PENDAHULUAN
Sistem pendidikan telah mengalami
perubahan ekoran daripada perubahan taraf sosial masyarakat daripada era
agrarian hinggalah ke era industri dan kini memasuki era teknologi maklumat. Penggunaan
teknologi komputer dalam pendidikan telah lama diperkenalkan di negara-negara
maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal tahun 60-an lagi. Bagi mencapai
wawasan dan inspirasi negara, Malaysia tidak ketinggalan dalam mengecapi arus
perdana pembangunan berasaskan teknologi computer. Pembelajaran berbantukan
computer juga mula berkembang dengan wujudnya sekolah bestari dan terkini
Kementerian Pelajaran telah melaksanakan projek Pembestarian Sekolah.
Dari perspektif harian, komputer
bukan sahaja mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah
berpotensi sebagai alat untuk menjayakan lagi aspek persekitaran pengajaran dan
pembelajaran bagi hampir semua mata pelajaran. Pengajaran bahasa dengan
menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian
dengan keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa
mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa
pelajar.
Dalam strategi pengajaran dan
pembelajaran, media teknologi digunakan sebagai satu wahana untuk
mengoptimumkan hasil pembelajaran. Antara contoh media teknologi yang digunakan
ialah televisyen, radio, video, perisian komputer, perisian kursus, dan
internet. Memandangkan adalah penting penggunaan komputer dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, kemahiran komputer oleh
guru-guru juga menjadi aspek penting kerana tanpa kemahiran mengendali dan
memanipulasi sesuatu alat, betapa penting dan berguna pun peralatan tersebut
tidak akan memberi kesan atau faedah. Komputer juga membantu pengajar mencapai
objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan
sistematik.
MASALAH PENGAJARAN
DALAM BILIK DARJAH
Terdapat pelbagai masalah yang
timbul sebelum, semasa dan selepas pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Masalah tidak hanya melibatkan murid sahaja tetapi aspek kebersihan,
ketelitian, kelas yang kondusif, masalah disiplin dan sebagainya. Kesemua
masalah ini mendorong kepada terjadinya ganguan semasa pengajaran didalam kelas
sedang dijalankan. Masalah disiplin contohnya selalu berlaku samada di dalam
sekolah atau dalam bilik darjah. Semua ini kerana pelajar-pelajar terdiri
daripada pelbagai latar belakang, mempunyai sahsiah, intelek, jasmani, rohani
dan sosioekonomi yang berbeza. Seperti yang kita sedia maklum, apabila tingkah
laku bermasalah atau disiplin berlaku dalam bilik darjah, proses pengajaran dan
pembelajaran akan terjejas. Contoh masalah disiplin yang kerap berlaku semasa
pengajaran dan pembelajaran ialah melawan dan tidak menghormati guru, membaca
bahan-bahan lain, mengeluarkan kata-kata kesat, makan, membuat bising atau
bergerak bebas di dalam bilik darjah, mengganggu pengajaran dan
pembelajaran,tidak membuat kerja seperti yang diarahkan, ponteng kelas dan
lewat masuk ke kelas.
Selain itu, faktor masalah dalam
bilik darjah ini juga berlaku daripada guru itu sendiri di mana pendekatan dan
kaedah pengajaran yang digunakan tidak menarik atau tidak sesuai. Sesetengah
guru gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan kaedah pengajaran yang dapat
menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang disampaikan oleh guru.
Hasilnya, murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan menimbulkan
masalah disiplin. Sebaliknya, jika seseorang guru itu bijak,kreatif dan
inovatif ,maka dia akan dapat menggunakan kaedah pengajaran pembelajaran yang
berkesan dan melibatkan pelajar secara aktif dan terkawal. Kaedah berkesan yang
digunakan akan dapat mengurangkan masalah yang tidak dikehendaki. Kepelbagaian
kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi pelajar
aktif, seronok dan mudah menerima apa yang diajar oleh guru.
Selain itu, hubungan guru dengan
pelajar kurang baik dan kurang mesra juga merupakan salah satu faktornya.
Menurut Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Yusmini Md. Yusoff 2006,
menyatakan bahawa tugas guru bukan bersifat statik dan hanya tertumpu kepada
objektif akademik sahaja. Tetapi guru berperanan dan mempunyai pengaruh yang
besar kepada pembetukan kehidupan sosial pelajar. Sehubungan itu, pembinaan
hubungan berkesan antara guru dan murid adalah pendekatan terbaik bagi mencapai
hasrat ini. Antara kelebihan apabila wujud hubungan baik antara guru dan
pelajar ialah akan melahirkan persahaman yang baik antara mereka serta wujud
rasa percaya mempercayai dan ini dapat memberi kesan positif kepada proses pengajaran
dan pembelajaran. Oleh sebab itu,sudah pasti masalah disiplin akan dapat
dikawal dan dikurangkan.
Seterusnya ialah suasana bilik
darjah yang kurang selesa. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus seperti
kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi,
panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan
ketidakselesaan kepada pelajar ,menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab
itu,mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini
memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
bilangan murid yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada
masalah ini. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila
bilangan murid terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap
kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan
menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah
pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang tertinggal atau atau tidak
berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang
mengganggu pengajaran dan pembelajaran.
Masalah dalam aspek komunikasi juga
mendorong kepada ganguan sewaktu pengajaran di dalam bilik darjah. Komunikasi
yang berkesan antara guru dan murid juga amat penting dalam mewujudkan suasana
pembelajaran yang selesa dan kondusif. Setiap orang guru perlu mahir dalam
berkomunikasi, khususnya didalam bilik darjah. Sekiranya guru tidak faham serta
mahir dalam berkomunikasi dengan murid-murid semasa mengajar sudah pasti sukar
bagi seseorang guru itu untuk menjadikan pengajarannya berkesan dan bermutu.
Dengan komunikasi yang berkesan guru akan dapat menyampaikan isi pelajaran,
ilmu pengetahuan, idea, maklumat, tunjuk ajar serta nasihat kepada murid-murid
dengan baik dan tepat tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan, kekaburan dan
salah faham. Kegagalan guru berkomunikasi dengan berkesan bukan sahaja akan
menyebabkan murid-murid menjadi kecewa, malah lebih buruk lagi ialah objektif
yang dirancang bagi sesuatu sesi pengajaran itu tidak akan tercapai, serta sesi
pengajaran pembelajaran menjadi hambar dan membosankan.
BAGAIMANA TEKNOLOGI
KOMPUTER MEMBANTU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran yang disertakan dengan
alat bantu mengajar terkini akan dapat menambah minat pelajar mempelajari
sesuatu bidang pelajaran. Di samping itu, jika komputer dapat digunakan secara
sistematik dan berkesan oleh guru, ia mampu menyelesaikan sebarang masalah
pengajaran dan pembelajaran. Menurut Yacop (1985), kaedah pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer ini boleh digunakan untuk mengatasi masalah
pelajar yang mempunyai kebolehan dan potensi yang berbeza.
Pelajar-pelajar yang cerdas boleh
belajar dan menyelesaikan masalah dan latihan dengan secepat mungkin mengikut
tahap pemahaman mereka. Pelajar yang lemah pula dapat mempelajari topik yang
sukar berulang-ulang kali sehingga mereka faham. Ini dapat memotivasikan
pelajar yang lemah untuk meningkatkan prestasi mereka. Walau bagaimanapun,
Rashidi (1986) menyatakan sebenarnya komputer tidak boleh menggantikan guru
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Peranan guru sebgai pembimbing dan
fasilitator yang bertanggungjawab untuk menghidupkan dan menggerakkan
perbincangan dan penerokaan ilmu di kalangan pelajar.pelajar dikehendaki
mentafsir sendiri melalui garis panduan yang diberikan oleh guru.
Dalam konteks bilik darjah, waktu
untuk guru berinteraksi dengan murid-murid begitu terhad. Oleh itu segala
maklum balas yang berlaku di antara kedua belah pihak bukan sahaja terjadi
secara spontan dan perlu segera, malah ianya seolah-olah tidak langsung memberi
kesempatan untuk merancang dan berfikir. Oleh kerana itu, apabila berhadapan
dengan murid-murid, guru bukan sahaja perlu kreatif dan inovatif, tetapi mesti
sabar, bijaksana, cekap dan optimis dalam menghadapi sesuatu situasi serta
cabaran. Oleh itu, penggunaan computer sewaktu pengajaran amat membantu seorang
guru untuk memaksimumkan waktu mengajar yang terhad untuk memberi input yang
lebih kepada pelajar.
Menurut Tun Dr Mahathir, Negara
Malaysia sedang menuju ke arah Wawasan 2020 dan Negara yang maju. Oleh itu,
penggunaan teknologi perlu seiring dengan hasrat kerajaan untuk memastikan Negara
dapat mencapai matlamat seperti yang disasarkan. Oleh itu, saranan kerajaan
supaya satu komputer untuk setiap rumah perlu disahut oleh semua rakyat
Malaysia bagi memastikan anak – anak bangsa Malaysia tidak ketinggalan dalam
bidang Informasi Teknologi (IT). Sebagai contoh, negeri Terengganu telah
memulakan program pemberian E-Book kepada semua pelajar sekolah rendah di
seluruh negeri Terengganu apabila mereka berada di tahap 2 (E- Book diberikan
kepada pelajar tahun 4 setiap tahun). Ini menunjukkan kerajaan negeri
Terengganu menyahut saranan kerajaan Malaysia untuk memastikan pelajar di negeri
Terengganu celik IT dan mampu menguasai bahasa komputer dengan baik.
Guru juga mampu menghasilkan Alat
Bantu Mengajar yang hebat dengan menggunakan perisian yang terdapat di dalam
komputer. Jika sebelum ini guru perlu melukis gambar atau mencari didalam
majalah,surat khabar atau bahan – bahan bacaan yang lain dan menampal di papan
hitam, namun kini guru hanya perlu memaparkan gambar atau apa pun bahan dengan
menggunakan powerpoint dan gambar – gambar boleh dicari menggunakan internet
sahaja. Ini menunjukkan kemajuan dalam bidang IT yang mampu mengurangkan
bebanan kepada guru. Selain itu, computer juga mengurangkan bebanan murid untuk
membawa buku teks yang tebal ke sekolah. Ini kerana di masa kini terdapat
masalah murid-murid meninggalkan buku teks di rumah kerana tidak mampu
membawanya ke sekolah. Terdapat juga segelintir murid yang sengaja meninggalkan
buku mereka di dalam kelas kerana tidak perlu membawanya untuk jadual
keesokannya.
Hal ini menimbulkan masalah
pembelajaran kepada pelajar kerana tidak mempunyai rujukan yang cukup ketika
membuat latihan. Oleh sebab itu, dengan penggunaan computer, para pelajar hanya
perlu membawa netbook ke sekolah kerana segala maklumat boleh di simpan hanya
dengan sekadar menekan perkataan simpan. Selain itu, para guru juga boleh
memantau para pelajar hanya dengan menggunakan internet. Para pelajar boleh
menanya secara langsung kepada guru tentang apa sahaja permasalahan mereka di
dalam pembelajaran. Contohnya penggunaan E-Learning dimana kaedah ini sangat
terkenal di kalangan pelajar-pelajar university dan seterusnya kaedah ini juga
boleh di gunakan di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Dengan penggunaan
laman web ini para guru boleh meletakkan segala maklumat pembelajaran dan ini
memudahkan para pelajar kerana mereka hanya perlu memuat turun dari laman web
tersebut. Penggunaan multimedia dapat menjadikan proses pencarian maklumat
sesuatu yang menyeronokkan dan menghiburkan. Interaktiviti dalam sistem
multimedia membolehkan sesuatu proses latihan atau pengajaran dijalankan
mengikut kesesuaian, keperluan dan cita rasa pelajar. Penggunaan elemen-elemen
multimedia dalam proses P&P di dapati mampu menarik minat pelajar supaya mereka
tidak berasa bosan dan dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap
proses pengajaran dan pembelajaran
PENUTUP
Bidang IT semakin meluas dan menjadi
tonggak kepada kemajuan sesebuah negara. Dengan adanya kemajuan dalam
telekomunikasi, komputer yang dihubungkan dengan jaringan internet telah
membolehkan banyak maklumat diperolehi dengan cepat. Inovasi dalam teknologi
maklumat ini dapat menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan
masyarakat. Menyedari hakikat ini, kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif
untuk terus memperkembangkan teknologi komunikasi dan maklumat ini dengan
menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Sejajar dengan teknologi ICT juga,
kerajaan telah menubuhkan sekolah bestari yang telah memperlihatkan kesungguhan
Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mentransformasikan pendidikan agar bangsa
Malaysia abad ke-21 ini bukan sahaja menguasai teknologi maklumat malah
berupaya merealisasikan Wawasan 2020. Transformasi ini telah mengubah anjakan
paradikma pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam
pendidkan negara khususnya dalam meningkatkan minat pelajar, meningkatkan
kreativiti dan pengetahuan pelajar melalui penggunaan teknologi multimedia dan
jaringan seluruh dunia.
Walaupun terdapat masalah yang timbul
ianya bukan satu isu yang tidak boleh diatasi malah kerajaan telah membuat
pelbagai perancangan dan perlaksanaan seperti dalam Rancangan Malaysia
Kesembilan 2006 – 2010 dalam memartabatkan ICT di Malaysia. Antara program yang
dilaksanakan adalah program latihan dan pendidikan ICT diperluaskan lagi di
peringkat sekolah, prauniversiti dan IPT adalah pembangunan kemahiran teras
dalam pelbagai bidang seperti pembangunan perisian dalam sains hayat dan
aplikasi pengetahuan juga kelonggaran prakelulusan kurikulum kepada IPT supaya
selaras dengan kehendak dan keperluan industri. Sistem pendidikan yang
berkembang pesat selaras dengan kehendak dan aspirasi negara ini perlulah
mengaplikasikan ICT khususnya dalam penggunaan teknologi internet supaya system
pendidikan tidak ketinggalan jauh berbanding dengan negara maju.
RUJUKAN
1. Yahya
(2008) Aplikasi computer dalam pengajaran bahasa : penguasaan guru dan
kekakngan dalam perlaksanaan. Retrieved from http://eprints.utm.my/5968/1/08-yahya.pdf
2. Faktor
yang menyumbang kepada masalah. Retrieved from http://linusppdpendang.blogspot.com/2011/10/faktor-yang-menyumbang-kepada-masalah.html
3. Pendidikan
sebagai suatu proses pengajaran. Retrieved from http://sarjana.tripod.com/komunikasi3.html
4. Peranan
ICT dalam pendidikan. Retrieved from http://www.scrib.com/doc/62752/PERANAN-ICT-DALAM-PENDIDIKAN
No comments:
Post a Comment