dengan Tok Guru.
            Keadilan dalam berpoligami amat penting kerana Islam sendiri menyuruh umatnya berlaku adil terhadap isteri – isterinya. Seperti yang terdapat didalam surah Al-Nisa:3 “ dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap anak – anak yatim, maka kahwinilah wanita – wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat, tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil, (terhadap isteri – isteri), maka kahwinilah seorang sahaja....yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”
Ayat  Al – Quran ini menuntut umat Islam supaya berlaku adil apabila berpoligami agar keadilan dapat ditegakkan dan isteri – isteri mendapat hak yang sama rata. Menurut ulama, keadilan yang disyaratkan dalam ayat 3 itu adalah didalam perkara – perkara seperti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, giliran bermalam dan seterusnya, iaitu perkara madhi (zahir dan material) (Sofian Ahmad, 2009).

4.2. Penyelewengan dan Diskriminasi
            Penyelewengan dan diskriminasi dalam novel Tok Guru ini dapat dilihat dikaji dengan teliti kerana pada akhirnya, kaum lelaki yang mendapat untung manakala kaum wanita ditindas oleh suami masing – masing. Hal init terjadi kepada isteri – isteri tua Tok Guru dan juga Mamak. Ini kerana, apabila tiba pada pembahagian giliran bermalam, ternyata isteri yang tua mendapat jumlah bermalam yang terlalu sedikit dan jauh berbeza dengan isteri – isteri yang lebih muda. Ini munujukkan penyelewengan yang telah dilakukan oleh Tok Guru dan juga pengikutnya, Mamak.
            Adalah lebih jelas daripada analisis ini bahawa poligami dalam Tok Guru hadir sebagai satu praktik perkahwinan Islam yang membuka ruang yang luas kepada berlakunya deskriminasi dan ketidakadilan dalam perhubungan antara gender (Mohd Zariat, 2008:11).
“Kalau Mamak tak adil, Mamak yang berdosa. Mamak mesti adil kepada Mami. Adil dalam soal luar dan juga soal rohaniah. Bermalam pun mesti ada jadual, mesti ikut giliran. Mamak mesti jaga giliran itu kalau mahu adil. Kalau Mamak tak tahu jaga giliran, bala akan menimpa Mamak kerana itu berdosa juga. Itu kalau dua orang isteri.Kalau tiga atau empat, giliran mesti jaga betul-betul”. Panjang juga Tok Guru memberi keterangan hal jadual dan giliran itu..................
[ Shahnon Ahmad, 1988 : 45 ]
Dialog di atas diucapkan oleh Tok Guru kepada Mamak. Tetapi setelah dibuat analisis, ternyata Tok Guru seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan. Tok Guru sendiri melakukan penyelewengan apabila giliran isteri -isterinya tidak dipenuhi seperti yang dituntut oleh Islam bagi tiap – tiap lelaki yang berpoligami. Ini jelas menunjukkan watak Protoganis seperti Tok Guru sebenarnya memberi gambaran penyelewengan yang paling ketara dalam berpoligami sehingga menjadi ikutan pengikut setianya, Mamak. Isteri Mamak iaitu Mami misalnya merupakan seorang isteri yang taat dan patuh pada suami. Dia tidak berani membantah keinginan  Mamak untuk berkahwin lain kerana takut diceraikan dan tanpa dia sedar apa yang dilakukan oleh suaminya itu adalah satu bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap wanita.
Melalui kajian Mohd Zariat, (2008:11) menunjukkan persepsi bahawa amalan perkahwinan Islam dalam novel Tok Guru membuka ruang kepada diskriminasi dan penyelewengan poligami meskipun Shahnon Ahmad membuat kenyataan bahawa poligami dalam novelnya itu sejajar dengan kehendak agama Islam seperti yang dinyatakan didalam autobiografinya.

4.3. Menggunakan Agama untuk Kepentingan Diri
            Setelah dianalisis novel ini, keinginan Mamak untuk berkahwin lain bukanlah kerana hendak mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh agama tetapi lebih kepada memenuhi keperluan nafsunya dan sikapnya lebih terburu – buru untuk mengikut jejak Tok Guru. Setelah beristeri dua, Mamak bersikap lebih tamak dan ingin beristeri tiga dan empat sekaligus. Dia juga menggunakan helah ingin meramaikan zuriat agar dapat melahirkan pendakwah yang hebat bagi memujuk Mami supaya membenarkan dia berkahwin lagi. Namun begitu, motifnya jelas dapat dilihat apabila dia menyatakan hanya inginkan ladang – ladang yang subur untuk menternak dan sekiranya ladang itu tandus, dia akan menceraikan isterinya itu dengan cara baik. Ternyata amalan poligami Mamak tidak mengikut syariat yang sepatutnya.
“Kalau tak ada janda beranak banyak pun, cukup dengan janda tanpa anak saja dengan syarat ladangnya masih subur. Mami barangkali tahu memilih tanah ladang yang subur kerana melihat raut muka dan air muka pun tentu sudah dapat menentukan sama ada tanah itu tandus atau terpugar: kontang atau lemah, gersang atau berbaja. Kalau tanah ladang itu kemudiannya diketahui gersang atau tandus atau kontang, aku terpaksa ceraikanlah dengan baik hati. Penceraian dengan cara begitu dituntut juga. Buat apa simpan tanah tandus dan gersang.”
[ Shahnon Ahmad, 1988 : 190]
Menurut Sofian Ahmad (2009), Poligami diizinkan dengan maksud untuk membela nasib janda dan anak yatim supaya mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya. Walaubagaimanapun, watak Mamak menunjukkan bahawa tujuannya berpoligami bukanlah untuk melindungi janda dan anak yatim tetapi lebih kepada keperluan nafsunya semata – mata.
Hal ini juga dapat dilihat pada diri Tok Guru yang menggunakan ilmu agama yang dimilikinya pada jalan yang tidak betul. Ini kerana setiap malam Jumaat, beliau lebih banyak menyentuh soal – soal perkahwinan. Hal ini telah disedari oleh Cumbi, anak Mamak.
“Dulu pun bukan aku tidak sedar. Gelagat Tok Guru seimbas pun aku sudah dapat menangkap hajat Tok Guru. Dia selalu kerling kepada aku bila selesai memberi salam. Bukan aku tidak sedar. Waktu menadah tangan minta doa yang panjang pun, Tok Guru asyik kerling saja kepada aku. Memang Tok Guru itu gatal orangnya.”
[ Shahnon Ahmad, 1988 : 235 ]
Berdasarkan petikan di atas, ternyata Tok Guru menunjukkan sifat dirinya yang sebenar dan tujuannya menghadirkan diri setiap malam Jumaat di rumah Mamak. Ditambah pula dengan kepercayaan Mamak yang tidak berbelah bagi padanya memberi peluang pada Tok Guru untuk mencapai misinya memiliki Cumbi.  Syed Syeikh al – Hadi menyatakan bahawa wanita perlu diberi kebebasan untuk memilih pasangan hidup kerana kahwin paksa akan mendatangkan keburukan.
            (S. Ali Yasir, 1983:5)menerangkan konsep yang betul dalam meyebarkan ajaran Islam serta tidak mempergunakan ilmu yang dimiliki untuk kepentingan diri sendiri. Menyebarkan ajaran Islam perlulah di landasan yang benar kerana sekiranya terdapat kepincangan, maka Islam akan dipandang remeh oleh sesetengah pihak. Inilah yang berlaku seperti watak Tok Guru yang berpengetahuan agama yang luas tetapi telah menggunakan ilmu yang dimiliknya dengan tujuan dan niat yang terpesong kerana beliau lebih gemar menyentuh soal – soal perkahwinan.

4.4. Ketaksuban Terhadap Orang Alim
            Watak Mamak jelas sekali menunjukkan ketaksubannya terhadap Tok Guru. Ini dapat dianalisis apabila dia mula merubah corak pemakaiannya mengikut Tok Guru. Malahan beliau juga mengikut jejak Tok Guru yang telah beristeri tiga, untuk beristeri lagi satu setelah mendapat nasihat dari Tok Guru supaya meramaikan zuriat kerana meramaikan zuriat merupakan satu ibadah. Kerakusan Mamak dapat dilihat setelah beliau meminta Mami untuk mencari calon isteri kepadanya dan kemudiannya menambah bilangan kepada tiga dan empat sekaligus hanya kerana ingin menjadi seperti Tok Guru yang punya ramai zuriat. Namun, Mamak tidak menyedari bahawa Tok Guru sendiri tidak mengingati anak – anaknya dan bagaimana boleh Tok Guru mendidik anak – anaknya dengan baik? Ketaksuban Mamak terhadap Tok Guru ditambah lagi apabila dia mencadangkan agar anaknya Cumbi berkahwin dengan Tok Guru supaya mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.
Tok Guru! Mengapa pula tidak dengan Tok Guru.Tok Guru masih ada lagi satu tanah ladang untuk ditanam dan Tok Guru belum miliki mana-mana tanah ladang lagi. Mengapa Cumbi tidak jadi saja tanah ladang itu untuk Tok Guru tanam benihnya. Tok Guru orang alim, orang bertakwa, orang kuat mujahadat dan Tok Guru juga lebih tahu mengatur giliran malam.
[ Shahnon Ahmad, 1988 : 147 ]
‘Mami setujukah kalau Cumbi kita jadi isteri keempat Tok Guru?’
[ Shahnon Ahmad, 1988 : 1
‘Nana tak suka budak itu. Cumbi mesti ikut Nana dalam soal ini kerana Cumbi masih belum tahu memilih peladang. Mami pun mesti ikut Nana. Nana kata Tok Guru, Tok Gurulah’
[ Shahnon Ahmad, 1988 : 153 ]
‘Tentang Cumbi. Mamak rasa-rasa hendak serahkan saja kepada Tok Guru, Kalau Tok Guru sudi. Moga-moga selamat Cumbi dalam dunia dan akhirat bila ada di bawah payung Tok Guru’
[ Shahnon Ahmad, 1988 : 215 ]
Petikan – petikan di atas jelas sekali menunjukkan ketaksuban Mamak terhadap Tok Guru. Kesemuanya lebih jelas apabila penglihatan Mamak dikaburi dengan kebaikan Tok Guru yang menjodohkan adiknya, Rabiatunadawiyyah sebagai isterinya nombor dua. Mamak terlalu taksub dengan Tok Guru yang dianggapnya sebagai seorang alim, warak dan penuh dengan ilmu agama serta menjadi rujukan kepada dia dan keluarganya. Padahal, melalui jadual giliran bermalam sudah menunjukkan sifat sebenar Tok Guru serta kunjungannya ke rumah Mamak setiap malam Jumaat apabila Tok Guru lebih gemar menyentuh isu – isu yang berkaitan tentang hal – hal perkahwinan berbanding hal- hal agama yang lebih meluas.

5.0 KESIMPULAN
            Kesimpulannya, setiap coretan pengarang akan tersimpan seribu erti kepada pembaca. Mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang lazimnya sentiasa mendapat kritikan dan pandangan daripada masyarakat umum dan ahli –ahli sarjana. Sebagai contoh, Novel Tok Guru ini banyak memperlihatkan kepincangan dalam sistem poligami yang diamalkan oleh Tok Guru dan Mamak. Kepincangan ini bukanlah salah bagi mereka untuk beristeri empat tetapi kerana ketidakadilan yang telah mereka lakukan dalam berpoligami yang dapat dikesan dalam karya ini.
            Karya dan masyarakat memang tidak dapat dipisahkan. Kerana adanya masyarakat maka terhasillah karya yang sentiasa menyampaikan mesej – mesej yang berkesan dan sentiasa mendapat pandangan dan kritikan dari pelbagai pihak. Namun, mata pena pengarang tidak akan sesekali tumpul selagi jiwa, minda dan tenaga masih mampu bekerja dalam menghasilkan karya yang terbaik dan berkualiti utnuk hidangan pembaca.
                                                                                                                      (3202 patah perkataan)












RUJUKAN
1.         Shahnon Ahmad, 1988. Tok Guru.
2.         Shahnon Ahmad, 2006 . Perjalananku Sejauh Ini : Sebuah Autobiografi. Pulau Pinang: Pustaka Shahnonahmad
3.         Shahnon Ahmad, 2006. Setitis Embun Semarak Api. Selangor: Dasar Cetak (M) Sdn Bhd
3.         Di petik dari S.Ali Yasir. “Di Balik Poligami Rasulullah S.A.W”,Pustaka Nasional PTE LTD Singapura, 1983:5
4.         Website.Source:http://bicarasastera.blogspot.com/.4,Julai 2011
5.         Website.Source:http://www.ukm.my/penerbit/akademika/jademik-74-01-abstrak.html,4 Julai 2011
6.         Website,Source:http://journalarticle.ukm.my/630/1/akademika74%5B01%5D.pdf,4 Julai 2011