Tuesday, September 1, 2015

HENDONISME

sharing is caring:)

1.0 Pengenalan
            Menikmati kesenangan dan keseronokan hidup sudah menjadi satu amalan bagi masyarakat masa kini. Manusia kini berlumba – lumba untuk mencari kenikmatan hidup di dunia dan lebih mencari keseronokan duniawi semata – mata malahan manusia sanggup bersusah payah dan berusaha mencari kesenangan dan kemewahan hidup. Manusia pada hari ini menganggap kesenangan hidup membawa kebaikan kepada mereka dan kesusahan hanya mengundang celaka dalam hidup mereka. Hal ini lebih dikenali sebagai budaya hedonisme yang semakin menular dalam masyarakat di seluruh dunia termasuklah negara Malaysia. Hedonisme adalah berasal dari perkataan Greek yang membawa maksud keseronokan dan kemeriahan. Perkataan hedonisme berasal dari dua perkataan iaitu hedone dan isme. Perkataan hedone berasal dari perkataan Yunani di mana asal istilah ini mula wujud yang membawa maksud kesenangan atau kenikmatan (Lorens Bagus 2000 : 282) manakala perkataan isme akhiran pada kata nama yang merujuk kepada kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan dan juga sikap serta perlakuan (Kamus Dewan 2000 : 501).
Di Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu yang dahulunya terkenal dengan adat dan budaya yang membataskan mereka dari budaya barat dilihat semakin hilang dan terhakis sehingga remaja terkeliru dengan budaya dan adat resam nenek moyang mereka sendiri dan terpengaruh dengan budaya hedonisme ini yang sama sekali jauh dari pegangan agama. Semakin maju Malaysia ke arah negara membangun dan maju, penularan budaya barat juga semakin meluas di kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja masa kini.
            Golongan remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh dengan sesuatu budaya yang dibawa dari luar. Hal ini kerana alam remaja merupakan alam kritikal dalam kehidupan manusia dan peralihan dari alam kanak – kanak ke alam remaja menuntut seseorang itu kepada emosi dan mencari identiti dan penampilan yang tersendiri. Pada tahap ini, ia membawa kepada perilaku dan tindakbalas emosi kerana peralihan ini akan membawa kebaikan dan juga keburukan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Budaya hedonisme semakin menular terutamanya kepada golongan remaja kerana pada tahap ini mereka inginkan kebebasan dan kenikmatan yang mana menjadi tujuan hidup mereka.
            Hedonisme adalah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup (Kamus Dewan, 2000). Hedonisme juga menganggap kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan adalah menjadi kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia juga menganggap sesuatu perbuatan yang baik akan mendatangkan nikmat kepada seseorang. Dalam erti kata lain, kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup seseorang. Dalam prinsip hedonisme juga, apa jua yang mampu memuaskan nafsu dan kehendak manusia akan dianggap baik dan apa sahaja yang membawa keburukan dan penderitaan kepada nafsu manusia dianggap buruk. Seseorang yang memegang falsafah hedonisme adalah bersifat meterialistik dan kebendaan di mana mereka berpendapat bahawa tindakan yang baik adalah untuk kenikmatan dan kepuasan diri (Echols, 2003). Hal ini amat bertentangan dengan pandangan semua agama yang menggalakkan kesederhanaan dalam kehidupan. Justeru, secara umumnya, hedonisme lebih dikenali sebagai pendekatan sosial yang menjadikan hiburan sebagai satu cara hidup.



