PENDAHULUAN
Sistem pendidikan di
Malaysia semakin berkembang dan maju menuju matlamat kerajaan dalam Wawasan
2020. Malahan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mensasarkan negara
menghasilkan pelajar yang berkualiti bukan saja dari segi akademik malahan
mampu menghadapi persaingan yang semakin menekan pada masa kini. Sebagai sebuah
negara yang sedang pesat membangun, Malaysia sememangnya memerlukan graduan
yang cemerlang di dalam bidang akademik. Hal ini turut memberi kesan kepada
pelajar pengajian dalam pendidikan jarak jauh (PPJJ). Keberhasilan menerusi PPJJ
memberi impak yang positif kepada pembangunan pendidikan di Malaysia. Sistem
pendidikan PPJJ telah diterima pakai oleh sistem pendidikan di seluruh dunia.
Kemajuan dalam PPJJ memberi peluang pilihan pendidikan kepada sesetengah
golongan yang mahu menimba ilmu dengan cara yang berbeza dari pendidikan formal
(Shireen Haron, Jan 1995). Ini juga
mendorong pelajar untuk menjadi lebih proaktif and berwawasan serta sentiasa
berlumba – lumba untuk memperolehi kejayaan yang cemerlang dan bukan hanya memenuhi
keperluan asas kemahiran belajar sahaja semata - mata. Mereka juga perlu
mempunyai kemahiran literasi maklumat di mana ianya menjadi batu asas yang
penting pada masa kini. Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) bukan lagi
sesuatu yang baharu kepada kita semua. Malahan kepesatan dalam bidang TMK mendesak
kerajaan untuk menghasilkan generasi celik IT. Malahan dalam sistem pendidikan
masa kini, TMK merupakan salah satu subjek yang diajar di sekolah agar pelajar
menerima pendedahan awal bidang TMK ini. Justeru itu, sebagai seorang pelajar,
ianya amat penting untuk mereka belajar secara cemerlang serta mempunyai
kemahiran literasi maklumat bagi melengkapkan diri mereka menghadapi cabaran
hidup dan persaingan yang semakin getir buat mereka memandangkan tumpuan dalam
bidang TMK menjadi peneraju utama di seluruh dunia.
Konsep literasi maklumat mula
diperkenalkan pada pertengahan tahun 1980 oleh American Library Association
(ALA). ALA membentuk Forum Kebangsaan Mengenai Literasi Maklumat (National
Forum on Information Literacy) yang dianggotai 65 organisasi bagi
menggembangkan konsep literasi maklumat atau celik maklumat. Pada tahun 1989,
ALA mengeluarkan definisi literasi maklumat yang diterima dan diguna pakai oleh
umum sehingga sekarang. literasi maklumat boleh digambarkan sebagai keupayaan
mendapat makna daripada maklumat. Menurut Rader (1991), literasi maklumat ialah
satu keupayaan untuk mengakses dan menilai maklumat dengan berkesan bagi
menyelesaikan sesuatu masalah dan mengambil keputusan. Doyle,C (1994) pula
merujuk kepada keupayaan untuk mengakses, menilai dan mengguna maklumat
daripada pelbagai sumber.
Literasi maklumat amat penting dalam
mengejar arus ledakan maklumat yang serba canggih sekarang. Semua manusia
haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang IT untuk menjadi
orang yang berliterasi maklumat. Tambahan pula,sebagai pelajar PPJJ, literasi
maklumat amat penting kerana hampir kesemua sesi pembelajaran menggunakan TMK
sebagai frasarana yang utama kerana pelajar PPJJ tidak bersemuka secara
langsung dengan pensyarahnya. Dari aspek pendidikan, ia membawa perubahan ke
arah sistem pendidikan bestari. Pembestarian sistem pendidikan di sekolah perlu
mengambil kira aspek pembinaan minda/kognitif pelajar maklumat. Program
literasi maklumat membantu membina intelek pelajar dan ianya hendaklah
dilaksanakan untuk menjana modal insan yang mempunyai minda kelas pertama
(RMK9).
Literasi maklumat perlu dikuasai oleh semua pelajar.
Begitu juga dengan kemahiran belajar cemerlang. Pelajar perlu mengusainya
kerana mereka perlu mempunyai tujuan dan matlamat dalam hidup mereka. Cabaran
yang hebat yang perlu mereka tempuhi memerlukan mereka untuk berfikir secara
lebih kritis dan kreatif. Kemahiran belajar cemerlang meliputi kemahiran yang
perlu dikuasai oleh pelajar sebagai contoh dari segi bacaan dan mencatat nota
dengan berkesan. Persaingan yang sihat bukan sahaja membawa kebaikan kepada
pelajar tetapi juga pada sistem pendidikan negara. Pelajar perlu bersaing dan
merebut peluang yang ada untuk memenuhi kehendak pasaran semasa dan mencapai
apa jua yang dikehendaki oleh mereka dalam segala hal. Ini melahirkan ruang
yang lebih meluas kepada mereka untuk berjaya.
EMPAT KRITERIA BELAJAR BAGI
PELAJAR PPJJ YANG MEMPUNYAI KEMAHIRAN
BELAJAR CEMERLANG DAN KEMAHIRAN LITERASI MAKLUMAT
Pengajian dalam pendidikan jarak jauh (PPJJ)
menuntut pelajar untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai sasaran yang
cemerlang dalam akademik dan pelbagai bidang yang lain. Persaingan yang semakin
sengit memerlukan mereka untuk belajar secara lebih proaktif. Ini mendorong
mereka untuk memperolehi kemahiran belajar cemerlang serta kemahiran literasi
maklumat sebagai pelengkap kepada mereka untuk menghadapi cabaran masa kini. Fadzilah
(2006), menyatakan apabila seseorang pelajar itu melangkah ke alam institusi
pengajian tinggi, mereka bermula dari permulaan kosong tanpa mengira apa jua
pencapaian yang telah mereka capai sebelum ini. Ini kerana dunia pembelajaran
yang bakal mereka lalui amat berbeza dan memerlukan persediaan, kebijaksanaan
dan sangat bergantung kepada individu pelajar itu sendiri untuk mencapai
kecemerlangan seterusnya tergolong dalam pelajar institusi pengajian tinggi
yang terbilang.
Pembelajaran yang berkesan amat
penting untuk membentuk diri pelajar menguasai sesuatu bidang. Tambahan pula,
sebagai pelajar PPJJ, ianya merupakan cabaran yang hebat kepada mereka kerana
kekangan masa dan kesibukan lain yang perlu mereka hadapi. Oleh yang demikian,
ianya amat penting kepada pelajar PPJJ mnguasai kemahiran belajar cemerlang.
Ini memberi mereka lebih peluang untuk mengurus masa belajar mereka dengan
lebih efektif. Menurut Mohd Yunus (1990), kemahiran belajar ialah keupayaan
melaksanakan kegiatan pembelajaran dengan berkesan. Beliau telah membahagikan
kemahiran belajar kepada beberapa elemen iaitu keupayaan mendisiplinkan diri,
keupayaan membaca, keupayaan mendengar, keupayaan mencatat nota dan keupayaan
mengingati.
Kriteria belajar yang perlu ada bagi
seorang pelajar PPJJ adalah gaya pembelajarannya. Gaya pembelajaran juga
memainkan peranan yang penting kerana setiap individu mempunyai gaya
pembelajarannya yang tersendiri. Kaedah tersendiri individu mencari, menyimpan
dan mengeluarkan semula maklumat dikenali sebagai gaya pembelajaran (Felder dan
Henriques, 1995). Oleh itu pelajar perlu menguasai kaedah belajar agar dapat
memperolehi pengetahuan dan kemahiran belajar cemerlang yang mendorong mereka
untuk memperolehi kecermerlangan dalam apa jua perkara yang mereka laksanakan.
Hal ini lebih merumitkan pada pelajar PPJJ kerana mereka tidak menghadiri kelas
secara bersemuka dengan tenaga pengajar. Mereka perlu bijak mencari peluang
untuk mencari sesuatu kelainan semasa sesi pembelajaran agar mereka dapat
mengikuti program PPJJ ini dengan lebih baik dan berkesan. Kajian oleh Bass dan
Greary (1996) merumuskan bahawa salah satu cara penentuan kecekapan atau
prestasi seseorang individu mempelajari dan menguasai ilmu adalah dengan menyedari
gaya pembelajarannya. Penggunaan kaedah gaya pembelajaran memberi ruang kepada
pelajar PJJ untuk mengetahui dan memahami pengetahuan dan kemahiran dalam
proses pembelajaran. Gaya pembelajaran yang dimiliki juga dapat membantu
seseorang untuk mengenalpasti situasi pembelajaran dan mempertingkatkan
prestasi pembelajaran (Dunn dan Stevenson, 1997). Pelajar perlu mencari gaya
pembelajaran yang sesuai dengan kehendak diri mereka dan kajian juga
menunjukkan pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran yang sesuai mampu
memperolehi keputusan yang cemerlang. Seseorang pelajar yang mempunyai
kemahiran belajar cemerlang dan kemahiran literasi maklumat mempunyai gaya
pembelajarannya yang tersendiri. Apabila mereka selesa dengan apa yang mereka
lakukan, ini mendorong mereka untuk lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu
perkara. Klavas (1994) dalam kajiannya mendapati setelah pelajar diperkenalkan
dengan gaya pembelajaran dan menggunakannya telah mendapat keputusan lebih
cemerlang.
Kemahiran mengurus masa adalah cara menggunakan masa
dengan betul. Pengurusan masa yang betul adalah kunci kejayaan dan pelajar
perlu menguruskan masa mereka dengan berkesan sekiranya ingin memperolehi
kejayaan (Nadinloyi K.B. et.al. 2013). Pengurusan masa menjadi salah satu aspek
penting bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai perkara yang dilaksanakan.
Pelajar PPJJ sudah semestinya mempunyai waktu yang terhad kerana dibebani
dengan komitmen luar yang menuntut mereka untuk membahagikan masa secara
bijaksana. Kekangan masa dapat diatasi sekiranya pelajar itu mempunyai
kemahiran literasi maklumat. Pelajar ini dapat mengumpul maklumat dengan cepat
dan bermanfaat. Ini memudahkan lagi sesuatu kerja itu dan tidak memakan masa
yang begitu lama. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Zuraini dan rakan
rakan (2006) mendapati bahawa TMK memang relevan untuk pelajar PPJJ. Dalam kajian tahap kesedaran,
pendedahan dan penggunaan TMK di kalangan pelajar jarak jauh, kesemua responden
menggunakan komputer sebagai alat bantuan dalam proses pembelajaran. Kajian ini
jelas menunjukkan kepentingan penggunaan TMK bagi pelajar PPJJ. Ianya digunakan
sebagai medium bagi pelajar untuk berinteraksi dengan tenaaga pengajar serta
memperolehi maklumat dengan lebih berkesan. Literasi maklumat meggerakkan
pelajar untuk menggunakan segala bahan yang berkaitan TMK untuk membantu mereka
berkomunikasi dengan rakan dan pensyarah seterusnya menjimatkan masa mereka yng
terhad.
Disiplin diri yang tinggi sangat berkait rapat
dengan pengurusan masa kerana tanpa disiplin diri, pengurusan masa tidak dapat
dilaksanakan dengan baik. Dalam mendisiplinkan diri terdapat pelbagai langkah
yang perlu diambil, antaranya ialah memulakan tugas dengan cepat, menentukan
tugas yang hendak dilakukan, menyediakan tempoh untuk melengkapkan tugas,
belajar dalam masa yang telah ditetapkan, membahagi-bahagikan masa belajar dan
menyediakan jadual belajar (Mohd Yunus, 1990). Hal ini menunjukkan seseorang
itu adalah seorang pelajar yang cemerlang serta bijak menguruskan masanya
dengan baik. Ini juga berhubung kait dengan kemahiran literasi maklumat kerana
pelajar yang mempunyai kemahiran belajar cemerlang kebiasaannya mempunyai
kemahiran dalam literasi maklumat juga. Ini kerana disiplin diri mengajar
mereka untuk belajar dengan lebih tekun dan menerokai bidang – bidang yang
berkaitan seperti TMK.
Selain itu, kriteria belajar 4M (kemahiran
mendengar, membaca, mencatat nota dan mengingati) juga menunjukkan tahap
kecermerlangan seseorang itu . Pelajar PPJJ tidak mempunyai masalah dari segi
kemahiran mendengar memandangkan mereka tidak bertemu dengan pensyarah secara
bersemuka. Namun begitu, kemahiran mendengar juga perlu dititikberatkan kerana
mereka melakukan sesi pembelajaran secara maya yang memerlukan focus yang
lebih. Mohamad Daud (1994) menjelaskan bahawa mendengar tanpa penanggapan
adalah tidak bermakna. Penanggapan pula memerlukan pentafsiran maklumat yang dirakam
setelah didengar. Pelajar yang mendengar dengan baik mampu mengaplikasikan
kemahiran – kemahiran yang lain seperti mencatat nota dengan baik serta
mengingati apa sahaja maklumat yang diterima. Kemahiran membaca juga memberi
input yang positif kepada kemahiran belajar cemerlang kerana teknik pembacaan
adalah tidak sama bagi bahan – bahan bacaan tertentu. Menurut Anderson (dlm
Abd. Ghani, 1996: 25), kecekapan membaca bergantung kepada kecepatan bacaan dan
kefahaman. Pelajar yang mampu memahami sesuatu bahan dengan cepat mempunyai
teknik bacaan yang terbaik kerana mampu memahami sesuatu konsep itu dengan
mudah. Hasil dari kajian Dr Baharin dan rakan – rakan (2007) menunjukkan proses membaca yang berkesan
memerlukan kemahiran yang tertentu sama ada sebelum, semasa ataupun selepas
proses membaca. Dalam kajian ini juga mengupas dari Saniah Sayuti et al. (2000)
menyatakan bahawa kemahiran membaca biasanya terbahagi kepada dua bahagian yang
utama iaitu membaca secara pantas dan membaca secara kritis. Contoh membaca
secara pantas adalah seperti teknik sepintas lalu (scanning) dan bacaan sekilas
(skimming). Untuk bacaan secara kritis pula adalah seperti teknik SQ3R (Survey-
Question-Read-Recite-Review) dan teknik KWLH.
Kemahiran mencatat nota juga merupakan salah satu
kriteria belajar seorang pelajar yang cemerlang. Ini kerana pelajar yang dapat
mencatat nota penting dengan baik, dapat memahami simbol – simbol dan singkatan
perkataan yang banyak membantu mereka memahami dengan lebih cepat dan
memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman maklumat. Lee (1997), menjelaskan
bahawa ingatan terbahagi kepada tiga sistem iaitu ingatan deria, ingatan jangka
pendek dan ingatan jangka panjang. Konsep kemahiran mengingati amat penting
kerana ianya banyak membantu pelajar untuk tempoh jangka masa pendek dan
panjang. Dapatan kajian Dr Baharin dan rakan – rakan (2007) melalui kajian Pauk
(1984) juga menyatakan bahawa faktor kegagalan pelajar mencapai keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan mungkin berpunca daripada pelajar tidak mempunyai
nota yang tersusun ataupun langsung tidak mempunyai nota. Pelajar yang mencatat
nota dan belajar selepas waktu kuliah dapat mengingat 90-100% daripada yang
didengar. Sebaliknya untuk pelajar yang tidak mencatat nota atau belajar nota
daripada rakan sekelas akan melupai 80% daripada apa yang didengar dalam kuliah
selepas masa dua minggu. Justeru itu, pelajar perlu mengusai kemahiran ini
meskipun pelajar PPJJ tidak terlibat secara bersemuka semasa sesi pembelajaran.
Kriteria belajar yang terakhir adalah mempunyai
tahap penguasaan IT yang baik dan mampu bersaing untuk mencapai matlamat
pengajian. Penguasaan dalam bidang IT
tidak terhad hanya pada pengetahuan asas mengenai komputer. Pelajar itu juga
perlu memahami bidang IT ini dengan lebih meluas lagi. Kini, PPJJ telah
melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi dimana lonjakan perkembangan TMK ke
satu tahap yang lebih moden iaitu Model Fleksibel Pintar (Intelligent Flexible
Model) yang lebih fleksibel dan mudah pengguna (learner friendly). Diantara
teknologi yang digunakan adalah kaset audia/video, komunikasi melalui telefon, komunikasi
melalui computer, telesidang video, telesidang audio dan telesidang
audiografik. Pelajar PPJJ yang tidak mempunyai tahap pengusaan IT menempuh
laluan yang sedikit sukar kerana teknologi memainkan peranan yang penting
kepada mereka memandangkan sesi pembelajaran lebih menggunakan pembelajaran
maya. Hasil kajian oleh Zuraini, Fatimah, Hasmawati, Noresah (2006) menunjukkan
bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada pelajar PPJJ kerana melalui
kajian yang dilakukan 36.9% kerap menggunakan kemudahan komputer dalam
pembelajaran mereka. Oleh yang demikian, kebanyakan kajian dan data yang
dieperolehi menunjukkan pelajar PPJJ kesemuanya mempunyai pengetahuan tentang
bidang IT dan mereka mampu untuk mengadaptasikan diri mereka mengikut
kesesuaian semasa dan mampu berdaya saing.
CADANGAN
Untuk memantapkan lagi tahap
penguasaan pelajar PPJJ dalam menimba ilmu, pendedahan yang lebih meluas kepada
mereka seiring dengan kepesatan pembangunan dalam bidang TMK ini memberikan
satu nafas yang baru agar sistem pendidikan PPJJ ini terus berkembang pesat dan
melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memberi persaingan yang sihat
kepada pelajar dari pendidikan formal. Untuk memantapkan lagi tahap penguasaan
pelajar, pelajar perlu didedahkan dengan kursus – kursus atau seminar yang
berkaitan terutamanya dari segi pendedahan TMK supaya mereka dapat memanfaatkan
segala frasana IT yang disediakan oleh kerajaan. Pelajar PPJJ sering didedahkan
dengan penggunaan frasana IT yang moden dan memerlukan mereka untuk belajar
menggunakan kemudahan tersebut. Ini kerana pembelajaran mereka lebih kepada
pembelajaran maya. Selain itu, mereka juga perlu menggunakan kemudahan
teknologi yang disediakan semaksima yang mungkin agar mereka lebih berdaya
saing di masa hadapan. Kementerian pendidikan juga perlu melihat kepada senario
kekangan masa yang dihadapi oleh pelajar PPJJ memandangkan mereka terpaksa
berdepan dengan komitmen yang lain yang menghadkan perhatian mereka dalam
bidang yang mereka pelajari. Secara tidak langsung, kerajaan dapat melahirkan
pelajar yang berkualiti dan menepati sasaran semasa.
Sehubungan itu, kementerian
pendidikan perlu mencari inisiatif yang pelbagai untuk kemudahan pelajar PPJJ
mendapat pendidikan yang lebih baik dan bertaraf dunia. Hal ini kerana, program
PPJJ telah mendapat perhatian seluruh dunia dan menerima lebih ribuan pelajar
yang menyambung pengajian mereka secara jarak jauh. Ini juga mendorong
peningkatan dalam bidang profesionalisme dan pekerjaan kerana lebih ramai
graduan yang dilahirkan sejajar dengan kehendak Wawasan 2020 yang menginginkan
peratusan graduan menjelang 2020 meningkat. Selain itu, kementerian pendidikan
juga perlu memastikan frasarana teknologi yang disediakan mempunyai fungsi yang
terbaik dan mampu diguna pakai tanpa sebarang masalah. Ini kerana sistem
teknologi masa kini masih lagi berada pada tahap yang sederhana. Oleh yang demikian,
sebagai pelajar PPJJ, amat penting untuk memastikan mereka berdaya saing dan
sentiasa berlumba untuk mencapai kejayaan dalam segala perkara yang mereka
lakukan.
RUMUSAN
Secara kesimpulannya, cabaran ICT
dalam era globalisasi harus disahut pada hari ini dan untuk masa depan kerana
ICT amat penting terutamanya dalam bidang pendidikan di institusi tinggi
khususnya pendidikan jarak jauh. ICT harus diterima pakai dan diaplikasi ke
tahap mana ianya menyumbangkan kepada keperluan serta misi dan visi institusi. Apa yang penting, komputer dan
teknologi internet membantu meningkatkan keupayaan pembelajaran dan
perkembangan profesionalisme individu. Program PPJJ membuka ruang yang luas
untuk pelajar meneroka bidang IT memandangkan kemajuan demi kemajuan yang cuba
diterapkan oleh kerajaan terutamanya kementerian pendidikan dalam menghasilkan
satu produk yang berwawasan dan bermaklumat. Internet memberi peluang kepada
setiap orang meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai
cara. Malah ia membantu sistem masyarakat ke arah perkongsian maklumat. Maka
pembuat dasar hendaklah mengambil kira kesan teknologi terhadap latihan
teknikal, pedagogi dan infrastruktur baru yang diperlukan untuk melakukan
transformasi terhadap sistem pendidikan.
Kriteria belajar untuk mencapai kejayaan amat
penting kepada seseorang pelajar dengan memahami konsep gaya pembelajaran yang
betul dan berkesan. Bagi memahami konsep gaya pembelajaran yang betul dan
berkesan, pelajar perlu mencari maklumat yang berkaitan dengan lebih efisien
dan releven. Kemahiran
pencarian maklumat bukan hanya sekadar mengajar pelajar dari aspek teknikal
semata-mata tetapi perhatian perlu diberikan kepada proses membina makna hasil
daripada bahan yang diakses. Melalui
kemahiran ini, pelajar dapat memberi impak yang positif dalam bidang yang
mereka pelajari. Kejayaan dalam apa jua perkara tidak akan wujud tanpa titik
peluh sendiri. Justeru itu, untuk memastikan pelajar PPJJ terus menerus menjadi
pelaajr yang cemerlang, maka mereka perlu memastikan diri mereka terisi dengan
segala keperluan masa kini dan bersiap sedia menghadapi cabaran terutamanya
dalam bidang teknologi maklumat. Ini sekaligus, mencorakkan diri mereka ke arah
zon berdaya saing dan mampu membina jati diri yang kuat.
No comments:
Post a Comment