1.0 Pengenalan
Warga tua adalah
golongan yang menjadi aset kepada negara kerana menjadi sumber rujukan kepada
budaya dan adat sesuatu kaum. Masyarakat warga tua amat menitikberatkan aspek
adat dan budaya yang perlu diikuti oleh generasi muda pada masa kini. Namun
begitu, semakin meningkat usia, warga tua menghadapi ketidakupayaan dalam melakukan
sesuatu perkara. Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka edisi keempat warga tua
dapatlah didefinisikan sebagai ahli atau anggota yang sudah lanjut usia.
Kebiasaannya warga tua dapat dikesan melalui ciri-ciri fizikal seperti muka
berkedut, badan lemah, penglihatan kabur dan sebagainya. Perubahan dalam
struktur badan dan fungsi dengan peningkatan usia juga mengubah suai proses
hilang upaya dan meningkatkan risiko untuk hilang upaya (WHO Europe, 2003). Banyak
perkara yang tidak dapat mereka lakukan dan sekaligus menghadkan fungsi mereka.
Hal ini kerana apabila usia seseorang meningkat, sistem daya imunisasi akan
menjadi kurang efektif dalam menangani serangan penyakit. Ini bermakna, warga
emas adalah golongan yang paling mudah untuk diserang penyakit dan mengambil
masa yang lama untuk sembuh. Meskipun di awal usia kanak – kanak vaksin telah
diberikan, imunisasi untuk melawan penyakit semakin berkurangan dan kurang
efektif apabila usia semakin meningkat. Tambahan pula, penyakit yang biasa bagi
golongan muda seperti selesema mungkin menjadi penyakit yang serius menjangkiti
warga emas kerana mungkin menyebabkan terjadi kompilasi yang mungkin meragut
nyawa warga emas.
Semakin mengingkat usia
mereka, warga tua terdedah dengan ketidakupayaan melakukan tugas dan
tanggungjawab. Dari tahap bayi kepada kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga ke
tua. Proses evoiusi juga akan membawa perubahan seseorang individu dari segi
fisiologi dan psikologi. Seterusnya ia akan mempengaruhi perubahan fizikal,
mental, sosial dan emosi seseorang (Syahrin Ahmad, 2001). Warga emas ini
mempunyai jiwa yang lebih sensitif dan mudah tersentuh sekiranya terjadi
sesuatu perkara ke atas mereka. Jiwa mereka menjadi sensitif dan memerlukan
perhatian serta belaian yang secukupnya (Syahrin Ahmad, 2001). Selain itu,
perubahan dari pada muda kepada tua juga telah menyebabkan fungsi dan proses
interaksi seseorang individu itu turut berkurang. Mereka juga mengalami proses
penuaan yang membawa perubahan yang ketara dari segi fizikal, emosi, akal dan
ketahanan.
Malaysia merupakan
sebuah negara yang tidak berkecuali mempunyai golongan populasi berumur 65
tahun dan ke atas menjelang 2035 memandangkan golongan ini semakin menghampiri
kepada peratusnya. Menurut Shalini Sanmargaraja (2012); Kajian Separuh Penggal
Rancangan Malaysia Kesembilan, 2006-2010 (2011), penyediaan penjagaan dan
perkhidmatan berkualiti yang mencukupi untuk warga tua merupakan cabaran baru
yang penting diberi perhatian memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah
masyarakat semakin menua menjelang tahun 2035 apabila 15% daripada penduduk
dijangka akan melebihi 60 tahun. Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2035,
15% dari keseluruhan jumlah penduduk di Malaysia adalah warga emas. Peratusan
ini agak tinggi memandangkan jumlah penduduk di Malaysia pada masa kini adalah
sekitar 27 juta dan dijangka akan meningkat dari tahun ke tahun berdasarkan
kadar kelahiran bayi dalam tahun semasa.
2.0 Jenis – jenis Ketidakupayaan Populasi 65
Tahun dan Ke atas
2.1
Kesukaran melaksanakan aktiviti dalam kehidupan harian
Keupayaan orang tua
untuk melakukan aktiviti harian semakin menurun seperti membasuh baju, mengemas
rumah, memasak dan membeli belah. Selain itu, keupayaan mereka untuk mandi,
makan dan memakai pakaian juga semakin menurun apabila umur mereka semakin
meningkat. Masalah ini bukan sahaja terjadi di Malaysia tetapi di seluruh
dunia. Apabila kesihatan tubuh tidak dijaga dengan baik, ini menyebabkan
golongan warga emas menghadapi kesulitan dalam melakukan aktiviti harian mereka
yang mana mereka memerlukan pertolongan penjaga untuk membantu mereka melakukan
aktiviti – aktiviti dalam kehidupan seharian.
2.2
Kecacatan Fizikal
Penyakit kecacatan
adalah seperti disebabkan oleh penyakit diabetes iaitu terjadi pemotongan di
bahagian kaki pesakit kencing manis sekiranya terjadi luka di kaki dan merebak
kerana sistem saraf kaki tidak berfungsi dengan baik dan kuman merebak dengan cepat
sehingga menyebabkan kaki luka teruk dan tidak dapat diselamatkan. Ini
menyebabkan kehilangan upaya oleh pesakit diabetes terutama mereka yang
meningkat usia kerana sistem tubuh mereka tidak lagi berfungsi dengan baik. Keadaan kronik utama masyarakat yang
semakin tua termasuklah penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi, strok,
kencing manis, kanser, penyakit kronik pulmonari obstruktif, keadaan otot -
rangka termasuk artritis dan osteoporosis, keadaan kesihatan mental seperti
dementia dan kemurungan, dan buta dan masalah penglihatan. Penyakit kecacatan
lain yang biasa menyerang golongan warga emas adalah strok dan lumpuh. Ini
kerana sistem tubuh mereka tidak mampu menampung kekuatan diri untuk melawan
sakit dan smenyebabkan strok atau angin ahmar mudah menyerang golongan tua ini
dan menyebabkan kelumpuhan.
Proses penuaan juga menyumbang
kepada penurunan prestasi deria dan motor dan dalam kardiorespiratori,
muskuloskeletal dan sistem saraf. Warga emas yang tidak menjaga kesihatan
dengan baik menyumbang kepada risiko kecacatan fizikal yang melibatkan penyakit
kronik. Pada peringkat umur ini, kebanyakan golongan warga emas menghidapi
penyakit seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung yang mana boleh merebak
kepada sistem dalaman badan yang lain seperti jantung kronik dan buah pinggang
kronik yang boleh menyebabkan terjadi strok dan kelumpuhan. Penyelidikan
mengenai kehilangan upaya di usia tua telah mengenal pasti faktor-faktor risiko
yang tidak boleh diubahsuai seperti umur, jantina dan genetik yang mana ianya
berlaku secara semulajadi dan tidak dapat dielakkan. Manakala faktor-faktor
risiko yang boleh diubahsuai adalah seperti penyakit yang berkaitan dengan
usia, kecacatan, fungsi terhad, kemiskinan menghadapi penyakit, gaya hidup
tidak aktif, tingkah laku yang tidak sihat, dan juga sosial dan halangan alam
sekitar.
Pengetahuan ini telah
membolehkan pembangunan teknik kejayaan mencegah dan mengurangkan kecacatan
pada usia tua. Kelumpuhan akibat penyakit kronik, perasaan kemurungan,
penurunan fungsi dan gaya hidup yang tidak aktif adalah antara sasaran yang
paling penting untuk pencegahan.
2.3
Penyakit Kehilangan Daya Ingatan
Golongan tua adalah golongan yang paling
ramai terkena penyakit kehilangan daya ingatan atau penurunan fungsi saraf otak
seperti Alzheimer. Penyakit Alzheimer adalah penyakit yang melibatkan
kehilangan upaya ingatan di mana seseorang yang terkena penyakit ini akan lupa
ingatan dan tidak dapat mengingati sesuatu perkara dengan baik. Insiden
terjadinya penyakit Alzheimer meningkat sesuai umur antara 0,3% - 0,6% terjadi
pada usia 65 – 69 tahun dan 5,3% - 7,5% terjadi pada usia 85 – 90 tahun (Kadek
Ary Mahendri Patni, Tiada tarikh). Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit
nyanyuk. Kadang kala penderita sakit ini tidak mengenali ahli keluarganya
apabila sampai ke tahap yang serius. Mereka juga tidak mengenali jalan pulang
ke rumah sendiri apabila keluar dari rumah. Gejala klasik penyakit demensia
alzheimer terjadi secara bertahap, termasuk kesulitan menemukan atau
menyebutkan kata yang tepat, tidak mampu mengenali objek, lupa cara menggunakan
benda biasa dan sederhana, seperti pensil, lupa mematikan periuk, menutup
jendela atau menutup pintu, masalah dengan daya ingat, dan membuat keputusan
yang buruk dan menimbulkan perilaku yang tidak biasa. Oleh itu, penyakit ini
amat serius sekiranya tidak dipantau sejak dari awal lagi.
2.4
Kemerosotan Fizikal
Semakin lanjut usia,
tahap keupayaan fizikal seseroang itu juga semakin berkurangan. Perubahan pada
fizikal tubuh seperti semakin membongkak menunjukkan bahawa pada usia emas ini,
orang tua semakin berdepan dengan masalah perubahan fizikal tubuh yang ketara.
Menurut Syahrin Ahmad (2001), warga tua akan mengalami kemerosotan kepada
kekuatan otot. Mereka yang berumur 70 tahun pada kebiasaannya akan hilang
separuh daripada kekuatan otot mereka yang berumur 30 tahun. Selain itu, mereka
juga mengalami kemerosotan dari segi fungsi pancaindera mereka seperti bau,
rasa, dengar, lihat dan sentuh. Selain itu, kemerosotan aspek fizikal seseorang
warga emas yang berjantina wanita juga meunjukkan kadar yang lebih tinggi
daripada lelaki. Warga emas wanita lebih tinggi yang mengalami kemerosotan dan
ketidaupayaan fizikal berbanding lelaki di seluruh dunia.
Berdasarkan data yang
dikumpul secara global, wanita mengalami hilang upaya pada usia tua lebih
berbanding lelaki. Jagger et al. (2007) melaporkan bahawan perbezaan gender di
UK, dengan wanita yang lebih tua cenderung untuk menjadi kurang upaya bebas
daripada lelaki yang lebih tua. Begitu juga dengan data untuk Amerika Syarikat
dan Kanada (Chappell dan Dujela, 2008). Sagardui - Villamor dan rakan-rakan (2005)
melaporkan perbezaan jantina yang sama terjadi di Sepanyol dan Der Wiel dan
rakan-rakan (2001) di Belanda. Andrade (2009) menyatakan bahawa wanita Mexico
hidup lebih lama tetapi mengalami
kecacatan yang lebih tinggi berbanding lelaki.
Selain itu, penyakit
yang sinonim dengan kemorosotan kawalan otot seseorang ialah penyakit Parkinson
yang menyerang sistem saraf terutamanya golongan warga emas. Semua orang tua -
lelaki dan perempuan berumur melebihi 60 tahun - mempunyai risiko sama untuk
mendapat Parkinson dengan nisbah dua kes bagi 1,000 penduduk, dan dianggarkan
terdapat sekitar 10,000 rakyat Malaysia menghidapinya. Kebiasaannya mereka yang
mempunyai penyakit Parkinson tidak mampu mengurus diri dengan baik kerana otot
– otot tidak mampu untuk bertindak balas.
3.0 Kebersanan Program Intervensi mencegah
Ketidakupayaan warga Emas
3.1
Program Kesihatan dan Senaman Fizikal
Banyak bukti
menunjukkan bahawa aktiviti fizikal boleh mengurangkan penyakit, mengurangkan
gejala kemurungan dan menghalang atau melambatkan fungsi terhad dan kurang
upaya di kalangan orang tua. Keputusan yang konsisten mendapati bahawa aktiviti
fizikal jangka panjang yang membawa kepada kecacatan dapat dikurangkan dan
ditangguhkan, walaupun untuk sakit kronik apabila aspek kesihatan fizikal
dititikberatkan orang warga emas. Beberapa kajian merumuskan usaha berasaskan
talian iaitu untuk menggalakkan penyertaan dalam program aktiviti fizikal yang
berterusan, sama ada bersendirian atau dengan kumpulan, adalah berkesan dalam
mencegah hilang upaya. Kajian lain menunjukkan keberkesanan latihan sederhana
berasaskan pusat, aktiviti kumpulan dan mensasarkan populasi tertentu yang
berisiko untuk mengurangkan kadar ketidakupayaan golongan populasi 65 tahun dan
ke atas.
Dalam kajian mereka,
Lee dan Tanaka (1997) membincangkan kepentingan penilaian kecergasan kesihatan
warga tua masyarakat, dengan memberi contoh program yang berjaya dilaksanakan
di negara-negara yang berbeza. Terdapat banyak data yang menunjukkan bahawa
aktiviti fizikal dan senaman boleh mengurangkan penyakit, mengurangkan gejala
kemurungan dan mencegah dan melambatkan berlakunya fungsi terhad dan kurang
upaya dalam populasi warga tua. Penyakit, terutamanya kepelbagaian penyakit
kronik, adalah punca utama kecacatan usia tua. Oleh itu campur tangan dari
kerajaan perlu termasuk pencegahan dan pengurusan yang berkesan, termasuklah
dari aspek pengurusan diri. Promosi gaya hidup aktif secara fizikal adalah
antara strategi yang menjanjikan kebersanan membantu golongan warga emas untuk
meningkatkan taraf hidup yang berkualiti.
Program senaman yang
boleh dilakukan adalah bertujuan untuk mengurangkan ketidakstabilan seperti latihan
kekuatan dan keseimbangan, senaman aktif dan pasif, senaman untuk meningkatkan
pergerakan sendi dan meningkatkan kekuatan otot seperti pengunaan pemberat. Selain
itu, penggunaan alat bantuan adalah penting untuk membantu aktiviti seharian,
menggalakkan pergerakan agar warga emas lebih berdikari dan mencegah komplikasi
akibat tidak bergerak. Pengubahsuaian juga perlu di rumah golongan warga emas
untuk mengelakkan mereka daripada ditimpa sesuatu musibah seperti terjatuh dan
sebagainya. Pada usia sebegini, jatuh merupakan perkara utama yang harus
dielakkan kerana tubuh mereka tidak mampu untuk menampung hentakan dan tulang-
tulang mereka juga sudah reput dan tidak kuat. Sekiranya terjatuh, ini akan
menyebabkan penyakit yang lebih parah menimpa mereka.
3.2
Program Pendidikan
Tambahan, program
pendidikan juga penting untuk mendidik golongan warga emas ini memahami dengan
lebih jelas tentang keadaan mereka dan memikirkan kepentingan bagi mereka untuk
menjaga kesihatan diri. Pada usia ini, penjagaan diri dari terjatuh amat
penting dan mereka perlu mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya
terjatuh. Ini kerana kemampuan mereka untuk bangun tidak seperti semasa mereka
masih muda dan maerlukan sokongan yang lebih untuk bangun. Oleh itu, pesakit
perlu diajar bagaimana untuk bangun daripada jatuh. Sebagai contoh, pesakit
perlu beralih dari kedudukan terlentang kepada kedudukan menghadap ke bawah,
merangkak ke tempat sokongan yang kuat seperti kerusi dan cuba bangun lalu
duduk. Selain itu, hubungan rapat dengan keluarga atau kawan-kawan, penggunaan
telefon yang boleh dicapai dari lantai atau sistem penggera jauh boleh
mengurangkan kemungkinan berbaring di atas lantai untuk masa yang panjang
selepas jatuh (Ho Bee Kiau, 2013). Program pendidikan seperti ini penting untuk
mengelakkan kecederaan yang lebih serius terjadi atau sehingga boleh mengundang
maut.
3.3
Pengurusan Maklumat dan Sumber
Pada
usia tua, warga emas merupakan golongan yang mudah diserang penyakit seperti
darah tinggi, sakit jantung, diabetes, kanser dan sebagainya. Untuk mereka yang
berpendapatan rendah, ubat- ubatan amat mahal dan sukar bagi mereka untuk
membelanjakan wang yang ada yang digunakan untuk menampung hidup kehidupan
seharian mereka terutama golongan warga emas yang tinggal di rumah jagaan orang
tua. Oleh itu, sebagai pekerja sosial, mereka mempunyai tanggungjawab untuk
memberi maklumat dan sumber kepada warga emas untuk mereka mengatasi masalah
yang dihadapi. Pekerja sosial boleh memberikan bantuan maklumat mengenai
saluran yang boleh warga emas perolehi dari segi bantuan kewangan untuk
membantu mereka menjalani kehidupan seharian mereka dengan lebih baik.
3.4 Memberi Pengetahuan dan Kemahiran
Memberi kemahiran
kepada golongan warga emas juga merupakan salah satu program intervensi yang
membantu golongan ini mengurus kewangan mereka dengan lebih baik. Ini kerana
golongan yang tinggal di rumah jagaan orang tua tidak mempunyai punca
pendapatan yang lain selain bantuan Kebajikan Masyarakat yang berjumlah RM300
sebulan. Ahli keluarga yang terdekat dan saudara mara juga perlu memberi
kemahiran cara pengurusan kewangan yang betul kepada golongan warga emas agar
duit yang diperolehi digunakan untuk tujuan yang betul seperti menampung belian
ubat –ubatan dan simpanan semasa kecemasan.
3.5
Program kaunseling dan Motivasi
Pada peringkat usia emas ini, program
kauseling dan motivasi amat perlu untuk memberi ilmu pengetahuan yang sewajarnya
agar warga emas tidak mengalami kemurungan, tekanan serta sakit mental. Pada
usia ini , mereka cenderung untuk menjadi lebih sensitif dan bersifat
kebudak-budakan kerana tahap daya ingatan mereka semakin lemah. Oleh yang
demikian, sesi kaunseling untuk membantu mereka menerima apa jua keadaan atau
musibah yang menimpa mereka dengan hati yang tabah. Kebiasaannya mereka yang
mengalami sakit mental pada usia begini adalah kerana kehilangan orang yang
mereka sayangi dan tidak mampu mengawal emosi dengan baik. Cara kaunseling
boleh dilakukan dengan terapi psikologi, terapi muzik, membawa ke tempat yang
menenangkan dan mendamaikan seperti permandangan hijau dan laut yang membiru.
Asas program motivasi adalah untuk memastikan warga emas menerima hakikat yang
mereka alamai dan sentiasa bermotivasi setiap hari untuk menikmati sisa- sisa
hidup yang ada dengan gembira. Ini kerana perasaan yang gembira mampu merawat
sakit mental dan kemurungan.
4.0
Kesimpulan
Warga tua adalah golongan
yang populasi adalah sekitar 65 tahun dan ke atas. Pada usia ini mereka mudah
diserang penyakit seperti gout, strok, angin ahmar, darah tinggi, diabetes dan
sebagainya. Ahli analisis sosiologi, falsafah, tokoh Islam, tokoh barat dan
sebagainya bersetuju bahawa warga tua adalah asas kepada kehidupan manusia.
Tanpa mereka, golongan muda tidak dapat mengetahui pengetahuan yang mendalam
tentang sesuatu perkara kerana mereka sudah hidup lebih lama berbanding orang muda.
Ilmu yang mereka ada lebih meluas dan pengalaman yang mereka perolehi tidak
dapat digapai oleh orang muda masa kini. Namun begitu, semakin mereka menjelang
ke usia senja, daya ingatan dan kebolehan mereka semakin merosot. Mereka
memerlukan sokongan golongan muda untuk membantu mereka menjalani sisa- sisa
hidup mereka.
Program –program
intervensi yang boleh dilakukan untuk membantu golongan warga emas ini seperti
program senaman dan kesihatan, program pendidikan, pengurusan maklumat dan
sumber, mengajar tentang sesuatu kemahiran dan program kaunseling dan motivasi.
Sekurang – kurangnya program intervensi sebegini mampu mendidik warga emas
mengenai sesuatu perkara yang mungkin dapat membantu mereka menjalani kehidupan
seharian dengan lebih baik. Melangkah ke usia tua bukanlah perkara yang terburuk
tetapi sekiranya dinikmati dengan baik, ianya akan menjadi sebuah kehidupan
yang mengembirakan dan membahagiakan terutama apabila dikelilingi oeh orang -
orang yang tersayang. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing –
masing untuk membantu golongan warga emas ini menjalani kehidupan mereka dengan
lebih baik seperti pihak kerajaan dan swasta yang menyediakan khidmat sokongan
dan bantuan kewangan kepada golongan ini, masyarakat yang memberi penghargaan
di atas jasa bakti mereka ini serta yang paling utama kasih sayang yang
ditunjukkan oleh ahli keluarga serta saudara mara golongan ini yang mampu
meningkatkan tahap kualiti hidup mereka.
No comments:
Post a Comment