2.0 Hedonisme Dari Segi Sosiologi Penyelewengan
Matlamat sekularisme mempunyai lima prinsip dan salah satu prinsip tersebut adalah prinsip hedonisme iaitu mencari kebahagian dan keseronokan hidup semata – mata. Hedonisme menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan dan ia diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini amat menepati kehendak matlamat sekularisme yang mana mahu memastikan manusia bebas daripada segala unsur ketuhanan. Menurut Muhammad Naquib al-Attas, sekularisme bermaksud pembebasan manusia dari segi agama dan metafizik (Azhar Hj Mad Aros, 2000: 216). Ia juga dapat didefinisikaan sebagai satu ideologi atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam setiap aspeknya selain dari ibadah keagamaan di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran, dan nilaian duniawi semata-mata. Dalam erti kata lain ajaran ini menolak ukuran agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara disamping menjadikan ia sebagai pemenuhan tuntutan duniawi di mana menjadi matlamat tertinggi dan sebenar manusia (Zulkifli Haji Ismail, 2002:257 dipetik dari Marzuki, 2010). Apabila unsur ketuhanan tidak diterapkan dalam diri manusia, maka hanya wujud nafsu semata – mata yang menguasai hati dan minda manusia. Justeru, manusia kini hanya berlandaskan kepada nafsu untuk memuaskan hati masing – masing yang mana hanya membawa kesenangan dan kenikmatan kepada mereka. Mereka akan beruasaha untuk memenuhi keseronokan dalam hidup mereka dan cuba menghindari kesusahan yang hanya membawa penderitaan kepada jiwa mereka.
 Beberapa dekad sebelum ini pula memperlihatkan kecenderungan ahli-ahli Sosiologi untuk melihat sesuatu masalah sosial itu berpunca daripada perlakuan devian iaitu yang menyimpang atau melencong dari norma masyarakat. Mereka melihat bahawa perlakuan devian terhasil akibat daripada konflik antara matlamat masyarakat (misalnya kejayaan material) dengan halangan yang terpaksa dihadapi oleh mereka (Eitzen & Zinn, 1997). Devian ditakrifkan sebagai sebarang tingkah laku yang bertentangan dengan norma sosial tidak kira sama ada tindakan itu kecil ataupun besar yang memberi impak kepada masyarakat. Penyelewengan sosiologi terjadi apabila masyarakat menyimpang dari norma – norma yang sepatutnya iaitu masyarakat yang mengikuti peraturan, undang – undang dan kehidupan normal masyarakat.
Setiap masyarakat mempunyai norma sosial yang berbeza. Masyarakat Barat mempunyai norma sosial yang berbeza dengan masyarakat Timur yang masih kukuh dengan adat resam dan budaya masing – masing. Sebagai contoh, tingkah laku meminum arak dan alkohol tidak dianggap sebagai tingkah laku (devian) yang bercanggah dengan norma msyarakat bagi masyarakat di Barat kerana ia sudah menjadi satu norma sosial kepada mereka berbanding dengan masyarakat yang berada di Malaysia terutamanya masyarakat Melayu. Tingkah laku meminum arak dan alkohol di kalangan orang Melayu bercanggah dengan norma sosial dalam masyarakat Melayu terutamanya kerana arak dan alkohol diharamkan dalam Islam.   
Oleh kerana itu, prinsip sekularisme yang mahu memisahkan agama dari kehidupan dunia adalah kerana puak ini mahu kebebasan dari sekatan mana – mana agama. Mereka ini mahukan kebebasan hidup dan menikmati hidup mereka berlandaskan kesenangan dan keseronokan nafsu semata- mata. Abdul Ghafar dan Zaleha (2008) mengklafisikasikan budaya hedonisme sebagai salah satu daripada isu gejala sosial yang menyumbang kepada proses de-islamisasi. Penularan budaya Hedonisme dalam masyarakat Melayu telah menyebabkan masyarakat masa kini mementingkan diri sendiri dan hanya melihat kepada kesenangan hidup di dunia sahaja dan berlumba – lumba mengejar kemewahan yang dianggap mampu memberikan satu kepuasan dan kenikmatan dalam hidup mereka sehingga menidakkan konsepo ketuhanan dalam kehidupan mereka. Lihat saja kepada anak – anak muda masa kini yang cuba hidup bermewah – mewahan dan sedaya uapaya berusaha untuk hidup mewah dan menikmati kemewahan tersebut. Budaya Hedonisme ini telah merosakkan pemikiran remaja dan anak – anak muda yang sepatutnya akan menjadi peneraju negara pada suatu masa nanti.
Hanya kerana mengejar kemewahan, maka wujud jenayah – jenayah yang dilakukan demi mencapai hasrat dan keinginan mereka untuk hidup mewah dan bersenang – lenang seperti merompak, meragut, membunuh, rasuah, pecah amanah dan sebagainya yang sama sekali bercanggah dengan norma kehidupan masyarakat. Golongan remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh dengan budaya hedonisme kerana pada saat ini mereka amat mementingkan kebebasan dan kenikmatan dan cuba mengelakkan diri dari kesengsaraan. Malahan golongan remaja ini mudah terdedah dengan gejala penyelewengan yang melanggari norma – norma masyarakat dan peraturan seperti gejala dadah, seks bebas, bohsia, pelacuran, lumba haram, judi dan sebagainya yang membawa keburukan dalam norma masyarakat. A. Aziz Deraman (2011) mengukuhkan hujah mengenai budaya hedonisme bahawa bahayanya konsep yang berasal dari Barat ini dengan kesepakatan para budayawan, pemikir dan pimpinan masyarakat. Beliau turut menambah bahawa hedonisme akan menjadi penghalang kepada kemajuan negara. Hal ini jelas menggambarkan bahawa budaya hedonisme di sisi pandangan ilmuwan Islam cenderung membawa konotasi negatif berbanding positif kepada masyarakat dan negara.

3.0 Faktor – faktor Penyumbang Kepada Budaya Hedonisme
            Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepoada penularan budaya hedonisme di negara ini. Penularan ini telah bermula sejak di awal tahun 1980 apabila hiburan mula menjadi semakin diminati oleh anak – anak muda. Hiburan seakan menjadi suatu kemestian kepada golongan muda kerana mereka yang inginkan sesuatu untuk mengisi jiwa dan nafsu mereka. Ini selari dengan maksud hedonisme itu sendiri yang hanya berlandaskan keseronokan, kesenangan dan kenikmatan hidup semata – mata. Maka golongan muda atau remaja masa kini sudah menganggap budaya hedonisme ini adalah sebahagian budaya moden dalam masyarakat di negara ini. Pegangan agama pula semakin dijauhi dan ditinggalkan kerana menjadi kekangan kepada mereka untuk menikmati hidup yang mereka inginkan. Hedonisme yang menjadi sistem nilai kepada gaya hidup remaja masa kini akan melahirkan penyakit-penyakit sosiobudaya seperti dadah, gay, filem yang membangkitkan nafsu, eksploitasi wajah dan tubuh wanita dan memakai barangan mewah yang kehilangan adab dan obses terhadap gaya hidup sensasi yang berkiblatkan nafsu (Siti Rabaah, 2012).
3.1 Hiburan dan Media Massa
Setiap manusia inginkan hiburan untuk meredakan ketegangan dalam jiwa kerana hiburan sedikit sebanyak mampu mengubati jiwa manusia yang sedang dalam keresahan. Namun begitu, hiburan yang melampau – lampu telah mengatasi norma yang sepatutnya iaitu kesederhanaan dalam berhibur. Manusia menganggap hiburan adalah ubat kepada jiwa yang menderita dan demi melarikan diri dari kesengsaraan, manusia memilih hiburan. Hiburan terbentuk dengan adanya persembahan, iringan lagu dan tarian yang boleh menghayalkan dan melalaikan manusia dari matlamat hidup mereka yang sebenar. Penularan budaya hedonisme juga merupakan berpunca dari hiburan. Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan yang sangat banyak kepada aspek hiburan. (Ummu Wafa : 2010 dipetik dalam Marzuki, 2010).
Anak – anak muda didedahkan dengan berita -  berita hiburan melebihi berita –berita yang lebih bermanfaat. Anjuran parti – parti, konsert – konsert dan kewujudan rancangan realiti TV dilihat semakin menjadi – jadi dan menggalakkan anak muda kepada hiburan. Kedatangan aliran muzik dan filem - filem barat ke Malaysia juga membawa impak yang negatif kepada gologan remaja apabila remaja menjadi taksub dengan muzik yang didengari dan terpengaruh dengan filem yang ditayangkan. Apa yang lebih memburukkan keadaan apabila berlaku penyelewengan dalam berhibur apabila wujud aliran muzik seperti black metal yang memuja syaitan, konsert – konsert yang melalaikan dan tidak berlandaskan agama, filem – filem yang berunsurkan seks dan keganasan dan sebagainya yang mendorong remaja untuk bertindak di luar batasan norma – norma kehidupan.
            Sekiranya direnungi saat ini, pusat – pusat hiburan seperti disko, kasino, konsert – konsert menggamit golongan remaja untuk menyertai dan menikmati hamparan dunia hiburan tanpa batasan yang disajikan oleh pemilik pusat hiburan dan penganjur konsert – konsert yang rata – ratanya melalaikan golongan remaja dari matlamat kehidupan mereka yang sebenarnya. Malahan hiburan yang melampau juga melemahkan gologan muda dari tanggungjawab yang harus dipikul suatu masa nanti.
Peranan media massa juga menjadi penyumbang kepada budaya hedonisme apabila gaya hidup artis – artis lebih memenuhi di dada majalah dan akhbar – kahbar tempatan serta teknologi terkini seperti internet yang menjadi penyumbang kepada kebangkitan budaya ini di negara ini. Anak – anak muda lebih gemar membaca berita mengenai artis dan kehidupannya berbanding membaca maklumat bermanfaat dan mencari maklumat mengenai kehidupan para ulama dan ilmuwan yang lebih memberi mesej yang positif kepada mereka. Institusi sosial menyumbang kepada peningkatan gejala tidak sihat di kalangan remaja apabila menyokong penularan wabak hiburan yang melampau ke dalam masyarakat. Sebagai contoh, rancangan realiti seperti Akademi Fantasia yang digunakan sebagai medium untuk menghasilkan pelajar yang berbakat telah menjadi satu titik noktah kepada peningkatan budaya hedonisme di kalangan remaja. Remaja telah disogok dengan hiburan setiap masa sehingga lalai dalam tuntutan agama. Hal ini semakin meninbulkan kebimbangan apabila filem – filem yang ditayangkan semakin menyerlahkan keburukan berbading kebaikan apabila wujud adengan intim (seksual) dan keganasan yang memberi pengaruh negatif kepada pemikiran remaja. Justeru, penyelewengan sosial terjadi dan menjerumuskan remaja dalam kancah hiburan sehingga terjadinya keruntuhan akhlak dan moral serta jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat dan negara.
            3.2 Sukakan Kebendaan (Sifat Meterialistik)
Sejak akhir – akhir ini manusia cenderung untuk hidup bermewah – mewahan  dan berhibur secara berlebih – lebihan. Kajian yang dilakukan menunjukkan masyarakat Melayu adalah golongan yang paling mudah terpengaruh untuk hidup mewah dan terlibat dengan kegiatan hiburan yang negatif. Lihat sahaja kepada persenoliti yang cuba ditonjolkan dengan perabot dan barangan elektrik yang mewah dan moden, kereta yang mahal dan ditambah dengan aksesori yang menampakkan kelainan kepada pemilik, baju yang berjenama dan juga mengunjungi tempat – tempat hiburan yang ada kelas. Keinginan untuk hidup mewah dan bergaya inilah juga yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan kes terlibat dengan Skim Cepat Kaya sejak kebelakangan ini (Muhd Murtadha, 2008).
            Wang dan harta menjadi tunggak utama dalam matlamat manusia untuk mencapai kebahagian dalam hidup mereka. Bagi mereka, wang adalah segala – galanya (kemewahan). Malahan konsep kekeluargaan masa kini juga sibuk dengan hal duniawi iaitu mencari kemewahan dan kesenangan sehingga melakukan pengabaian dari segi pengisian kerohanian. Remaja yang tergolong dalam kalangan keluarga yang kaya dan hidup mewah disogok dengan wang ringgit sebagai galang ganti kepada asas pendidikan di rumah. Golongan remaja yang tiada pegangan agama cenderung mengunjungi pusat – pusat hiburan yang beprestij untuk menghiburkan diri, mengurangkan kebosanan dan menghabiskan masa terluang mereka. Bagi golongan kurang berada, mereka memilih jalan yang salah bagi memenuhi keperluan hidup mewah mereka. Maka dengan itu, wujudlah jenayah – jenayah seperti rompakan, ragut, mencuri, pecah amanah dan sebagainya demi memenuhi tuntutan kehidupan mewah yang mereka inginkan.
            3.3 Kurang Didikan Agama
Manusia yang hidup tanpa berlandaskan pegangan agama mudah terdorong untuk melakukan sesuatu yang diluar batas norma kehidupan kerana mereka tidak mempunyai petunjuk dan peraturan yang boleh diikuti untuk mengekang mereka dari melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan yang melanggari hukum – hukum agama. Agama memainkan peranan yang penting menyekat penularan budaya hedonisme dalam kalangan masyarakat. Islam tidak menyekat manusia mencari kemewahan dan kesenagan tetapi harus membatasi dengan peraturan yang telah ditetapkan dalam agama. Prof. Khurshid Ahmad menegaskan, Islam tidak menghalang manusia mengejar kemajuan, teknologi dan kekuasaan tetapi ia menghalang manusia daripada menjadikan semua ini sebagai matlamat dan tujuan hidup manusia (Siti Norlina Muhamad, Mohd Nasir Ripin & Mohd Dani Muhamad, tiada tahun terbitan).
Setiap agama di dunia ini menuntut penganutnya supaya hidup dalam kesederhanaan dan mengamalkan tuntutan agama masing – masing dalam kehidupan seharian. Namun begitu, kedatangan budaya hedonisme yang berlandaskan konsep sekularisme yang mengasingkan konsep ketuhanan dalam kehidupan seharian menyebabkan ramai golongan muda yang terjebak dalam budaya ini. Kekurangan didikan agama yang diberikan oleh ibubapa kepada anak – anak juga menjadi penyumbang kepada peningkatan gejala sosial apabila anak – anak disogokkan dengan kemewahan dan duniawi tanpa berlandaskan agama. Justeru, didikan agama juga memainkan peranan yang penting untuk mengekang penularan wabak hedonisme di kalangan masyarakat di Malaysia terutamanya di kalangan remaja.           

4.0 Kesan Budaya Hedonisme kepada Masyarakat
Impak dari pengembangan budaya hedonisme ialah pemasalahan sosial di kalangan remaja pada hari ini. Ramai ahli akademik berpendapat bahawa budaya hedonisme adalah faktor utama yang menyumbang kepada masalah sosial yang semakin serius dan meruncing. Budaya hedonisme juga telah menghakis nilai – nilai murni dan budaya sedia ada setiap kaum di Malaysia.
            4.1 Peningkatan kadar Jenayah
Budaya hedonisme adalah suatu budaya yang mementingkan keseronokan, kesenangan dan kemewahan semata – mata. Penularan budaya ini membawa kepada peningkatan kadar jenayah di Malaysia. Golongan remaja adalah golongan yang paling ramai terlibat dengan jenayah kerana tidak dapat mengawal nafsu dengan baik. Selain itu, budaya hedonisme mempunyai perkaitan yang paling erat dengan golongan remaja kerana golongan ini adalah golongan yang paling mudah terpengaruh dengan sesuatu budaya terutamanya yang menyimpang dari landasan agama. Kerana inginkan keseronokan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi menikmati hidup berlandaskan nafsu semata dan menjauhkan diri dari kesengsaraan. Justeru, golongan ini sanggup melakukan apa sahaja demi duit dan kepuasan.
Oleh yang demikian, maka wujudlah budaya black metal, trash metal, punk, mowhawk, seks bebas, pelacuran, bohsia, bohjan, penagihan dadah dan sebagainya yang rata – rata melibatkan golongan remaja. Maka dengan itu, lahirlah satu wabak kelahiran anak luar nikah yang semakin meruncing pada ketika ini kerana menurut statistik yang diperolehi, setiap 17 minit lahir anak luar nikah di seluruh negara dan ini menunukkan satu perkembangan yang tidak sihat dan boleh menggugat sistem sosial masyarakat di negara ini. Namun begitu, kadar masalah sosial boleh dikawal dengan perlaksanaan melalui undang – undang, keluarga, sekolah, tempat kerja dan komuniti. Ini akan menjuruskan remaja berbalik kepada norma masyarakat dan menghindari dari melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang – undang. 
            4.2 Hiburan Berleluasa
Pengaruh budaya hedonisme membawa perluasan budaya hiburan di tanahair. Anjuran konsert- konsert dan program – program yang berunsurkan hiburan semakin berluasa sehingga wujud satu budaya yang baru dan moden yang mempengaruhi pemikiran remaja. Sebagai contoh budaya K-Pop yang telah menjadi kegilaan remaja sehingga penyanyi K-Pop dari Korea telah dijemput untuk melakukan persembahan terbuka di konsert yang dianjurkan untuk belia dan dibayar dengan harga yang mahal iaitu RM2 Juta sedangkan budaya ini tidak membawa kebaikan kepada remaja di Malaysia. Kegilaan remaja pada hiburan juga telah mengakibat remaja terjebak dengan dadah dan pil khayal sehingga meragut nyawa seperti yang terjadi dalam konsert yang dianjurkan baru – baru ini. Apa yang menyedihkan, remaja yang meninggal itu adalah remaja Melayu dan beragama Islam.
Apabila manusia menidakkan sifat ketuhanan dalam kehidupan seharian, maka agama tidak lagi menjadi landasan dalam kehidupan. Sekularisime yang merebak di sesebuah negara telah menyebabkan penularan budaya hedonisme semakin meruncing. Pada ketika ini, budaya ini dianggap sebagai suatu yang normal dalam masyarakat. Budaya hiburan bukan lagi suatu yang asing dan sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat. Tiada lagi kepelikan apabila anak muda berpelukan dan terkinja – kinja di pusat hiburan dan konsert – konsert yang dianjurkan sehingga suasana ini menajdi suatu yang normal dalam sistem sosial negara. Tanpa disedari, penyelewengan yang dilakukan menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dalam sistem sosial masyarakat dan menyimpang dari norma – norma asas masyarakat.
4.3 Keruntuhan Moral dan Akhlak
Apabila budaya hedonisme menjadi tunjang dalam kehidupan golongan asyarakat maka wujudlah keruntuhan moral dan akhlak di kalangan remaja akibat dari penyelewengan yang mereka lakukan. Anak muda tidak lagi segan silu bercumbuan dan berpelukan di khalayak ramai sehingga menjadi suatu kebiasaan yang semakin serius. Ini menyumbang kepada gejala bohsia dan seks bebas serta pelacuran yang menyumbang kepada kelahiran anak luar nikah yang semakin membimbangkan masyarakat masa kini. Rentetan dari perlakuan bebas ini akan mengundang kepada jenayah yang lebih berat terutamanya apabila melibatkan keinginan untuk hidup bermewah – mewahan. Bagi golongan pertengahan dan berada, wang ringgit tidak menjadi suatu masalah kepada mereka namun apabila nafsu mengusai diri, ia turut menjadi penyumbang kepada jenayah yang berat.
Ibu bapa yang tidak melakukan pemantauan di rumah telah mengundang kepada masalah sosial di kalangan remaja kerana kurangnya perhatian dan didikan agama di kalangan anak - anak. Keruntuhan moral dikatakan bermula dari institusi kekeluargaan. Kepincangan dalam institusi kekeluargaan mengundang remaja mencari hiburan di luar yang mampu memberikan kepuasan dan kebebasan kepada mereka serta menghindarkan mereka dari penderitaan. Kekurangan pengawasan ibu bapa ke atas anak – anak, terutamanya remaja memudahkan berlakunya pelbagai bentuk salah laku (West, 1982; Wilson, 1987; Abd. Hadi, 2004).       
5.0 Aplikasi Teori Fungsionalis dan Kawalan Sosial
Teori fungsional mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan struktur terutama berkaitan struktur masyarakat kerana apabila merujuk kepada asas teori fungsional yang menekankan fungsi yang bersangkutan di antara ahli anggota masyarakat. Fungsi adalah badan utama bagi teori fungsional- sepertimana namanya juga yang berasal daripada perkataan ‘function’ yang bermaksud fungsi. Sesuatu fungsi mempunyai “kesan‟ yang boleh dilihat melalui hubungan keluarga yang memberi kesan kepada masyarakat sebagai unit asas sosial (Haralombos & Andholrborn, 2000). Menurut mereka, fungsi juga secara praktikalnya adalah digunakan sebagai memelihara dan kelangsungan hidup manusia yang memberikan satu ketetapan untuk manusia terus hidup di muka bumi ini. Kawalan sosial pula bermaksud mengawal permasalahan sosial melalui kawalan sosial formal dan kawalan sosial tidak formal untuk menghindari remaja dari terlibat dengan masalah sosial. Peranan kawalan sosial adalah terdiri dari penguatkuasaan undang – undang, keluarga, sekolah, komuniti, kerajaan (termasuk NGO) untuk mengekang penglibatan remaja dalam masalah sosial.
Masyarakat daripada kaca mata sosiologi adalah bahagian yang mempunyai hubungan yang rapat. Kesemua institusi dalam masyarakat mempunyai fungsi masing-masing bagi mengekalkan keseimbangan dan kestabilan masyarakat. Walau bagaimanapun, proses perubahan sosial pasti akan berlaku dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, setiap institusi harus memainkan fungsi mereka agar seiring dengan perubahan tersebut. Jika ia tidak dapat berfungsi dengan baik (disfungsional), maka ia akan memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat. Ini dapat juga diperhalusi dengan kawalan sosial formal dan tidak formal yang mampu membantu mengawal kadar masalah sosial yang melanda masyarakat. Kawalan sosial formal adalah seperti autoriti dan peraturan yang melibatkan undang – undang dan peranan agensi seperti polis, mahkamah, penjara dan kebajikan maysarakat manakala kawalan tidak formal adalah melalui integrasi masyrakat setempat, keluarga, jiran, komuniti, sekolah yang lebih kepada bersifat suatu teguran untuk mensosialisasikan individu kepada norma masyarakat. Tambahan pula, teori furngsionalis melihat sesuatu masalah sosial itu berpunca daripada disorganisasi sosial yang menimbulkan bencana terhadap sebahagian besar masyarakat moden (Zakiyah Jamaluddin, 2001). 
Justeru, dalam kawalan sosial, para ibu bapa harus memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya hidup yang tidak sihat seperti budaya bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang mengundang banyak risiko kepada anak-anak itu sendiri di samping menimbulkan banyak masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara. Meskipun ada di kalangan ibu bapa yang berkemampuan untuk memenuhi apa sahaja kehendak anak-anak, namun perbuatan menyogokkan mereka dengan wang ringgit, harta serta pelbagai kemewahan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik dan menyayangi mereka. Hal demikian  ini kerana ia boleh menjadikan mereka menjadi materialistik dan lalai dengan limpahan kemewahan duniawi. Sebaliknya, ibu bapa perlu suburkan anak-anak dengan iman dan takwa melalui didikan yang sempurna serta pemberian kasih sayang yang secukupnya. Ahli fungsionalis menyatakan bahawa sekiranya berlaku disorganisasi dalam masyarakat seperti keruntuhan institusi kekeluargaan seperti penceraian menyumbang kepada pembentukan gejala sosial di kalangan remaja.
Institusi sekolah juga memainkan peranan yang berfungsi membentuk remaja dengan jati diri yang mulia. Guru diibaratkan sebagai ‘role model’ kepada pelajar dan membentuk perilaku berdasarkan apa yang mereka pelajari. Justeru, disfungsional sekolah akan menyebabkan lahirnya lebih ramai remaja yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti membuli, dadah, merokok, seks bebas dan sebagainya. Ini kerana golongan remaja melakukan jenayah (penyelewengan) adalah disebabkan oleh faktor keinginan mereka terhadap keseronokan dan kesenangan meskipun melalui pilihan yang salah. (Patterson, et.al, 1992; Walker, et.al, 1995; McWhirter, 1998; dalam Abdul Razak Abdul Manaf, 2000) menyatakan mereka telahpun mempamerkan gelagat, fikiran dan emosi yang disfungsional sejak awal kehidupan dan semasa di bangku sekolah dan jika ia tidak dicegah, boleh membentuk permasalahan sosial yang lebih kronik terhadap golongan remaja terbabit. Justeru, fungsi sesebuah masyarakat adalah untuk memastikan masyarakat itu sentiasa berada dalam norma organisasi yang sepatutnya.
Selain itu, pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan juga perlu digerakkan bagi membentuk generasi remaja yang bersifat terbuka dan berlandaskan ajaran agama, budaya dan jati diri yang kukuh. Remaja adalah golongan yang mudah mengikuti sesuatu budaya kerana mereka adalah golongan yang mudah menerima sesuatu yang dihadapkan ketika ini. Sekiranya mereka dihadapkan dengan hiburan setiap masa, maka mereka memilih hiburan kerana ia adalah sesuatu yang menyeronokkan mereka. Justeru, pengetahuan serta pemahaman terhadap nilai budaya dan moral serta kupasan masalah sosial daripada kaca mata saintifik, tingkah laku dan sosial perlu diterapkan kepada remaja secara berterusan. Hal ini mampu membantu dari sudut sosialis iaitu masyarakat yang mengikuti norma – norma yang telah ditetapkan berdasarkan undang – undang. Ini penting kerana keruntuhan nilai budaya dan moral di kalangan remaja semakin terasa meruncing di negara sejak kebelakangan ini.
6.0 Rumusan/Kesimpulan
Penularan budaya hedonisme membawa kesan yang negatif kepada masyarakat. Ia telah mempengaruhi golongan remaja untuk menjadikan budaya hedonisme sebagai budaya baru yang harus diikuti. Kecelaruan dalam diri remaja menyebabkan mereka mudah terjebak dengan budaya hedonisme kerana pada tahap ini mereka inginkan kebebasan, hidup dalam kemewahan dan keseronokan. Sejajar dengan prinsip hedonisme yang hanya mementingkan keseronokan, kesenangan dan kenikmatan dalam hidup semata – mata dan menghindari apa jua penderitaan, maka budaya ini mudah menyerapi ke dalam jiwa anak – anak muda di Malaysia.
Remaja adalah peneraju bagi sesebuah negara di masa hadapan dan sekiranya budaya hedonisme tidak ditangani, penularan ini membawa kepada keruntuhan sistem masyarakat dan mampu memusnahkan sesebuah institusi masyarakat dan negara. Justeru, amat penting permasalahan sosial ini diberi penekanan dan melihatnya sebagai suatu ancaman yang mampu membawa kesan yang buruk kepada sistem sosial sesebuah negara. Justeru, berdasarkan perspektif sosiologi, apa yang penting ialah semua pihak, tidak kira sarna ada individu, keluarga dan masyarakat sama-sama berganding bahu menangani permasalahan ini dan memperbaiki keadaan yang mengundang kepada permasalahan sosial.
Merujuk kepada teori fungsionalis dan teori kawalan sosial, masalah sosial di kalangan remaja boleh dihindari dan dikekang dengan adanya kerjasama di antara semua pihak dalam masyarakat seperti peraturan, penguatkuasaan undang – undang, sistem keluarga, komuniti dan sebagainya yang boleh mengekang gejala sosial dari berleluasa dan menjadi semakin serius. Justeru, budaya hedonisme ini perlu dikawal agar golongan remaja tidak semakin jauh dari konsep ketuhanan dan keagamaan yang boleh menjadi benteng bagi menangani masalah sosial.

1 comment: