Saturday, August 29, 2015

PENGUCAPAN AWAM

Assignment pengucapan awam. diharap membantu anda yang memerlukan rujukan. sharing is caring :)

PENDAHULUAN
            Pengucapan Awam ialah satu bidang yang perlu dikuasai bukan sahaja oleh pimpinan masyarakat, organisasi, agensi-agensi kerajaan dan swasta tetapi juga individu yang sentiasa  berhadapan dengan orang ramai yang memerlukan ia berkomunikasi dengan lebih dari seorang. Seseorang itu perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi sesuatu keadaan dan sentiasa bersikap optimis kerana sikap yang gemuruh boleh memberi kesan yang tidak baik kepada perucap (speaker). Pengucapan awam terdiri daripada empat jenis ucapan iaitu ucapan spontan, ucapan ekstemporanas, ucapan manuskrip dan ucapan hafalan.
            Komunikasi boleh ditakrifkan sebagai "satu proses perpindahan maklumat, perasaan, idea, dan fikiran seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain". Ia merupakan proses interaksi yang bererti antara hidupan dan merangkumi maksud perbuatan menghantar matklumat; dan proses untuk bertukar-tukar maksud supaya dapat menghasilkan pemahaman. Komunikasi terbahagi kepada dua bahagian iaitu secara lisan dan bukan lisan. Komunikasi bukan lisan terdiri daripada bahasa gerak-geri, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata, dan penulisan.
            Pengucapan awam pula boleh didefinisikan sebagai pelahiran bahasa dengan penuh makna melalui komunikasi lisan (suara dan perkataan) dan bukan lisan (anggota tubuh perucap). Pengucapan umum menggunakan komunikasi vebal dan bukan verbal (Abdul Mua’ti Ahmad, 2000). Kemahiran berkomunikasi bukanlah suatu yang diperolehi secara semulajadi tetapi setiap orang perlu berusaha untuk memajukan diri dalam bidang pengucapan awam. Semua orang boleh menjadi perucap yang baik seandainya dia sentiasa bersedia setiap kali perlu berhadapan dengan individu yang lain samada semasa sesi temuduga, memberi ceramah, membuat pembentangan dan sebagainya.
            Bagi pelajar/mahasiswa Melayu, terdapat beberapa isu yang memberi gambaran bahawa mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik apabila berhadapan dengan individu yang lain. 8 / 10 Mahasiswa Melayu yang ditemuduga gagal berkomunikasi dengan baik (Berita Harian, Jumaat 13 Jun 2003). Kerana itu pelbagai usaha dilakukan sebagai contoh Resolusi  Utama Seminar Mahasiswa MPP IPTA Kebangsaan 2003 / 2004 yang berbunyi “ bersetuju memperlengkapkan diri dengan persaingan dalam pekerjaan terutama penguasaan B. Inggeris, berkomunikasi dan bersosial.” (Berita Harian, Jumaat, 13 Jun 2003)

            Pengucapan awam juga merujuk kepada sikap dan personaliti seorang pemimpin dimana seorang pemimpin perlu sentiasa yakin dan percaya dengan diri sendiri. Seseorang yang mempunyai kepimpinan dalam diri perlu yakin dengan apa yang difikirkan, yakin dengan apa yang ingin diucapkan, dan yakin dengan apa yang akan dilakukan. Barulah apa yang dilahirkan dan dizahirkan itu diterima baik oleh pendengar.
            Tujuan ucapan adalah untuk memberi maklumat kepada pendengar mengenai sesuatu perkara dan isu serta juga boleh dilakukan secara syarahan umum. Selain itu, ia juga bertujuan memujuk dan mempengaruhi pendengar mengenai sesuatu isu atau untuk memastikan apa yang disampaikan diterima oleh pendengar. Selain itu, ucapan juga betujuan untuk menghiburkan pendengar ketika menyampaikan sesuatu maklumat dan informasi serta digunakan untuk bertukar – tukar pandangan. Ucapan tidak hanya merujuk kepada pemberian maklumat kepada satu pihak sahaja tetapi boleh juga terjadi dalam bentuk komunikasi dua hala dimana perucap dan pendengar saling bertukar pendapat.
            Oleh itu, pelbagai cara dan tips yang perlu dilakukan bagi seorang perucap untuk memastikan individu itu dapat menghasilkan sebuah pengucapan awam yang berkesan. Pengucapan awam yang berkesan terjadi apabila pendengar menerima maklumat yang sama diberikan oleh perucap dan mengelakkan terjadinya salah faham dalam maklumat yang disampaikan dan semasa maklumat itu diterima oleh pendengar.





2.0 TEKNIK MENGHASILKAN PENGUCAPAN AWAM YANG BERKESAN
            Lima elemen asas dalam pengucapan awam iaitu Who is saying ‘what’ to ‘whom’ using ‘what’ medium with ‘what’ effects”. Lima elemen ini amat penting dalam asas pengucapan awam bagi memastikan perucap tidak lari dari tujuannya serta dapat menyampaikan maklumat kepada pendengar dengan berkesan.
            2.1 Menangani Perasaan Gugup
            Bagi melahirkan sebuah pengucapan yang efektif, seseorang itu perlu menangani rasa gugup dalam dirinya. Rasa gugup merupakan punca seseorang itu tidak dapat membuat penyampaian dengan baik. Perucap perlu mengawal rasa gementar dengan berucap terus dan tidak berhenti kerana rasa gugup. Apabila gugup hadir, perucap tidak perlu meminta maaf kepada pendengar kerana itu membuatkan perucap lebih gugup dan kehilangan idea untuk berucap dan sekaligus menampakkan kelemahan dalam dirinya.
“Perasaan malu datangnya terutama dari kita risaukan tanggapan orang. Contohnya, kita takut “apa pula nanti orang kata kalau saya bersuara”. Di sini anda perlu berfikiran positif dan sentiasa fikirkan orang ramai tidak akan bertanggapan negatif tentang anda. Fikirkan orang ramai ingin mendengar apa yang anda ingin kongsikan.” (Irfan Khairi, 6 Sept. 2006)
            2.2 Mengumpul Idea dan Maklumat
            Sebelum membuat pengucapan, seseorang itu perlulah mengumpul idea dan maklumat bagi memastikan ucapannya lebih sistematik dan teratur. Persediaan awal dengan mencari maklumat tambahan mengenai sesuatu perkara yang akan disampaikan dapat membantu perucap untuk memperuntukkan masa yang diberikan dengan lebih bermanfaat dan tidak termangu – mangu kehabisan idea sekiranya masa yang diperuntukkan adalah lebih lama dari jangkaan perucap. Selain itu, ini juga memberi persediaan yang cukup kepada perucap untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul secara tiba – tiba dan memerlukan penjelasan atau idea dari perucap. Oleh itu, ini amat penting untuk elak perucap dari menjadi lebih gugup serta kebingungan untuk menyuarakan idea. Maklumat yang tidak begitu diketahui oleh pendengar akan meningkatkan kredebiliti perucap dan pendengar akan berasa kagum dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh perucap.
            2.3 Menyusun Bahan - bahan        
            Bahan – bahan yang telah dikumpul perlu disusun dengan teratur dan sistematik bagi mengelakkan kekeliruan semasa penyampaian. Susun atur bahan yang tidak sistematik dan berhubungkait tidak dapat memberi impak dan kesan yang mendalam kepada pendengar. Malahan, ini akan menimbulkan rasa bosan dengan cepat kerana maklumat yang disampaikan tidak dapat diterima baik. Susunan bahan yang baik adalah dengan mengikut sekuen, mengikut kategori, mempunyai masalah dan penyelesaiannya serta mempunyai kontra dan perbandingan. Sebarang masalah yang tidak diberi penjelasan dan penyelesaian akan membuatkan pendengar menjadi keliru dengan isi – isi ucapan yang seterusnya kerana mesej yang disampaikan tidak dapat dihubungkaitkan oleh mereka dengan tepat dan teratur. Oleh itu, akan timbul jurang antara satu isi dengan isi yang seterusnya. Oleh yang demikian, perucap perlu peka dan sentiasa memastikan perhatian pendengar tidak terjejas.
            2.4 Menganalisa Audien (pendengar)
            Untuk memastikan perucap tidak membuat kesilapan, perucap juga perlu menganalisa audiens. Ini amat penting kerana maklumat yang disampaikan perlu bersesuaian dengan penerimaan audiens. Sebagai contoh, seorang perucap yang perlu memberi ceramah motivasi kepada golongan pelajar adalah berbeza dengan memberi ceramah motivasi kepada golongan dewasa. Oleh itu, menganalisa audiens terlebih dahulu adalah amat penting bagi memastikan pendengar menerima mesej yang disampaikan dengan baik.
            Perucap juga perlu menganalisa taraf hidup, pekerjaan, taraf pendidikan dan sosio ekonomi audiens tersebut agar teks ucapan yang disediakan menepati kehendak dan keperluan audiens. Mengenali audien memberi kelebihan kepada perucap kerana perucap tidak akan melakukan sesuatu tindakan yang diluar jangkaan kerana ia dapat menentukan strategi pendekatan dengan kaedah yang sesuai dan dapat menyesuaikan diri dengan status serta tahap audien. Kerana itu, pengetahuan dan analisis mengenai taraf pendidikan, status sosial, kumpulan umur, etnik, agama, pekerjaan serta apa yang penting bagi mereka untuk mengetahui sejauh mana mengenai maklumat yang akan disampaikan amat penting kepada perucap.
           
            2.5 Mesej yang Jelas
            Sebagaimana yang diketahui, mesej adalah maklumat yang disampaikan oleh perucap. Mesej yang disampaikan akan berjaya sekiranya perucap memilih tajuk yang sesuai, perkataan serta bahasa yang tepat iaitu memenuhi keperluan audien (pendengar), dapat memberikan contoh yang sesuai, susunan mesej yang disampaikan adalah jelas dan tepat serta dapat menyampaikan mesej tersebut dengan gaya yang sesuai dimana tidak menyentuh sensiviti audien.
            2.6 Melakukan Latihan Pengucapan
            Seseorang itu tidak dilahirkan semulajadi sebagai seorang perucap yang baik. Semua ini memerlukan latihan yang berterusan bagi memastikan dia bersedia menghadapi kelompok individu tersebut. oleh itu, latihan pengucapan amat perlu untuk mengelak seseorang itu daripada kecuaian dan kegagalan mengekspresikan idea dan pendapat kepada pendengar dengan baik. Setelah itu, apabila penyediaan telah dibuat, barulah perucap mampu membuat ucapan dengan berkesan dan teratur.
            Latihan perlu dilakukan sekurang – kurangnya tiga kali sebelum pengucapan yang sebenar. Latihan yang pertama dan kedua adalah bertujuan untuk memperkemaskan teks dan stail yang ingin digunakan, menambah bahan – bahan yang baru sekiranya dirasakan isi yang ingin diutarakan kelak tidak begitu mencukupi dan untuk membiasakan diri dengan alat persembahan seperti powerpoint. Akhir sekali, latihan yang ketiga adalah latihan yang terakhir (rehearsal) sebelum pengucapan yang sebenar. Latihan yang mencukupi membantu perucap untuk lebih bersedia. 
            2.7 Penampilan Diri
            Penampilan diri memainkan peranan yang penting bagi seseorang perucap untuk menghasilkan pengucapan yang berkesan kerana ini memberi impak kepada personaliti perucap ketika berada di kalangan sekumpulan pendengar. Mehribian (1971), menyatakan bahawa penampilan diri merangkumi gaya atau ‘bahasa bukan lisan’ dan merupakan salah satu elemen penting dalam pengucapan awam. Bentuk penampilan diri temasuklah:
1.      Kelakuan tangan
2.      Kelakuan badan yang semula jadi
3.      Mimik muka atau air muka
4.      Temuan mata
5.      Penggunaan ruang
6.      Suara yang jelas
7.      Kelancaran sebutan
8.      Pakaian
9.      Aksesori atau kosmetik
            2.7.1 Pergerakan tangan, jari dan badan
Pendengar dapat menilai perucap dengan cepat melalui bahasa tubuh yang dipamerkan. Pergerakan tubuh badan terdiri daripada menggaru kepala, melangu, membuat mimik muka, kontek mata, tangan, jari dan bahu, serta gaya berdiri dan berjalan. Sebagai contoh, perucap yang gementar akan mudah menggarukan kepala dan menggeletar apabila memegang teks ucapan. Ini menampakkan sifat kurang keyakinan diri dalam diri perucap. Perucap perlu mengelakkan diri dari berpeluk tubuh, memasukkan tangan kedalam poket dan meramas – ramas tangan kerana boleh menampakkan rasa gemuruh serta ketidakyakinan. Oleh itu, permainan bahasa tubuh badan amat penting untuk dijaga dan dikawal seminima yang mungkin. Pendengar akan menilai kredebiliti seorang perucap melalui ucapannya dan juga pergerakan tubuh badannya.
            2.7.2 Mimik Muka   
            Mimik muka memainkan peranan yang penting kerana pendengar akan memandang tepat kepada wajah perucap dan memerhatikan setiap gerak geri perucap. Sekiranya perucap berasa gemuruh, wajahnya akan menampakkan kerisauan dan nampak berpeluh meskipun berada didalam bilik yang berhawa dingin. Oleh itu, perucap perlu bersikap tenang ketika berhadapan dengan khalayak ramai.
            2.7.3 Temuan Mata
            Mata memancarkan seribu makna kepada audien kerana itu perucap perlu memastikan mata mempamerkan keyakinan diri. Perucap perlu mengelak daripada memandang ke atas siling atau kebawah kerana mata perucap menjadi tumpuan kepada audien dan audien akan lebih terasa dihargai sekiranya perucap tidak mengalih pandangan ke arah lain semasa menyampaikan mesej.    Dalam perhimpunan khalayak yang ramai, hubungan mata perlu fokuskan titik penglihatan bermula pada mata khalayak di hadapan, pada bahagian tengah dan kemudian pada khalayak yang berada di penjuru sebelah kanan, diikuti khalayak penjuru kanan di belakang, khalayak penjuru kiri belakang, khalayak penjuru kiri depan dan khalayak di bahagian tengah. Cara ini membolehkan 'kuasa pandangan mata 'mengikat' khalayak untuk mendengar dan melihat pengucap dengan penuh minat.
            2.7.4 Penggunaan Ruang
            Penggunaan ruang amat penting sekiranya melibatkan ruang yang luas dan kehadiran audien yang ramai. Perucap perlu bijak menggunakan ruang dengan sebaik mungkin supaya kehadiran audien tidak hanya tertumpu pada suatu kawasan  sahaja. Sebagai contoh, perucap yang menyampaikan motivasi kepada audien akan menggunakan keseluruhan ruang yang melibatkan semua audien.
            2.7.5 Suara yang Jelas dan Kelancaran Sebutan
            Perucap perlu memastikan suara yang digunakan adalah jelas dan teratur. Sebutan yang tersekat – sekat menampakkan kecacatan dan membuatkan audien cepat berasa bosan. Nada suara juga perlu dipelbagaikan dan menepati untuk tiap –tiap isi yang disampaikan. Perucap tidak perlu menjerit dan bersuara halus sebaliknya hanya perlu melantangkan suara dan pandai bermain dengan intonasi suara supaya audien tidak rasa mengantuk dengan nada suara yang mendatar sahaja.
            2.7.6 Pakaian, Aksesori dan Kosmetik
            Pakaian yang dipakai perlulah bersesuaian dan tidak menjolok mata. Apabila berhadapan dengan audien, pakaian formal adalah lebih sesuai kerana menampilkan kredebiliti perucap dan akan timbul rasa hormat serta kagum audien kepada perucap. Contohnya, perucap yang memakai kot beserta tali leher lebih nampak berkeyakinan berbanding perucap yang memakai seluar dan kemeja sahaja. Bagi perucap wanita, perlulah dielakkan pemakaian aksesori yang terlalu banyak ditubuh dan make-up yang tebal. Pemakaian yang terlalu sarat mengganggu konsentrasi audien kepada isi ucapan.

            2.8 Pembuka Bicara yang Menarik          
            Seterusnya, apabila persediaan rapi telah dilakukan, seorang perucap perlu pandai memainkan peranan untuk menarik minat pendengar mengikuti ucapannya sehingga ke penutup. Oleh itu, pembuka bicara perlu menepati kehendak pendengar. Pembuka bicara merupakan permulaan yang akan menunjukkan samada persembahan seseorang itu akan menjadi menarik ataupun tidak. Sebagai contoh, Datuk Dr Fadzilah Kamsah sentiasa memulakan program bual bicaranya (Selami Jiwa) dengan pembuka bicara yang sangat menarik. Ini menunjukkan bahasa beliau telah bersedia lebih awal untuk berhadapan dengan khayalak ramai serta pandai menarik minat pendengar untuk mendengar apa yang ingin disampaikan olehnya sehingga ke akhir rancangannya.
            Pembuka bicara yang sangat menarik dapat menarik minat pendengar untuk mendengar topik yang disampaikan meskipun ianya berbentuk fakta. Dalam pembuka bicara perlulah ada elemen – elemen seperti memperkenalkan diri kepada pendengar supaya mereka mengenali pengucap dengan lebih dekat. Serba sedikit maklumat mengenai diri juga perlu dinyatakan kepada pendengar. Seterusnya, perucap perlu menyatakan tajuk yang ingin disampaikan supaya pendengar dapat mengikuti dan memahami mesej yang disampaikan sehingga penutup. Kemudian, barulah dimasukkan salutasi, isi ucapan, rumusan dan akhir sekali penutup. Rumusan amat diperlukan bagi melengkapkan hujah- hujah yang masih lemah serta meninggalkan tanggapan yang positif terhadap perkara – perkara utama agar audien dapat bertindak balas terhadap hujah –hujah utama ucapan tersebut. Bagi penutup bicara, perucap boleh tutupkan dengan kesimpulan yang ringkas dan kemudian menamatkan dan menangguhkan ucapan dengan salam dan ucapan terima kasih.
             2.9 Menselitkan Unsur Jenaka
            Pengucapan yang berkesan akan menjadi lebih menarik sekiranya perucap pandai menyelitkan unsur jenaka sebagai pemanis dalam mesej yang disampaikan. Jenaka yang dibuat perlulah berkaitan dengan tajuk supaya tidak lari dari tujuan dan objektif mesej. Perucap perlu mengelakkan diri dari membuat jenaka yang menyentuh kehidupan peribadi seseorang, sensitiviti agama, kaum dan budaya tertentu. Jenaka yang dibuat perlu menampakkan kematangan dalam diri perucap dan sesuai dengan penerimaan audien.
            2.10 Penerimaan Maklumbalas dari Audien
            Pengucapan awam yang berkesan dapat dinilai sekiranya mendapat respon dan maklum balas dari audien. Perucap yang bijak pandai bertindakbalas pada maklumbalas dari pendengar serta memberi penerangan yang jelas dan tepat. Sekiranya ingin mendapat respon dari audien, perucap boleh meminta maklumbalas dari audien ataupun mengulang penerangan supaya mendapat maklumbalas supaya terjadi komunikasi dua hala antara perucap dan pendengar.
            2.11 Penggunaan Alat Bantu Tampak (ABT) dalam Persembahan
            Alat bantu tampak (ABT) adalah apa sahaja alat yang boleh dilihat oleh audien untuk membantu perucap menyampaikan mesej kepada audien. ABT membantu perucap untuk menyampaikan mesej dengan lebih jelas. Namun, perlu diingatkan oleh perucap bahawa bahan atau alat yang digunakan itu perlulah bersesuaian dengan tajuk dan juga audien. Jenis – jenis ABT terdiri daripada gambar- gambar (foto/lukisan), papan hitam/papan putih, filem, audio (perakam pita dan rekod), maklumat edaran bertulis, pita video, graf, carta/gambar rajah, model dan sebagainya. Perucap perlu memastikan ABT yang digunakan benar- benar membantu perucap sebagai bahan tambahan dan membantu menyokong hujah- hujah utama dalam ucapan. Penggunaan ABT boleh menjimatkan masa, menjelaskan perkara – perkara yang kompleks dan membantu mengekalkan minat audien.
            2.12 Bahasa
            Bahasa adalah alat perutusan atau penyampaian mesej sama ada yang berbentuk konsep, idea, teori atau digunakan untuk memberi dan mendapatkan maklumat dan sebagainya bagi mempengaruhi fikiran serta tindakan audien sasaran. Bahasa yang digunakan oleh perucap perlulah jelas, dinyatakan dengan mudah, terang dan tidak mengelirukan. Bahasa yang jelas dapat memperjelaskan maklumat dengan lebih tepat. Setiap hujah perlulah dihuraikan maksudnya bagi mengelak kekeliruandan ketidakfahaman khususnya konsep – konsep yang diterapkan dalam teks ucapan.


PENUTUP
            Pengucapan awam merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh semua orang dan menjadi laluan untuk mencapai kejayaan. Perucap yang cemerlang merupakan perucap yang sentiasa berusaha untuk menyampaikan ucapannya dengan baik dan berkesan tanpa mengira audien dan suasana. Ini memberi gambaran bahawa perucap yang bijak dapat menggunakan segala keperluan dengan baik dan menghasilkan pengucapan awan yang terbaik. Oleh yang demikian, persediaan yang rapi amat diperlukan bagi memastikan penyampaian menepati objektif dan memberi kepuasan kepada audien.
            Selain itu, ia bukan saja membantu meningkatkan jati diri serta sifat kepimpinan seorang perucap malahan dapat meningkatkan keyakinan diri perucap untuk berhadapan dengan khalayak ramai. Justeru itu, pengucapan awam yang berkesan dapat diperolehi sekiranya mesej yang disampaikan diterima baik oleh audien, dan audien menerima mesej yang tepat dan betul (berlaku perkongsian maklumat).    
           










REFERENCES
1.      Suprawoto (2009) Pembelajaran berbicara. Retrieved from http://www.slideshare.net/NASuprawoto/pembelajaran-berbicara
2.      Irfan Khairi (2011) Kurangkan perasaan malu. Retrieved from http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/kurangkan-perasaan-malu/
3.      Makalah mencontek isi. Retrieved from http://www.scribd.com/doc/23699777/makalah-mencontek-isi
4.      Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2000). Kemahiran Interpersonal Untuk Guru Bestari. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.
5.      Abdul Mu’ati@Zamri Ahmad, 2000. Panduan Pengucapan Awam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

6.      Arshad Md. Ghaus, 2003. Teknik Pengucapan Berkesan. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment