1.0 Pengenalan
Kepesatan dalam bidang teknologi
maklumat memberi kesan yang hebat kepada sistem pendidikan negara serta
mewujudkan persaingan dalam bidang pendidikan untuk menaiktarafkan sistem
pendidikan ke arah satu tahap yang lebih maju dan berdaya saing. Sistem
pendidikan tradisional perlu diubah dan corak serta gaya pengajaran dan
pembelajaran juga perlu dipertingkatkan lagi agar dapat melahirkan generasi
muda yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif. Apa yang mampu,
kementerian pendidikan telah melakukan satu transformasi pendidikan seperti
yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPIM) 2013-2025
untuk menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kritikal dan kreatif
seperti yang ditekankan dalam konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
ataupun dalam versi English dipanggil High
Order Thinking Skill (HOTS).
Elemen KBAT ini dijadikan sebagai
suatu isu yang serius di peringkat sekolah kerana didapati pelajar di Malaysia
yang menduduki ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS)
dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) tidak mencapai standard
pemikiran kelas pertama dan tidak mampu mencapai aras yang memuaskan. Ini
menunjukkan pelajar kita tidak begitu didedahkan dengan penggunaan KBAT di
dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan lebih banyak menggunakan
Kemahiran Berfikir Aras Rendah (LOTS) yang lebih menumpu kepada proses
menghafal dan mengingati. Apabila guru-guru yang dikaji selidik ditanya tentang
berapa kerap mereka menilai pelajar menerusi aplikasi, penaakulan, dan
pemikiran aras tinggi, kedua-dua guru sekolah rendah ( McMillan, Myron, &
Pekerja, 2002) dan menengah ( McMillan, 2001) mendakwa mereka menilai tahap
kognitif pada aras yang amat sedikit. Ini menunjukkan pelajar tidak digalakkan
dengan KBAT dalam P&P oleh guru. Oleh yang demikian, kementerian pendidikan
telah mengeluarkan blueprint PPIM 2013-2025 yang mana diberi penekanan kepada
konsep KBAT dalam (P&P). Untuk melahirkan pelajar yang mampu berdaya saing,
KBAT perlu diberi penekanan dalam P&P sejak dari sekolah rendah lagi dan
guru perlu memastikan konsep KBAT digunakan semasa berlangsung P&P.
KBAT menurut PPIM 2013-2025 didefinasikan
sebagai kemahiran berfikir menganalisis, mengaplikasi, menilai dan mencipta.
KBAT juga bermaksud keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan
nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat
keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu (KPM, 2013). Berbanding
dengan teknik pengajaran sebelum ini yang lebih menjurus kepada peperiksaan dan
hafalan, konsep KBAT dilihat mampu mencorak P&P yang berbeza dan melahirkan
pelajar yang memiliki pemikiran kelas pertama. Semua ini boleh dicapai dengan
ransangan yang berterusan untuk menggalakkan pelajar berfikir untuk memprolehi
sesuatu berbanding hanya menerima ilmu yang dipelajari tanpa berfikir dengan
lebih meluas. KBAT menggalakkan pelajar untuk meneroka dengan lebih jauh bagi
mendapatkan maklumat mengenai sesuatu isi pelajaran.
Berfikir dan kemahiran berfikir (KB)
adalah dua perkara yang berbeza. Menurut
Maimunah, (2004), berfikir adalah suatu aktiviti yang abstrak dan selalunya
berlaku pada peringkat separuh sedar. Berfikir dilihat sebagai suatu kebolehan
semula jadi sama seperti kebolehan berlari dan bernafas, manakala KB bukan
kemahiran semula jadi. KB merupakan suatu disiplin ilmu yang boleh dipelajari
dan dapat diamalkan sehingga membentuk kebiasaan atau pengalaman (Yee Mei
Heong, Jailani Bin Md Yunos,Widad Bt. Othman,Razali Bin Hassan dan Tee Tze
Kiong, 2010). Kajian juga menunjukkan
bahawa pelajar yang mengunakan pemikiran aras tinggi dalam melaksanakan tugasan
dan penilaian yang memerlukan kerja intelektual dan pemikiran kritikal
meningkatkan motivasi pelajar serta pencapaian mereka. Pelajar tidak menjadi apabila
terlibat dengan pembelajaran secara abstrak dan mereka juga tidak bermotivasi
secara abstrak. Sebaliknya, mereka mampu menjadi terbaik apabila terlibat dalam
memikirkan perkara-perkara tertentu dan bermotivasi untuk mempelajari sesuatu perkara.
Pemikiran yang tinggi meningkatkan kawalan pelajar ke atas idea-idea yang
dikeluarkan dan pemikiran adalah lebih seronok daripada menghafal sesuatu
perkara (Susan M. Brookhart, 2010).
2.0 Cara
KBAT Dikembangkan secara Berkesan dalam P&P Pendidikan Kesihatan
Pendidikan Kesihatan (PK) merupakan subjek elektif
yang dipelajari di sekolah rendah. Dalam dasar KSSR, subjek Pendidikan
Kesihatan (PK) telah dipecahkan dari Pendidikan Jasmani (PJ) di mana dalam
dasar KBSR ianya dikenali sebagai Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK)
sebelum ini. Namun pada tahun 2011, sejak KSSR diperkenalkan, Pendidikan
Kesihatan (PK) adalah subjek yang dipelajari secara berasingan dengan
Pendidikan Jasmani (PJ) dan dilihat lebih memberi pemahaman yang jelas mengenai
isi pelajaran di dalam silibus Pendidikan Kesihatan (PK). Ibu bapa amat
berharap agar anak – anak mereka mampu memperolehi keputusan yang cemerlang
dalam pendidikan. Maka itu, KBAT harus diterapkan dalam kurikulum dan kandungan
pelajaran supaya pelajar berpeluang mempraktikkan KBAT (Ewing, 2006).
KBAT boleh dikembangkan dalam
P&P dengan pelbagai cara yang membantu merangsang pelajar menggunakan akal
fikiran untuk berfikir secara kritikal dan kreatif. Sebagai seorang guru,
mengaplikasikan KBAT dalam P&P amat penting untuk merangsang minda pelajar
serta memberi motivasi kepada mereka untuk berfikir berbanding menghafal
sesuatu perkara. Menurut Collins (2014) adalah sukar untuk membayangkan seorang
guru sekolah yang tidak sedar tentang kepentingan pengajaran kemahiran berfikir
aras tinggi untuk menyediakan generasi muda untuk hidup dalam abad ke-21. Oleh
itu, untuk menyediakan pelajar ke arah pendidikan Alaf 21, amat penting
menerapkan KBAT dalam P&P agar pelajar di Malaysia setaraf dengan pelajar
di negara- negara maju seperti Jepun, Amerika dan sebagainya. KBAT diterapkan
di dalam semua matapelajaran di sekolah rendah ternasuklah matapelajaran
Pendidikan Kesihatan. Untuk menentukan seseorang pelajar itu terlibat dalam
proses KBAT atau tidak sedikit sukar kerana guru tidak dapat menganalisa daya
pemikiran pelajar tersebut. Maka, guru hanya berlandaskan kepada pengalaman dan
pengetahuan sedia ada bagaimana cara pelajar berfikir. Dalam P&P Pendidikan
Kesihatan, KBAT boleh dikembangkan dengan menggunakan teknik menyoal, aktiviti
penyelesaian masalah, meningkatkan soalan aras tinggi, aktiviti pemikiran aras
tinggi dalam buku teks, menggunakan alat berfikir dan pembelajaran yang
berasaskan projek.
2.1 Teknik lisan/penyoalan
Kaedah
yang paling kerap dan popular digunakan oleh guru-guru untuk merangsang pelajar
berfikir semasa proses pengajaran dan pembelajaran adalah teknik penyoalan.
Guru-guru boleh membentuk dan mengemukakan soalan-soalan mengikut aras seperti
yang dikelaskan dalam Taksonomi Bloom. Teknik menyoal boleh digunakan dengan
mengamalkan pertanyaan demi pertanyaan yang berkaitan dengan isi pelajaran
antara guru dan kumpulan pelajar. Pembinaan pertanyaan haruslah yang menjurus
kepada berfikir aras tinggi. Kaedah
latih tubi dan penekanan kepada peperiksaan akan menghasilkan murid yang
menjadi penghafal fakta dan maklumat, namun tandus dari segi pemikiran kreatif
dan kemahiran penyelesaian masalah (Rohaida M.S, Faridah D. & Abd. Razak
Z., 2013). Maka, Guru harus mengenal
pasti soalan apa yang harus diutarakan yang mampu membina cara pelajar berfikir
yang bukan hanya memenuhi minima standard pemahaman pelajar. Selain itu, teknik
lisan/penyoalan juga boleh dilakukan dalam kumpulan kecil pelajar yang terdiri
dari beberapa orang. Guru boleh mengutarakan satu persoalan dan meminta pelajar
untuk berbincang dalam kumpulan. Pelajar dapat mengeluarkan idea masing –masing
dan di akhir perbincangan, mereka boleh mempersembahkan hasil kerja kepada
rakan – rakan sekelas yang lain. Kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam
kumpulan membolehkan murid belajar bersama-sama, saling belajar dan membantu antara
satu sama lain untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Ahli kumpulan bekerja, berkongsi
idea, bahan dan peralatan untuk mencapai matlamat sendiri dan kumpulan. Dalam
subjek Pendidikan Kesihatan, kerja secara kumpulan amat perlu untuk
menggalakkan pelajar berkongsi idea mengenai sesuatu topik. Sebagai contoh,
topik ‘Kebersihan Diri’ yang boleh membawa kepada pelbagai perkongsian idea dan
pengalaman mengenai cara menjaga kebersihan diri dan kepentingannya kepada
kesihatan diri.
2.2 Aktiviti Penyelesaian Masalah
Penyelesaian
masalah ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan masalah berbentuk
perkataan, masalah bukan mekanis, teka-teki, kuiz atau penggunaaan kemahiran matematik
dalam situasi sebenar. Menurut Ramsay (2006), pembelajaran berasaskan masalah
(PBM) adalah satu kaedah yang berkesan bagi memupuk kemahiran berfikir aras
tinggi. Murid perlu menggunakan kemahiran, prinsip dan teori yang telah mereka
pelajari untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Kaedah ini menggalakkan
murid berfikir secara kritis dan kreatif. Bagi matapelajaran Pendidikan
Kesihatan, aktiviti penyelesaikan masalah boleh dijalankan dengan mengadakan
teka – teki yang menghubungkan isi pelajaran yang perlu diselesaikan oleh
pelajar. Guru boleh memberi satu penyataan masalah kepada pelajar untuk mereka
memikirkan jalan penyelesaian terhadap masalah yang diajukan. Menurut Siti
Norbaizura (2006), selain itu, menerusi PBM juga dilihat dapat memberi peluang
kepada para pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi seperti
kemahiran menyelesaikan masalah di kalangan pelajar bagi situasi tertentu yang mungkin
rumit. Sebagai contoh, dalam tajuk pemakanan, guru boleh mengutarakan
permasalahan seperti penyakit yang terjadi disebabkan oleh pengambilan lemak
dan gula berlebihan adalah diabetes. Guru boleh menyatakan permasalahan kepada
pelajar dan membenarkan mereka mengambil masa seketika untuk bertindak balas
dengan soalan yang diajukan. Menurut Hafisah (2008), kemahiran menyelesaikan
masalah melibatkan kebolehan berfikir secara kritis, kreatif, inovatif,
analitis serta kebolehan mengaplikasikan pemahaman dan pengetahuan kepada
masalah baru yang berlainan.
2.3 Meningkatkan Soalan Aras Tinggi
Soalan
kemahiran berfikir aras rendah lebih kepada pemahaman sahaja dan tidak
bertindak ke arah untuk meningkatkan tahap pelajar untuk menganalisis sesuatu
topik. Biasanya penghasilan soalan aras tinggi dalam subjek PK adalah seperti
soalan “ Bagaimana untuk pastikan kebersihan diri terjaga?”, “Mengapakah
menjaga kebersihan diri itu penting?” dan sebagainya. Dengan meningkatkan
soalan ke aras tinggi, ini menggalakkan pelajar untuk menggunakan otak mereka
dan berfikir dengan lebih mendalam lagi berbanding dengan hanya memberi maksud
dan fahaman mengenai kebersihan diri sahaja. Untuk menggalakkan amalan ini,
guru perlu mengulangkaji dan menyediakan soalan –soalan yang berbentuk aras
tinggi untuk menilai tahap pelajar. Mohd Ali Ibrahim (2003) menyatakan bahawa penekanan
proses P&P pada masa kini lebih tertumpu kepada kognitif aras rendah seperti
hafalan, ingatan kembali dan kefahaman. Soalan-soalan seperti mentakrif, melabel,
menyenaraikan dan mengenal pasti adalah merupakan soalan-soalan yang sering ditanya
di dalam kelas berbanding dengan soalan kognitif tahap tinggi seperti tahap
aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Soalan aras tinggi boleh membantu
pelajar untuk menggunakan otak mereka berfikir dan mencari maksud dengan lebih
mendalam. Soalan- soalan yang berbentuk pengetahuan, pemahaman dan aplikasi
adalah untuk KBAR seperti “apa yang budak itu buat dibilik air?’. Soalan ini
tidak mencapai aras tinggi dan kerana itu guru perlu menaiktaraf soalan kepada
pertanyaan ‘bagaimana’ dan ‘kenapa’ untuk menggalakkan pelajar menganalisis
dan menilai permasalahan.
2.4 Aktiviti Pemikiran Aras Tinggi dalam Buku
Teks
Pada
tahun 2011, KSSR telah diperkenalkan dan sukatan pelajaran PK lebih bersifat ke
arah KBAT kerana elemen KBAT telah diterapkan ke dalam sukatan pelajaran PK. Oleh
itu, guru perlu memastikan elemen KBAT diterapkan dalam pengajaran dan
pembelajaran. Tujuan kerajaan menerapkan elemen KBAT dalam sukatan pelajaran
dan buku teks pelajar adalah untuk menggalakkan persaingan yang lebih baik dari
pelajar. Untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, KBAT memainkan peranan yang
penting kerana menjadi asas kepada kecermerlangan seseorang pelajar. Dalam
modul dan buku teks PK juga terdapat aktiviti yang diterapkan berunsur
pemikiran aras tinggi yang memerlukan pelajar untuk menganalisis dan mengolah
idea. Sebagai contoh, topik keselamatan diri yang merujuk kepada penjagaan
keselamatan diri di tempat awam dan dengan orang yang tidak dikenali. Pelajar
akan diuji dengan contoh jenayah yang terjadi pada kanak – kanak dan akan diajukan
soalan bagaimana mengelakkan diri dari amcaman bahaya dan orang tidak dikenali.
Ini menggalakkan pelajar untuk berfikir dan mengolah idea yang bersesuaian.
2.5 Menggunakan Alat Berfikir
Guru
dan murid perlu menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran, peta minda,
dan Thinking Hats. Dalam pelajaran
PK, penggunaan peta minda memang diperlukan untuk menghuraikan sesuatu fakta.
Amalan menggunakan peta minda atau Thinking Hats memberi peluang kepada pelajar
untuk meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam. Guru yang bijak akan
menggunakan peta minda untuk merangsang pelajar berfikir, menganalisis dan menilai
sesuatu masalah. Merangsang pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritikal,
penggunaan alat berfikir amat bersesuaian. Tambahan dalam subjek PK, ianya
banyak melibatkan penggunaan grafik dan peta minda untuk menghuraikan sesuatu
topik. Maka, dengan itu untuk meningkatkan tahap kemahiran berfikir pelajar ke
aras yang lebih tinggi, konsep penghuraian kepada sesuatu masalah perlu
diterapkan dalam P&P.
2.6 Pembelajaran Berasaskan projek
Murid
menggunakan maklumat lama dan baharu untuk menghasilkan sesuatu yang nyata. Kaedah
ini melibatkan murid-murid mengkaji sesuatu isu, menyiasat dan mempersembahkan
dapatannya. Ini juga dapat membantu guru menilai perkembangan atau kualiti pembelajaran
murid. Murid lebih bermotivasi kerana dapat menghasilkan sesuatu produk (DSKP
Pendidikan Kesihatan,2013). Untuk menggalakkan pergerakan psikomotor pelajar,
pembelajaran berasaskan projek amat bersesuaian. Tambahan untuk pelajar yang
masih di peringkat awal iaitu di tahun 1,2 dan 3, pergerakan memainkan peranan
penting kerana membantu mereka memahami sesuatu perkara itu dengan lebih cepat
dan mudah. Oleh itu, dalam pengajaran PK, guru perlu memberi peluang kepada pelajar
untuk melakukan projek berdasarkan suatu topik dalam modul PK. Sebagai contoh,
guru boleh meminta pelajar untuk menghasilkan replika bahan- bahan untuk
kebersihan diri menggunakan bahan kitar semula. Projek sebegini meningkatkan
tahap berfikir pelajar ke arah pemikiran aras tinggi kerana untuk menghasilkan
sesuatu benda, pelajar perlu menjadi kreatif, kritis dan innovatif.
3.0 Rumusan
Secara
kesimpulannya, konsep KBAT amat penting memupuk pelajar yang cemerlang bukan
sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam kehidupan seharian mereka juga.
Penerapan KBAT dalam P&P membawa satu nafas baru dalam sistem pendidikan
negara. Menurut Hafisah (2008) pembelajaran melambangkan sesuatu yang dapat
membina pengetahuan seseorang, sikap dan potensi untuk berjaya dalam kehidupan
secara berterusan. Menurut Hafisah (2008) lagi, jika para pelajar masih duduk
termenung serta lalai dalam melaksanakan tugas dan tidak mengambil langkah
utama dalam menggunakan minda untuk menerokai sesuatu idea bagi menyelesaikan
masalah maka seseorang pelajar itu akan ketinggalan dan mungkin akan tercicir
di universiti mahupun di mana-mana institusi pengajian tinggi. Menurut Zuliana
(2006), kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ini perlu dijadikan
landasan bagi proses pemerolehan ilmu dan kemahiran dalam mempelajari sesuatu
mata pelajaran. Pelajar seharusnya dilatih menggunakan kemahiran berfikir ini untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi dan membuat keputusan sendiri dengan bijak
dan tidak bergantung kepada orang lain. Mahir berfikir adalah antara potensi minda
yang berperanan penting dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Maka,
penerapan elemen KBAT seperti menganalisis, sinteksis, menyelesai masalah dan
menilai masalah sejak dari sekolah rendah lagi amat penting dalam semua
matapelajaran agar proses ini berlaku secara berterusan.
4.0 Penutup
Sistem
pendidikan negara melangkah ke arah yang lebih maju. Demi mencapai hasrat untuk
menghasilkan pendidikan yang bertaraf antarabangsa, banyak perubahan dan dasar
baru yang dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan sistem pendidikan negara
mampu diterima di peringkat antarabangsa. Hasrat kerajaan untuk melahirkan
generasi muda yang berintelek dan berdaya saing perlu diterapkan sejak dari
pendidikan awal di sekolah rendah. KBAT memainkan peranan yang penting
memandangkan ianya termaktub dalam PPPM 2013-2025 yang mana hasrat kerajaan
untuk menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kritikal dan kreatif
serta menganalisis dan menyelesaikan masalah.
Oleh itu, bagi memastikan hasrat ini
terlaksana, guru –guru perlu memastikan elemen KBAT ini diterapkan dalam
P&P demi melahirkan pelajar yang berkualiti, kreatif dan innovatif. Guru
perlu memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan kemahiran ini dan perlu
mempunyai ilmu pengetahuan yang meluas tentang KBAT agar ianya dapat diterapkan
dalam P&P dan diajar kepada pelajar. Kemahiran guru mengenai KBAT penting
bagi memastikan pelajar mendapat input yang betul dari guru.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete