Monday, August 31, 2015

KAPITALISME DALAM POLITIK MALAYSIA

ini assignment mengenai kapitalisme dalam politik tanah air iaitu UMNO, PAS..hopefully boleh mmebantu diluar sana. sharing is caring :)

1.0 Pengenalan
            Senario politik di Malaysia dilihat menunjukkan perubahan yang ketara di antara pertembungan parti – parti di Malaysia apabila menginjak sekitar tahun 2008. Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dalam politik tanahair yang mana suara rakyat menjadi pemangkin kepada tampuk pemerintahan negara. Ini adalah pengaruh dari kebanyakan negara koloni British yang lain yang mana ketika British menjajah Tanah Melayu, pihak British telah meninggalkan sistem pemerintahan bercorak koloni British. Justeru, Malaysia telah mengadaptasi sistem demokrasi model Britain, iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai sistem pemerintahan setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Menurut M. Nadzri M. Noor & Ghazali Mayudin (2008), struktur pemerintahan demokratik dimanifestasikan dan diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi persekutuan (Artikel 4: 1). Menurut mereka lagi, dalam Perlembagaan Persekutuan, dapat dilihat penerapan konsep pengasingan kuasa di antara badan kerajaan terutamanya peruntukan kebebasan kehakiman di sebalik percantuman kuasa badan eksekutif dan badan perundangan, peruntukan kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, peruntukan kuasa badan perundangan dan peruntukan kebebasan asasi masyarakat Malaysia. Maka, sejak memperolehi kemerdekaan, wujud parti – parti politik yang berjuang menawan hati rakyat untuk menjadi pemerintah negara.
Dalam konsep demokrasi berpolitik di Malaysia, setiap penggal (4 tahun sekali) akan diadakan pilihanraya umum untuk menentukan siapa yang layak memerintah negara. Berdasarkan analisis politik yang telah dilakukan oleh para analisis politik tanahair menunjukkan rakyat Malaysia sering dikaitkan dengan budaya politik feudalisme dengan ciri – ciri submisif, pasif, subjek, taat dan setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah (Chandra 1971; Syed Husin Ali 2004; Nidzam 2002; Muhamad Nadzri 2007; 136). Ciri – ciri feudalisme ini terbentuk apabila rakyat memilih BN sebagai tampuk pemerintahan Malaysia sejak merdeka sehingga kini. Kini sudah setengah abad BN (yang dahulunya adalah parti perikatan antara UMNO, MCA dan MIC) memerintah negara disebabkan oleh sokongan yang padu dari rakyat yang mempercayai perubahan yang boleh dibawa oleh BN kepada rakyat. Menurut penganalisis politik, budaya berpolitik di Malaysia secara demokrasi gagal dihasilkan sebaliknya corak dan budaya politik lebih kepada budaya politik feudal dan kerana itu BN mampu bertahan memerintah Malaysia sehingga 50 tahun lamanya.
Sekitar Pilihanraya Umum tahun 1986, parti – parti di pihak pembangkang seperti DAP menunjukkan peningkatan dalam jumlah kerusi yang diperolehi apabila menang 6 kerusi di Pulau Pinang, 4 kerusi di Perak dan 3 kerusi di Sabah yang menunjukkan calon DAP mampu mengalahkan calon BN di negeri berkenaan. Ini menunjukkan gelombang penguasaan DAP yang menyerap secara halus dan tersembunyi kerana pada masa itu BN menghadapi pelbagai dilema dalaman politik itu sendiri dan menjadi tempoh yang amat kritikal kepada BN. Disebalik kemelut dalaman yang dihadapi BN, DAP menggunakan peluang ini untuk membuat pelbagai kecaman, tuduhan, kritikan dan tohmahan yang menyebabkan rakyat menjadi keliru dengan masalah yang terjadi dibawah pemerintahan BN sama ada disebabkan oleh kegagalan pihak pemerintah (BN) dalam mengendalikan pentadbiran pemerintahan (Zakry Abadi, 1986 : 20). Gelombang parti PAS dilihat seakan – akan kehilangan arah dan dan mengalami zaman kejatuhan yang serius sekitar pilihanraya umum ’86.
Namun, disebabkan kemelut yang melanda ekonomi negara terutamanya disebabkan Krisis Kewangan yang terjadi pada tahun 1997 menunjukkan pola pemilihan rakyat yang mula bangkit untuk menuntut hak mereka berbanding bergantung kepada amalan budaya politik feudal. Tekanan dan kos sara hidup, masalah sosial seperti penyelewengan, rasuah dan sebagainya serta masalah dalaman parti UMNO melihat kepada kepincangan yang terjadi dalam pentadbiran BN menjadikan pengundi orang Melayu mula beralih arah dan menyokong PAS sehingga membawa kemenangan PAS pada pilihanraya umum ’99 untuk menakluki negeri Terengganu selama sepenggal sebelum dirampas semula oleh BN pada pilihanraya umum ’04. Pemecatan Anwar Ibrahim dari keahlian UMNO pada tahun 1998 juga telah membawa kepada pembentukan parti baharu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipengerusikan oleh isteri Anwar sendiri iaitu Wan Azizah dan Anwar sebagai penaung kepada parti PKR. PKR telah bergabung dengan DAP dan PAS untuk membentuk Barisan Alternatif (Kemudiannya dikenali Pakatan Rakyat).
Apa yang lebih hebat, pada tahun 2008, menunjukkan pertembungan politik yang mencipta sejarah tsunami politik di antara dua sayap utama iaitu pro-kerajaan (Barisan Nasional) yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dan pro-pembangkang (Pakatan Rakyat) yang terbentuk daripada gabungan PAS, DAP dan PKR. PRU ke 12 menyaksikan BN semakin hilang sokongan rakyat apabila menang tipis kepada PR. Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila Selangor dan Kedah berjaya ditawan oleh parti penbangkang yang menyaksikan 5 buah negeri berjaya ditawan oleh PR iaitu Pulau Pinang (DAP), Perak (PAS), Selangor (PKR), Kelantan (PAS) dan Kedah (PAS). Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Datuk Najib untuk menarik semula undi ke atas BN namun kelihatan gelombang budaya politik feudal sudah tidak relevan lagi dan rakyat telah bangkit bersuara untuk menuntut hak mereka memandangkan krisis ekonomi yang kian meruncing sehingga menekan kehidupan rakyat di Malaysia.
  

Maksud Kapitalisme Dalam Politik Di Malaysia
Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan. Takrif individu di sini tidak semestinya merujuk kepada orang perseorangan tetapi juga merujuk kepada sekumpulan individu seperti sebuah syarikat. Dalam kapitalisme, kita berhak menjual atau meminjamkan barang atau perkhidmatan dan orang lain juga berhak membeli atau meminjam barang atau perkhidmatan tersebut. Masyarakat dalam ekonomi kapitalis yang tulen tidak perlu mendapat izin daripada raja atau kumpulan tertentu. Konsep ekonomi kapitalis diperkenalkan oleh Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations. Berdasarkan kepada maksud kapitalisme ini, wujud elit kapitalis yang mempengaruhi transformasi politik dalaman dan luaran sesebuah parti sehingga memberi kesan kepada perubahan yang ketara dalam corak pentadbiran sesebuah parti dan kepada masyarakat khususnya.
Berasaskan sistem quasi kapitalisme yang didokong oleh Malaysia, maka wujud dua perkara asas yang memberi impak kepada rakyat di negara ini. Hal ini demikian kerana pengaruh ekonomi dalam memotivasi tindakan sesebuah masyarakat adalah sukar untuk dielakkan kerana keberlangsungan kehidupan mereka bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Selain itu, disebabkan campurtangan kerajaan dalam sistem seumpama ini adalah tinggi, maka sekiranya berlaku masalah ekonomi yang mendesak keberlangsungan hidup mereka, kebergantungan dan pengharapan yang tinggi kepada kerajan tidak dapat dielakkan. Justeru, pada ketika ini mereka cenderung memerhatikan langkah, tindakan dan keputusan kerajaan untuk memperbaiki atau menyelesaikan keadaan yang dialami.
Pengalaman politik di Malaysia menunjukkan bahawa sekiranya keadaan ekonomi tidak mendesak rakyat, sokongan padu mereka cenderung diberikan kepada pemerintah sedia ada meskipun wujud isu dominan lain seperti rasuah, salahguna kuasa dan ketidakadilan sebagaimana yang dikritik dalam PRU 1990, 1995 dan 2004 (Ghazali 2006). Namun begitu, jika keadaan ekonomi ketika ini menekan kehidupan rakyat, maka wujud kecenderungan untuk politik baru muncul dan membela nasib rakyat. Seperti yang diketahui umum, gelombang politik baru yang pertama muncul pada PRU 1999 selepas berlaku Krisis Matawang Asia Pasifik 1997 yang membuatkan Malaysia hampir terpaksa meminjam wang dari badan kewangan antarabangsa. Walau bagaimanapun, kewujudan fenomena ini diperkukuhkan lagi oleh faktor pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998 dan terjadinya pembentukan pakatan pembangkang iaitu Barisan Alternatif. Namun begitu, disebabkan oleh keberkesanan kepimpinan Dr Mahathir dalam menangani krisis kewangan telah membuatkan sebahagian besar rakyat masih lagi menyokong kepimpinannya pada PRU ‘99.
Namun begitu, disebalik kemenangan BN dalam PRU’99, PAS berjaya menakluki negeri Terengganu sekali lagi disebabkan kepincangan dalam pentadbiran BN di Terengganu yang tidak banyak berusaha untuk membangunkan negeri Terengganu setanding negeri – negeri yang lain memandangkan Terengganu adalah negeri kedua terkaya di Malaysia. Rakyat mula bersuara mencari hak mereka. Gelombang politik sayap kiri iaitu PR terus cemerlang apabila pada PRU’04 menyaksikan Pulau Pinang diterajui oleh parti DAP dengan kemenangan yang amat cemerlang apabila menguasai hampir kesemua kerusi parlimen di Pulau Pinang manakala Selangor pula diterajui oleh PKR dengan kemenangan yang gemilang bagi Pakatan Rakyat apabila berjaya menidakkan calon BN meskipun ada calon BN yang berkaliber kerana rakyat kini mengundi kerana parti dan bukan kerana calon dan mereka tidak lagi ingin dikuasai oleh BN.
Pengaruh Elit Kapitalis Dalam Transformasi Dalaman dan Luaran Parti Politik
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ditubuhkan pada tahun 1973 di mana gabungan dari Parti Bumiputera (terdiri dari orang Melayu-Melanau) dan Parti Pesaka (orang Dayak). PBB boleh dianggap sebagai parti yang mewakili kaum peribumi Sarawak kerana ia adalah dari kaum pribumi itu sendiri yang mewakili masyarakat di Sarawak. Bagaimana pun, secara realitinya PBB sebenarnya didominasi oleh orang Melayu-Melanau terutama dalam menentukan dasar parti, calon anggota kabinet dan Ketua Menteri mereka (Sulaiman, 1994:14). Sejak penubuhan parti itu 32 tahun lalu, ia telah dipimpin oleh Abdul Rahman Yaakub dan anak saudaranya iaitu Abdul Taib Mahmud.
Namun begitu, penyatuan di bawah payung PPB telah diuji semasa zaman pemerintahan Abdul Rahman Yaakub apabila beliau yang bertindak selaku Ketua Menteri sejak tahun 1970 telah melantik ramai orang Melanau untuk memegang jawatan pegawai kanan dalam pentadbiran di ketujuh-tujuh bahagian di Sarawak menyebabkan ramai orang Melayu tidak berpuas hati dan menganggap beliau sebagai cauvinisme Melanau (Said 1985:126). Disebabkan itu, ramai pemimpin Melayu telah keluar dari parti dan membentuk Parti Rakyat Jati Sarawak (PAJAR) pada bulan Febuari 1978 di bawah pimpinan Haji Alli Kawi, bekas Timbalan Persuruhjaya Polis Sarawak. Namun begitu, pada PRU 1979, PAJAR mengalami kekalahan yang teruk dan 7 orang calonnya kehilangan wang pertaruhan mereka.
Seterusnya, Sekali lagi penyatuan orang Melayu-Melanau diuji melalui peristiwa Ming Court (Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Ming Court kerana pakatan penggulingan diadakan di Hotel Ming Court Kuala Lumpur) di mana 27 orang ADUN (16 Dayak) mendesak supaya Abdul Taib Mahmud meletakkan jawatan Ketua Menteri atau menghadapi undi tidak percaya (Sulaiman, 1994:106). Akibat dari desakan yang kuat dari pelbagai pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan pada 13 Mac 1987dan diadakan pilihanraya. Abdul Taib Mahmud ditentang hebat pemimpin Melayu-Melanau seperti Abdul Rahman Yaakub, Haji Noor Tahir, Hajah Hafsah Harun, Wan Habib Syed Mahmud dan Zainuddin Satem (Ahmad Nizar Yaakub, 2004). Namun keputusan pilihanraya memeihak kepada BN3 dibawah pimpinan Abdul Taib Mahmud dengan kemenangan 28 kerusi.
Ramai pemimpin Melayu dalam PBB beranggapan orang Melayu sepatutnya diberi ruang untuk menjadi presiden PBB dan Ketua Menteri. Sentimen ini adalah bersandarkan kepada kemampuan orang Melayu melalui Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di dalam BN yang mampu memegang tampuk pemerintahan negara. Menurut Chin (1999:214) terdapat usaha di kalangan pemimpin politik Melayu (termasuk beberapa orang dari parti PBB) cuba membawa UMNO ke Sarawak. Para pemimpin yang cuba membawa masuk UMNO ke Sarawak adalah dari Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak dan dari parti PERMAS yang telah dibubarkan. Walau bagaimana pun Abdul Taib Mahmud telah menyatakan bahawa PBB dan UMNO telah menandatangai satu perjanjian persafahaman bahawa UMNO tidak akan menubuhkan cawangannya di Sarawak (Chin, 1999: 215).
Kewujudan parti KeADILan (sekarang dikenali keadilan rakyat) yang membawa sentimen keMelayuan iaitu dominasi Melanau dalam politik Sarawak perlu ditamatkan, diskriminasi ke atas pemimpin Melayu perlu dihapuskan dan melantik orang Melayu menjadi Ketua Menteri (Chin, 1999: 222). Namun begitu, pada PRU 1999, parti KeADILan tidak berjaya memenangi sebarang kerusi tetapi kejayaan mereka meraih peratusan undi di beberapa kawasan amat memberangsangkan dan menunjukkan sokongan masyarakat Sarawak terhadap parti KeADILan. Walaubagaimanapun, masyarakat Sarawak tetap memilih PPB apabila parti KeADILan tidak berjaya dalam Pilihan Raya Negeri pada 2001.
Justeru, ramai pemimpin Melayu-Melanau sedar akan kepentingan mereka untuk bersatu padu bagi mengimbangi kekuatan politik kaum Dayak dan Cina di Sarawak agar PBB terus menerajui kepimpinan di Sarawak. Kesilapan dari segi permainan politik dalaman PBB boleh memberi ruang kepada parti kaum Dayak dan Cina untuk menawan Sarawak sekiranya masyarakat Melayu-Melanau tidak bersatu hati untuk membangunkan Sarawak. Abdul Mahmud Taib sendiri sentiasa berjuang mengurangkan jurang sentimen perkauman sepanjang 24 tahun beliau memegang tampuk pememrintahan Sarawak.
Senario politik PBB di Sarawak dipengaruhi oleh elit kapitalis yang dibawa oleh BN untuk memastikan PBB bertahan di Sarawak dengan memenuhi bebrapa syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat. Justeru, selepas Pilihan Raya Umum 1970, kerajaan pusat telah merancang pelan yang membolehkan Abdul Rahman Yaakub diterima oleh parti komponen BN Sarawak (dikenali sebagai Perikatan pada waktu itu) sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu. Berdasarkan ''pakatan'' ini, beliau (iaitu Abdul Rahman Yaakub) dikehendaki memenuhi lima tuntutan utama kerajaan pusat iaitu; (1) mengutamakan kepentingan nasional daripada kepentingan negeri, (2) mengekalkan dominasi Melayu dalam politik dan pentadbiran negeri, (3) memastikan penguasaan berterusan BN dalam pilihan raya negeri dan paling penting pilihan raya parlimen, (4) menyerahkan hak untuk mengekstrak sumber asli negeri, terutamanya minyak dan gas kepada kerajaan pusat, dan (5) memastikan wujudnya kestabilan politik di negeri ini (Faisal, 2009a). Sekiranya beliau enggan memenuhi kesemua tuntutan ini, kerajaan pusat akan menarik balik sokongan terhadap beliau dan kepimpinannya. Abdul Rahman Yaakub sedar bahawa tanpa sokongan kerajaan pusat, beliau tidak akan dapat mengekalkan kerusi Ketua Menterinya. Justeru setiap tuntutan ini dipenuhi oleh beliau tanpa sebarang keraguan. Sebagai balasan apabila tuntutan ini dipenuhi, kerajaan pusat telah memberikan ''kebebasan'' (bukan mutlak) kepada Abdul Rahman Yaakub untuk mendominasi bukan sahaja masyarakat di Sarawak tetapi juga pelbagai sumber negeri yang bernilai tinggi seperti balak dan tanah. ''Pakatan'' politik ini telah dipanjangkan kepada pengganti beliau iaitu Abdul Taib Mahmud (juga merupakan anak saudara kepada Abdul Mahmud Yaakub), yang turut mentaati setiap satu tuntutan kerajaan pusat sepanjang lebih tiga dekad pemerintahannya (Mohd Faisal Syam, 2008: 236).
Apabila Tun Abdul Taib Mahmud menyerahkan jawatan KM kepada Tan Sri Adenan Satem, ia dilihat membawa nafas baharu kepada PBB apabila Adenan menyatakan beliau akan memerangi dan menghalang ekstremis agama dan kaum seperti yang dilakukan Datuk Ibrahim Ali (Sharidan Mahavera & Desmond Davidson, 2014). Golongan pertengahan di Sarawak menerima baik apa yang dibawa oleh Adenan kepada Sarawak seperti tuntutan royalti minyak kepada Sarawak dari 5% kepada 20%. Dibawah pentadbiran Adenan, beliau amat menitikberatkan masyarakat di Sarawak apabila wakil yang ditugaskan di kawasan luar bandar tidak senang duduk kerana Adenan mahu semua pemimpin setiausaha politik melakukan kerja dengan telus meskipun masalah yang kecil berdasarkan slogan rakyat didahulukan demi kesejahteraan masyarakat di negeri Sarawak. Bagi Adenan, beliau mahu setiap janji yang ditaburkan kepada rakyat di Sarawak ditunaikan oleh pemimpin kawasan masing – masing.  Selain itu, tugas berat Adenan juga adalah untuk menarik kembali sokongan masyarakat Cina di Sarawak yang memilih PR dan menolak BN yang dirasakan oleh mereka sebagai berat sebelah dan meminggirkan masyarakat Cina di Sarawak. Untuk melakukan ini, Adenan perlu membuat perubahan dalaman Sarawak dengan menamatkan kroni kapitalisme yang menyebabkan sebahagian besar rakyatnya berada di bawah paras kemiskinan. Tahun-tahun kroni kapitalisme pentadbiran sebelum ini yang dipegang oleh pemimpin PBB sebelum ini menyaksikan lebih banyak kekayaan negeri dibolot oleh beberapa golongan elit (Sharidan Mahavera & Desmond Davidson, 2014). Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan pusat ketika itu sepatutnya menjadikan Sarawak sebagai sebuah masyarakat yang lebih adil dengan pembahagian kekayaannya agar dinikmati sama rata oleh masyarakat di Sarawak. Namun begitu, disebabkan dasar itu telah dirampas oleh kroni kapitalis, pembangunan di Sarawak menjadi pincang. Golongan kaya menjadi lebih kaya dan golongan miskin menjadi lebih miskin (Sharidan Mahavera & Desmond Davidson, 2014). Namun, Adenan mempunyai bekas ahli politik berkuasa yang mengawasinya dalam pemerintahan beliau di Sarawak dan masih belum dapat dilihat sama ada beliau boleh menggubal dasar untuk menamatkan kroni kapitalis yang tercipta di bumi Sarawak sejak berdekad dulu.
Melihat kepada senario politik PBB di Sarawak yang dipimpin oleh pemimpin dari kalangan Melanau Islam menunjukkan dominasi kaum ini dalam kepimpinan tertinggi (MT) PBB di Sarawak dengan menidakkan pimpinan dari kalangan Melayu Islam. Oleh yang demikian, pengaruh – pengaruh dalaman dan luaran telah memberi kesan kepada pemerintahan parti ke atas negeri Sarawak. Permainan potilik yang dimainkan oleh pemimpin parti memperlihatkan kuasa dominasi yang dipertahankan demi kepentingan diri sendiri dan orang bawahannya yang menyokong pucuk pimpinan PBB di Sarawak dan corak kapitalis yang masih menguasai pentadbiran di Sarawak, maka diharap Tan Sri Adenan Satem mampu membawa perubahan kepada parti PBB dari pengaruh kapitalis. 


Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Sabah
Kedatangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ke Sabah melalui pelbagai rintangan melalui beberapa cubaan sebelum UMNO betul – betul melebarkan sayapnya ke bumi di negeri bawah bayu itu. Hasrat presiden UMNO melebarkan sayap ke Sabah dilihat memberi kebimbangan kepada ahli UMNO yang lain kerana ditakuti wadah perjuangan UMNO untuk mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam akan beralih arah apabila ada penglibatan Bumiputea bukan Islam di Sabah yang menyertai UMNO. Menurut Chamil Wariya (1992), kebimbangan ahli UMNO adalah apabila Bumiputera bukan Islam menyertai UMNO secara beramai – ramai dan menggunakan kekuatan mereka sebagai ‘broker kuasa’ baru dalam parti untuk mempengaruhi perjuangan UMNO. Namun hakikatnya, wadah penubuhan UMNO di Sabah itu sendiri dilihat tidak begitu jelas.
Hasrat kedatangan UMNO di Sabah bemula sejak awal 1960-an tercetus apabila beberapa pemimpin utama UMNO mengutarakan persoalan kewajaran menubuhkan cawangan di Sabah dan Sarawak. Parti pertama yang ditubuhkan di Sabah adalah United National Kadazan Organization (UNKO) pada Ogos 1961 diikuti penubuhan United Sabah National Organization(USNO) pada Disember 1961. UNKO ditubuhkan untuk melindungi kepentingan kaum Kadazan Kristian di Sabah dan menentang pembentukan Malaysia yang mana Tanah Melayu digabungkan dengan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 yang diketuai oleh Donald Stephens. Barisan kepimpinan USNO pula terdiri dari tokoh – tokoh seperti Datu Mustapha Datu Harun, Mohd Said Keruak dan Sakaran Dandai.
Sabah dilihat sudah mempunyai parti yang mewakili rakyat Sabah iaitu USNO yang jika diteliti adalah seperti acuan UMNO kerana dari segi perjuangan, struktur parti dan sebagainya saling tidak tumpah seperti UMNO di Semenanjung Tanah Melayu (Chamil Wiraya, 1992). Maka kerana itu, lembaran sayap UMNO ke Sabah dilihat tidak relevan tambahan penduduk di sana terdiri dari golongan Islam dan bukan Islam. Sepanjang Sabah menjadi sebahagian dari Malaysia, parti politik yang mentadbir Sabah silih berganti. UNKO berkuasa sehingga 1965 manakala USNO berkuasa selama 10 tahun dan pada tahun 1976, ia ditumbangkan oleh parti Berjaya dibawah pimpinan Datuk Harris Salleh namun pada tahun 1985, Berjaya ditumbangkan dan Sabah ditadbir oleh PBS sehinggalah UMNO (BN) menguasai Sabah hingga sekarang.
UMNO secara rasminya telah ditubuhkan di Sabah pada 21 Februari 1991 oleh presidennya, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Kota Kinabalu (Chamil Wiraya, 1992). Keputusan mengembangkan sayap UMNO ke Sabah adalah kerana keputusan Presiden PBS (Datuk Joseph Pairin) membawa PBS keluar dari BN. Dalam tempoh 24 jam Datuk Joseph Pairin mengeluarkan PBS dari UMNO, UMNO terus membuat keputusan ke Sabah yang dianggap oleh sesetengah pemerhati politik sebagai terburu – buru. Namun disebalik perbuatan PBS keluar dari UMNO sebernarnya telah membuka laluan kepada UMNO untuk bertapak di Sabah sehingga ke hari ini. Pada masa itu pimpinan USNO telah membuat keputusan menyertai UMNO setelah USNO dibubarkan meskipun pada mulanya kepimpinan USNO tidak mahu UMNO ke Sabah.
Hasil dari kerjasama ini, UMNO menang besar di Sabah dan sekaligus menjadikan parti BN sebagai pemerintah di Sabah. Presiden UMNO telah memilih Tan Sri Ghafar Baba sebagai Ketua Menteri di Sabah dan Datu Mustapha Datu Harun sebagai timbalannya. Dengan kemenangan ini, bermulalah era politik UMNO di Sabah. Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan ke atas politik Sabah, pemerintahan UMNO dilihat adalah lebih bersifat ‘hegemoni’. Hegemoni adalah merujuk kepada suatu kuasa besar seperti negara ataupun "kelas masyarakat pemerintah" (ruling class) yang amat berpengaruh dalam mengawal segala tindak-tanduk negara-negara lain ataupun masyarakat dalam sesebuah negara (Evans dan Newnham, 1998 : 221–222). Kemenangan BN di Sabah menunjukkan kelangsungan yang bersifat hegemoni di mana BN masih lagi menguasai Sabah sehingga ke hari ini kerana mendapat mandat daripada rakyat di Sabah. Bagi BN pula sebagai kelas pemerintah, federalisme dijadikan sebagai mekanisme pujukan agar rakyat Sabah terus mengangkat parti ini sebagai pembela rakyat dan pemangkin pembangunan sosio-ekonomi. Dalam masa yang sama, pelbagai konsesi juga diberikan khasnya hak autonomi kepada Sabah dalam Perjanjian Fasal Perkara 20 supaya hak dan kepentingan rakyat negeri ini dapat dipelihara dari masa ke semasa (Asmady Idris & Suzalie Mohamad, 2014). Berlandaskan kepada ini, konteks pemahaman federalisme di Malaysia adalah merupakan suatu interaksi saling bergantung antara satu dengan yang lain iaitu antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang akhirnya membawa kepada kelangsungan dominasi hegemoni BN di Sabah (Asmady Idris & Suzalie Mohamad, 2014).
UMNO-BN di Sabah telah membuka banyak peluang kepada masyarakat tempatan Sabah untuk berkembang dalam perniagaan. Kebijakan UMNO untuk terus mengusai Sabah adalah dengan melantik golongan elit – elit dalam sesuatu kaum bagi mewakili kaum masing – masing dan terus mendapat mandat dari masyarakat di Sabah. Kewujudan elit – elit kapitalis ini memperlihatkan wujud jurang antara golongan pemimpin dan msyarakat biasa. Sebelum kedatangan UMNO ke Sabah, golongan emit ini dilihat sukar memperolehi kekayaan yang sepatutnya semasa pemerintahan mereka. Namun begitu, apabila UMNO bertapak di Sabah, wujud golongan elit kapitalis yang mana sesiapa yang mempunyai hubungan dengan golongan elit kapitalis ini akan turut merasai tempias kekayaan yang akan diterima oleh mereka.
Pengaruh kepimpinan UMNO-BN yang lebih bersifat dominan ke atas negeri Sabah menunjukkan UMNO cuba mempertahankan pengaruh elit kapitalis dalam pentadbiran di Sabah. Golongan elit kapitalis ke atas pentadbiran UMNO-BN di Sabah amat perlu untuk menonjolkan dominasi mereka ke atas negeri Sabah. Kerana itu, para pemimpin parti UMNO-BN di Sabah adalah tergolong dari kalangan elit yang mewakili pelbagai kaum di Sabah. UMNO-BN terus bertahan di Sabah dalam PRU12 dan PRU13 meskipun terdapat peningkatan jumlah kerusi bagi pihak pembangkang (PR). Manifesto pembangunan yang dibawa oleh UMNO-BN masih relevan kepada masyarakat di Sabah kerana masyarakat amat memerlukan kepada pembangunan dan keyakinan ini mereka salurkan kepada pimpinan UMNO-BN kerana kedudukan dan kuasa dominasi yang diperolehi oleh BN sejak lebih 50 tahun.
Namun begitu, peningkatan jmlah kerusi kepada pihak pembangkang juga menunjukkan trend terbaru yang cuba dimainkan oleh masyarakat di Sabah kepada pihak UMNO-BN supaya berusaha untuk meningkatkan pembangunan di Sabah. 20 perkara yang sering digunakan oleh pihak pembangkang untuk melawan UMNO-BN di Sabah menunjukkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada jumlah undi untuk UMNO. Masyarakat telah membuka mata pada dominasi-federalisme yang ditunjukkan oleh BN semasa pemerintahan Mahathir Mohamad yang bersifat autokratik yang mana segala pembangunan dan pentadbiran pada zaman Mahathir Mohamad mengikut acuan beliau sendiri dan lebih dikenali sebagai ‘Mahathirism’(Chamil Wariya, 1992). Sifat tekanan yang dihadapi semasa zaman pmerintahan Mahathir sejak sekian lama telah melonjakkan satu frasa yang baru dalam pola pengundian yang terjadi pada PRU 12 dan PRU 13 di bahagian semenanjung terhadap BN. Walau bagaimanapun, masyarakat di Sabah masih memilih UMNO-BN untuk meneruskan legasi membangunkan negeri Sabah namun sedikit kesukaran dihadapi oleh UMNO-BN untuk meraih sokongan dan undi masyarakat Cina kepada UMNO-BN.

Parti Islam Sa-Malaysia (PAS) Terengganu
Kepimpinan PAS adalah serpihan dari UMNO itu sendiri apabila ada ahli UMNO yang tidak berpuas hati apabila UMNO bergabung dengan parti bukan Islam untuk membentuk Perikatan memandangkan wadah perjuangan adalah untuk mempertahankan orang Melayu dan agama Islam. Maka, ahli – ahli UMNO yang beraliran agama dan nasionalisme telah keluar dari UMNO dan membentuk Parti Islam Sa-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada tahun 1951 telah membawa wadah perjuangan untuk mempertahankan kesucian agama Islam agar agama Islam dan hukum Islam dilaksanakan dalam undang – undang dan pentadbiran negara. Sepanjang penubuhan PAS menunjukkan jatuh bangun PAS dalam mempertahankan wadah perjuangan parti tersebut. Para pemimpin PAS terdiri dari pemimpin pelbagai latar belakang dan sehingga kini ia diterajui oleh golongan ulama dan profesional. Namun begitu, adakalanya, kepimpinan parti itu sendiri menjadi keliru dan tiada halatuju yang meyakinkan tentang apa yang diperjuangkan PAS dan kemana hendak dibawa perjuangan ini sehingga PAS mengalami kemerosotan semasa pilihanraya umum (PRU ’86) berbanding dengan kebangkitan parti DAP yang meraih sokongan penuh dari orang Cina yang menolok Gerakan.
            Namun pada PRU ’99 merupakan satu kejutan kepada BN apabila PAS berjaya menakluki negeri Terengganu sekali lagi selepas menakluki Terengganu pada tahun 1959. PAS telah berjaya bangkit dari zaman kemerosotan dan mencari peluang untuk mengalahkan musuh tradisi PAS iaitu UMNO. Dengan kemenangan itu, PAS telah berjaya menempah tapak di Terengganu. Masyarakat telah mencari para ulama, tok guru dan ustaz – ustaz untuk menerajui kepimpinan sesebuah negeri dan negara. Kemenangan PAS pada tahun 1959 dan PRU ’99 menunjukkan rakyat Terengganu mahukan suatu perubahan kerana terasa teraniaya dengan pembangunan yang terlalu perlahan di Terengganu sedangkan Terengganu mempunyai aset yang mampu digunakan oleh MB yang mentadbir Terengganu untuk memajukan negeri Terengganu untuk kemaslahatan masyarakat. BN yang sebelum ini ‘tidur’ dan bersenang lenang dengan corak pemerintahan lama seperti terkena kejutan elektrik apabila Terengganu terlepas ke tangan PAS. Tn. Guru Hj. Abdul Hadi Awang telah dipilih sebagai MB Terengganu yang baru pada tahun 1999 apabila beliau menang besar di Parlimen Marang mengalahkan calon BN ketika itu. Maka, bermulalah era kepimpinan ulama di negeri Terengganu seperti apa yang diperjuangkan oleh Tn. Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan dan mampu mempertahankan kerusi beliau sehingga beliau bersara pada PRU 13 (2008) dari menjadi MB Kelantan.
            Sekitar tahun 1959, PAS telah berjaya menawan Terengganu dan menjadi sebuah parti politik arus perdana dalam waqi’ politik zamannya manakala pada tahun 1999, PAS telah berjaya menempatkan diri sebagai sebuah pakatan politik arus perdana, iaitu Barisan Alternatif (BA) yang kini dikenali Pakatan Rakyat (PR) (Shaari Sungib, 2006). Kemenangan PAS selepas 40 tahun kemudian masih mempunyai ciri yang sama walaupun kemenangan pada tahun 1999 adalah disebabkan oleh fenomena yang berbeza kerana PAS menyertai BA. Parti arus perdana adalah sebuah parti yang dilihat rakyat sebagai membawa agenda yang memperjuangkan kepentingan rakyat segenap lapisan. Agenda perubahan ini adalah berorientasikan pembentukan nasional dan tidak dilihat sempit dengan semata-mata bertujuan untuk memajukan kepentingan suatu lapisan atau kelompok yang tertentu (Shaari Sungib, 2006). Parti arus perdana juga bererti ia berjalan seiring dalam memenuhi gelombang kebangkitan rakyat semasa untuk keberlangsungan hidup mereka. Ia menjadi parti arus perdana kerana telah mendapat sokongan padu rakyat yang diberikan kepada parti.
            Justeru, PAS pada tahun 1959 telah menepati ciri-ciri di atas dalam konteks dan realiti politik pada masanya sehingga membawa kepada kemenangan mutlak ke atas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu. PAS telah membawa wadah dan agenda kemerdekaan tulen yang mahu membebaskan negara yang baru diberikan kemerdekaan oleh penjajah British pada tahun 1957 daripada ancaman koncu – koncu penajajah British itu sendiri. Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang menerajui PAS pada masa itu, memberi amaran kepada rakyat bahawa ancaman koncu-koncu penjajah masih kuat bertapak dalam prasarana sosio-ekonomi Malaya. Menurutnya lagi, ia berlaku melalui kuasa kapitalis tempatan di kalangan elit-elit Melayu, Cina dan India yang menjadi proksi British pada masa itu (Shaari Sungib, 2006). Mereka ini telah ditanamkan dengan pemikiran kapitalis oleh penjajah British. Menurut Dr. Burhanuddin lagi, elit kapitalis inilah yang bakal mengukuhkan cengkaman penjajah ke atas rakyat dengan meneruskan dasar penindasan.
Agenda “nation-building” atau pembentukan nasional oleh PAS adalah untuk memastikan Malaya ditadbir sepenuhnya menurut dasar dan sistem tempatan yang bebas daripada sebarang pengaruh dan kawalan British. PAS telah memperjuangkan negara yang bebas daripada segala bentuk penjajahan, sama ada dari Barat mahupun dari Timur. Dari segi tokoh-tokoh barisan kepimpinan PAS pula, PAS menampilkan gandingan mantap antara Dr. Burhanuddin dan Prof Zulkifli Muhammad. Dr. Burhanuddin melalui penglibatannya dalam PKMM, KMM, PRM, Putera-AMCJA dan banyak lagi pertubuhan yang lain dilihat sebagai seorang yang memperjuangkan kemerdekaan seiring dengan Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Ahmad Boestamam, Pak Sako dan lain-lain yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang unggul dan lebih berkaliber.
Ciri-ciri politik arus perdana ini dilihat berulang kembali pada tahun 1999 bagi PAS apabila memenangi kerusi DUN Terengganu. Melalui pakatan BA, PAS dilihat sebagai sebuah parti politik yang amat relevan dan signifikan dengan kehendak rakyat pada masa kini. PAS secara langsung telah terlibat dalam penggubalan agenda BA “Ke Arah Malaysia Baru” dan “Agenda Menawan Putrajaya”. PAS juga telah melonjakkan imej pemimpin - pemimpin utamanya apabila berganding dengan tokoh-tokoh alternatif besar negara seperti Anwar Ibrahim dan Kit Siang.
Pada tahun 1959, fenomena PAS menjadi parti arus perdana adalah bersumberkan daripada kekuatan dalaman PAS itu sendiri. Pada tahun 1959, PAS bergerak secara solo dan kekuatan dalaman parti itu sendiri telah menyumbang kepada kekuatan parti untuk memenangi DUN Kelantan dan Terengganu. Gandingan Dr. Burhanuddin dan Prof Zulkifli serta barisan pemimpin-pemimpin muda yang dinamik dalam PAS dilihat rakyat sebagai fenomena baru yang memangkin dan memungkinkan perubahan besar dalam politik PAS.
Pada tahun 1999 pula, dengan faktor luaran politik membantu PAS untuk menang di Terengganu apabila PAS membentuk pakatan bersama dengan BA. Pada masa ini, kepercayaan orang Melayu di Terengganu telah beralih arah ke arah pembentukan negara Islam seperti yang diuar – uarkan oleh PAS. Pengaruh Anwar Ibrahim yang menjadi satu revolusi kepada BA, telah memungkinkan kemenangan kepada PAS. Reformasi untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan membantu rakyat telah membuatkan rakyat mula mengalih undi kepada PAS selain pengaruh tokoh dan golongan ulama dan profesional yang dilihat lebih mencerminkan mesra rakyat berbanding BN. Hal ini dapat dilihat apabila MB Terengganu yang dipilih pada 1999 iaitu Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang merupakan seorang pemimpin yang beraliran agama dan seorang tokoh ulama yang terkenal. Kepimpinan ulama dalam PAS amat signifikan memandangkan PAS adalah sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan (Badlihisham Mohd Nasir & Napisah Karimah Ismail, 2011).  
Dalam kepimpinan PAS di Terengganu, transformasi dalaman dan luaran politik telah membawa perubahan yang besar kepada negeri Terengganu semasa pemerintahan PAS. Meskipun PAS hanya mampu mentadbir Terengganu selama sepenggal, namun ia telah banyak merubah corak politik PAS yang lebih ke arah sosio-politik yang baharu namun masih mengekalkan bentuk perjuangan yang berteraskan Islam. Pembawaan PAS kepada negeri berkebajikan rakyat dapat dilihat sebagai pengaruh dari pentadbiran golongan ulama yang amat mementingkan keserataan dalam pengagihan hasil negeri yang merupakan milik rakyat negeri Terengganu.

Kesimpulan
            Lanskap politik di Malaysia pada hari ini menunjukkan peralihan dalam kuasa yang semakin mendesak. Perebutan yang hebat di antara parti – parti politik di Malaysia menunjukkan satu fenomena yang baharu dan telah mengurangkan pengaruh dominasi sesebuah parti atau sistem feudalisme yang dipraktis sejak sekian lamanya. Pembangunan sesebuah parti sejak dari zaman kemerdekaan pada tahun 1957 dan PRU yang telah diadakan sehingga PRU 13 telah menunjukkan satu pola pengundian masyarakat ke atas sesebuah parti.
            Ciri elit kapitalis yang dibawa oleh sesebuah parti ke dalam arena politik dilihat memberi pengaruh yang hebat kepada sesebuah parti seperti yang terjadi dalam kancah politik Parti Pesaka Bumiputea (PBB) Sarawak yang memperlihatkan kewujudan elit kapitalis yang mengaut keuntungan dan berlaku penindasan ke atas masyarakat biasa. Sekiranya berlarutan, keterbukaan masyarakat pada hari ini untuk menuntut hak – hak mereka akan membawa kepada peralihan kuasa tampuk pemerintahan andai perkara ini tidak diperbetulkan. Bagi UMNO pula, demi memastikan keberlangsungan pengaruh UMNO di Sabah, UMNO telah menggunakan golongan elit dari kaum di Sabah itu sendri untuk berada dalam barisan kepimpinan bagi meraih sokongan padu masyarakat di Sabah. Keberhasilan acuan UMNO di Sabah memperlihatkan penguasaan UMNO betambah untuk terus kekal memerintah negara kerana Sabah dan Sarawak menawarkan jumlah kerusi parlimen yang tinggi.
            Pemerintahan PAS di Terengganu pula lebih bersifat kebajikan rakyat memandangkan tampuk pemerintahan ini lebih mengutamakan pendekatan Islam dan kemaslahatan rakyat Terengganu dan ia tepat apabila semas zaman pemerintahan PAS di Terengganu, ia dikenali sebagai negeri berkebajikan rakyat. Justeru, transformasi politik PAS di Terengganu lebih bersifat kemaslahatan rakyat dan pengaruh elit kapitais cuba dihapuskan PAS untuk kepentingan rakyat dan kesamarataan dalam pembahagian hasil negeri Terengganu kepada rakyat. Justeru, peredaran zaman menunjukkan pelbagai transformasi dilakukan oleh semua parti untuk meraih kejayaan sehingga terbentuk BA dari pihak pembangkang (kini dikenali PR) untuk menentang BN meskipun mempunyai aliran dan wadah perjuangan yang jauh berbeza.

            Perjuangan PR adalah untuk menghapuskan elit kapitalis dalam politik di Malaysia yang dikuasai BN demi untuk rakyat namun sekiranya diteliti dengan sebaiknya, di dalam PR itu sendiri wujud elit kapitalis yang memonopoli sesuatu keadaan dan menjatuhkan pihak lain demi kepentingan diri sendiri. Oleh itu, demi ekonomi rakyat dan pembelaan ke atas penindasan terhadap rakyat, diharap senario politik di Malaysia lebih mementingkan kemaslahatan rakyat memandangkan keadaan ekonomi yang mendesak hidup rakyat untuk meneruskan keberlangsungan hidup mereka.

No comments:

Post a Comment